Salam Perjuangan

30 April 2011

VIDEO SEKS: PENDEDAHAN KETERLALUAN JEJAS PEMIKIRAN REMAJA

PENDEDAHAN isu-isu seks seperti liwat, video lucah, bersekedudukan, rumah urut, ubat kuat dan lain-lain melalui media cetak, media elektronik dan media baru dilihat tidak terkawal dan boleh memberi kesan negatif kepada remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

Media arus perdana dilihat sangat gemar menayangkan sedutan VCD seks, gambar hubungan seks dan menceritakan isu-isu hubungan seks yang sangat memalukan.

Sebelum ini pihak sekolah telah berperang dengan masalah gejala sosial yang semakin serius setiap tahun.

Isu-isu seks yang disiarkan oleh media sejak akhir-akhir ini dijangka akan merangsang mereka untuk mencari, merasa dan mencuba. Remaja adalah mereka yang suka meneroka sesuatu yang baru.

Kerajaan dan masyarakat seharusnya menyediakan persekitaran yang kondusif merangsang mida mereka menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan tanah air.

Lebih menyedihkan lagi apabila pihak bertanggungjawab seperti tidak ambil peduli masalah moral dan hanya mendedahkan keburukkan seseorang dengan mengabaikan kesannya kepada remaja.

Semalam, episod pendedahan yang memualkan diteruskan melalui siri video seks kedua.

Keadaan ini umpama mendapat lesen dan lampu hijau dari pihak berkuasa, tidak ada sebarang amaran atau larangan yang ditegaskan berhubung penyebaran video ini. Lebih serius lagi video tersebut mendedahkan bahagian-bahagian badan pelakon yang sulit.

Dan tidak mustahil selepas ini, babak yang lebih memalukan akan didedah dan disebarkan sekiranya tidak ada penegasan dan amaran daripada kerajaan untuk melayari video ini dan tidak segera menyiasat dan menghukum penyebar video berkenaan.

Sekiranya isu yang meloyakan ini, dibiarkan dan dianggap remeh, Dewan Pemuda PAS Pusat percaya ini akan menjadi satu lagi episod buruk kepada masalah moral dalam masyarakat kita yang sememangnya sedang kritikal pada masa ini.

Lebih menakutkan ia mungkin akan menjadi suatu kebiasaan dan budaya di dalam negara kita.

Anak-anak kita yang sekarang ini telah terdedah dengan dunia IT tanpa sempadan tidak mustahil akan terjebak dan melayari gambar-gambar dan video-video lucah selain fitnah-fitnah yang telah di sebarkan di dalam internet.

Semua ini bertentangan dengan agama Islam dan budaya masyarakat timur.

Menyedari perkara ini bakal mendedahkan nilai negatif kepada masyarakat terutamanya pelajar-pelajar dan anak-anak sekolah, maka Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru seluruh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara, persatuan guru-guru, pertubuhan-pertubuhan pendidikan, NGO Islam dan semua NGO lain yang memperjuangkan nilai budaya timur bangkit membantah cara pendedahan isu-isu seks secara bebas dalam media.

Mereka perlu bersatu untuk membantahnya. Semoga dengan bantahan ini boleh menyelamatkan remaja kita daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.(sumber: Suhaizan Kayat,Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat)



Tiada ulasan: