Salam Perjuangan

05 April 2011

FILEM SERAM PERBODOHKAN MELAYU SAMA-SAMA KITA BOIKOT

PELUANG berada di rumah selama beberapa hari kerana kesihatan yang tidak begitu baik memberi saya kesempatan menonton banyak drama/filem di televisyen.
Setiap hari, daripada kebanyakan saluran, saya dapati penonton sentiasa dihidangkan dengan pelbagai cerita seram.

Ada antara adegan itu tidak berupaya menimbulkan suasana seram. Yang tergambar hanyalah kebodohan atau kemahuan memperbodohkan penonton.
Ingin saya bertanya, apa yang sebenarnya mahu disampaikan kepada masyarakat melalui cerita seram atau cerita hantu ini?

Tidakkah filem-filem seperti ini membuat fikiran rakyat cenderung ke arah mistik? Di mana bagi mendapatkan sesuatu bergantung kepada serapah mentera?
Atau menggunakan suatu kekuasaan lain yang sudah tentu sangat bersalahan dengan syariat Islam? Lalu apa jadi dengan seruan kerajaan supaya rakyat mandiri dan menggembleng segala tenaga dan usaha bagi bersama mengangkat negara ke mercu kejayaan?

Budaya apakah yang mahu kita terapkan kepada masyarakat? Apakah bila ada masalah, kita menunjukkan dengan jelas supaya masyarakat pergi berjumpa bomoh atau pengamal perubatan tradisional?
Sepanjang cerita, kita disajikan dengan perkara-perkara yang pelik, sihir dan khurafat. Adakah memadai di akhir cerita, dalam nota yang sangat singkat, kesalahan yang sengaja dilakukan dengan penyiaran filem ini boleh dimaafkan dengan penyiaran satu atau dua petikan ayat-ayat suci al-Quran?

Kita tahu, yang kita paparkan adalah salah. Dan kemudian kita gunakan ayat suci bagi menutup kesalahan ini?
Ada adegan yang jelas memperlihatkan kebodohan, pelakon menjerit tidak semena-mena, darah menitik di muka atau tiba-tiba bila melihat cermin, kelihatan dahi yang cedera dan berdarah?
Negara sedang berusaha melahirkan rakyat yang berketrampilan. Selama puluhan tahun sejak merdeka, pelbagai anjakan telah dibuat untuk mengubah minda rakyat. Alhamdulillah perubahan-perubahan ini dapat diterima rakyat melalui pelbagai program dan kempen yang mahal.

Namun adalah sangat memeranjatkan bila filem-filem hantu dan seram yang mengisi setiap siaran setiap hari memutar balik ke belakang fikiran rakyat.
Ini perlu diberi perhatian serius!
Bagi yang jarang berpeluang menonton televisyen kita, biarlah saya katakan filem semacam ini sekarang semakin banyak sehingga memualkan.

Barangkali ramai pihak beranggapan kini adalah era atau zaman bagi cerita-cerita seperti ini, namun, saya melihat eksploitasi yang berlebihan terhadap perasaan penonton hanya akan menjurus kepada persoalan yang tidak dapat dikendalikan dengan baik.

Yang jelas, ini semua soal pasaran. Keuntungan adalah perkara utama, sementara apa akan terisi dalam minda rakyat, itu urusan kerajaan untuk membetulkannya semula. Demikian fikiran sebahagian rakyat kita tanpa sedar bahawa kita semua menyumbang kepada kemajuan atau keruntuhan.

Lebih dahsyat, kita sangat bimbang sebahagian filem-filem seperti ini akan memesongkan akidah dan melemahkan pemikiran bangsa kita.
Saya mohon perkara ini dihalus(sumber: lshak Mohamad,Alor Gajah,Melaka)

TB minta kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pemimpin masyarakat, guru-guru, Kementerian Pelajaran dan  Kementerian Penerangan,Komunikas, Kebudayaan& Warisan turut sama-sama menggemblingkan usaha memboikot dan membanteras gejala-gejala  tidak sihat dan tidak beretika kesan daripada berleluasanya produksi filem-filem seram yang jelas memperbodohkan minda orang-orang Melayu di samping elemen khurafat,syirik dan mistik yang banyak merosakkan pembangunan insaniah dan rohaniah.
Bagaimana pula JAKIM dan Lembaga Penapis Filem Negara?

Tiada ulasan: