Salam Perjuangan

21 April 2011

PESTA BUKU KUALA LUMPUR

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2011) yang bakal berlangsung bermula 22 April hingga 1 Mei ini merupakan pesta terbesar kepada para pencinta buku di Malaysia.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan ianya merupakan indikator kepada tahap ketamadunan dan budaya membaca masyarakat Malaysia. Alhamdulillah, dengan munculnya pemain-pemain besar dalam penerbitan buku bahasa Melayu, sambutan terhadap PBAKL saban tahun kian meningkat. Ini terbukti dengan penambahan gerai hampir setiap tahun semenjak ia berlangsung.

Namun hakikatnya, kehangatan pada tahun ini tidak dirasai meskipun perayaan buku itu hanya sedetik sahaja dari sekarang.

Promosi secara peribadi daripada pihak penerbit sahaja yang dapat dilihat dan didengar sedangkan promosi rasmi daripada pihak penganjur dan urusetia hampir sahaja tiada.

Mengapakah perkara ini berlaku sedangkan bajet bagi promosi khabarkan sudah disediakan malah diberikan kepada pihak urusetia.

Pada pendapat saya, pesta buku tidak wajar dikomersialkan oleh media penyiaran eletronik mahupun cetak, ia adalah satu sumbangan sosial yang terpenting dalam korpus ketamadunan dan intelektual.

Saya menyeru RTM, Media Prima, Astro dan seluruh saluran media di bawahnya memberikan sumbangan berbentuk promosi percuma ini.

Begitu juga kepada semua akhbar dan majalah cetak di Malaysia termasuk melalui laman web rasmi masing-masing. Andai setiap kali pesta buku promosi mengenainya diberikan secara percuma dan meluas tanpa memikirkan hasil komersial, slogan Bangsa Malaysia Bangsa Membaca bakal menjadi realiti.

Justeru saya merayu kepada semua pihak media di Malaysia agar memberikan perhatian dan promosi yang meluas terhadap PBAKL yang bakal berlangsung hari Jumaat ini.
Semoga anak bangsa Malaysia terus didedahkan dengan budaya intelektual lantas membesar menjadi sebuah tamadun Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.(sumber:MK, 20/4/11)

Tiada ulasan: