KERAJAAN bercadang menjadikan sekolah-sekolah berasrama penuh di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan sukan di samping pelajarnya juga berjaya dalam bidang akademik.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rancangan itu boleh dijayakan kerana sekolah tersebut melaksanakan pembelajaran satu sesi dan pelajarnya berada di sekolah berkenaan sepanjang masa.
“Saya berpendapat satu cara untuk mengembangkan bidang sukan di kalangan pelajar adalah dengan mewajibkan aktiviti sukan di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh kerana kemudahan yang terdapat di sekolah itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan kerjanya ke negara ini sejak Isnin lalu atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China, Li Keqiang di sini hari ini.Lagi pula katanya, terdapat berpuluh buah sekolah berasrama penuh di seluruh negara berbanding dua sekolah sukan yang telah dibuka oleh kerajaan dalam melahirkan atlet negara.Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, di kebanyakan negara lain, pelajar sekolahnya diwajibkan mengambil dua acara sukan.
“Sekolah Tinggi Eksperimental Universiti Beijing yang saya lawati contohnya telah berjaya melahirkan pelajar cemerlang akademik dan menjadi atlet negara kerana sistemnya yang memberi penekanan terhadap kedua-dua bidang itu,” katanya.Penekanan terhadap bidang sukan di sekolah berasrama penuh katanya, adalah selaras dengan program Satu Pelajar Satu Sukan yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi menyamarakkan budaya bersukan di kalangan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin pelajar sekolah berasrama penuh yang terlibat dengan aktiviti sukan tidak akan terjejas prestasi akademik mereka.Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, budaya sukan perlu dikembangkan di sekolah kerana ia juga penting dalam pembangunan negara dan ia tidak sepatutnya ‘mati’ sebaik sahaja pelajar menamatkan persekolahan mereka untuk menyambung pengajian ke universiti.
“Kalau budaya sukan itu sudah disemarakkan di peringkat sekolah, sudah pasti ia tidak akan mati kalau mereka pergi ke universiti pula,” katanya. (sumber: UM,23/4/11)
Berdasarkan pengalaman, TB sukalah memberitahu bahawa sudah menjadi lumrah (dasar?) bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah seliaan Bahagian Sekolah Berasrama Penuh (Persekutuan) Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi fokus KECEMERLANGAN dalam AKADEMIK, SAHSIAH dan KOKURIKULUM (sukan,permainan &persatuan) sebagai wadah untuk kejayaan para pelajarnya.
Justeru saranan Tan Sri Muhyiddin bukanlah sesuatu yang baru tetapi sekadar mengingatkan semula tentang peranan yang patut dimainkan oleh SBP lantaran posisi sekolah tersebut yang mempunyai pelbagai prasana dan segala kemudahan yang diperlukan. Cuma TB tidak pasti adakah pertemuan tahunan antara seluruh SBP untuk segala pertandingan bagi mengasah bakat dan kebolehan masing-masing seperti dalam bidang sukan, pidato dan perbahasan ada seperti pada masa-masa lalu?
TB amat seronok sewaktu bertugas sekitar 1980-an sebagai guru di SBP suatu waktu dahulu ;didapati para pelajar SBP begitu hebat dalam arena sukan seperti ragbi, hoki, acara balapan, acara padang, catur (indoor sport) dan sebagainya. Dan ada di antara mereka berjaya mewakili hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Bahkan dalam kokurikulum bukan sukan mereka menyerlah dalam aktiviti pidato dan perbahasan yang mana kesannya ramai di antara mereka telah memilih kerjaya sebagai peguam atau pegawai undang-undang. Syabas!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan