JABATAN Kastam DiRaja Malaysia dan para pegawainya tidak semua pengkhianat negara walaupun dianggarkan RM108 bilion yang sepatutnya menjadi pendapatan negara setiap tahun lesap manakala lebih RM10 bilion lagi dipindahkan secara haram ke luar negara.
Kerugian itu dikesan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara.Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, angka kerugian itu dianggarkan akibat aktiviti pemindahan wang secara haram melalui beberapa cara termasuk taksiran kurang, transaksi tanpa rekod serta penyeludupan wang.
"Akibat tindakan 'tangan-tangan kotor' ini, negara mengalami kerugian apabila hasil pendapatan lesap manakala wang rasuah yang diperolehi mereka dipindahkan secara haram ke luar negara.
"Berikutan itu, SPRM mengadakan 'Operasi 3b' iaitu sasaran kita mengembalikan semula RM3 bilion hasil pendapatan negara yang lesap," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mustafar berkata, hasil operasi itu, sebanyak 62 orang pegawai JKDM telah ditahan dan sejumlah RM602 juta wang dibekukan, selain RM382 juta disita manakala RM31.2 juta dilucut hak harta.
"Kita siasat semua kes dan tangkapan ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganas 2001 dan kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah melibatkan wang berjumlah RM1.2 bilion," katanya.(sumber:UM,3/4/11)
TB bagi pihak semua penjawat awam dan pesara kerajaan berasa amat sedih dan menganggap suatu tragedi besar bagi semua penjawat awam Malaysia yang selama ini bertungkus-lumus mecari rezeki demi sesuap nasi untuk ahli keluarga. Para penjawat awam saban tahun sibuk dengan Sasaran Kerja Tahunan (SKT), KPI dan laporan prestasi masing-masing bagi mengharapkan hanya beberatus ringgit sahaja setahun setelah bertahun-tahun berkhidmat untuk kenaikan gaji yang tidak seberapa bagi memenuhi impian dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM).Bahkan ada juga penjawat awam yang jujur,amanah dan beretika sanggup bersara awal kerana berasa amat kecewa dengan sistem dan peluang kenaikan pangkat di sesetengah sektor kerajaan.Ada juga yang bersara awal kerana tidak mahu terjebak dengan gejala-gejala rasuah dan pecah amanah. Bahkan yang amat menyedihkan , ramai kakitangan kerajaan yang 'terpaksa' dipotong gaji beberapa ratus untuk Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) melalui potongan gaji berjadual walaupun gaji bulanannya tidak seberapa.
Namun dalam situasi di atas, ada juga penjawat awam seperti laporan berita hari ini yang bersikap durjana,pengkhianat dan pembelot negara. Tidak keterlaluan mereka adalah gunting dalam lipatan di sektor awam.TB masih ingat lagi, ketika TB mula memasuki perkhidmatan awam pada tahun 1978 dahulu, rakan sekolah TB yang mula berkhidmat di Jabatan kastam sebagai pegawai kastam kumpulan sokongan dalam beberapa bulan sudah mampu memiliki sebuah kereta. Sedangkan TB dan rakan-rakan sejawat masih dengan motosikal honda cub kapcai untuk beberapa tahun lamanya. Bayangkan TB hanya mula mampu memiliki motokar terpakai yang dibayar secara ansuran setelah lebih 8 tahun berkhidmat dalam kerajaan!
Justeru adalah penting suatu mekanisme baharu diperkenalkan kepada penjawat-penjawat di bahagian penguatkuasaan sama ada di Jabatan Kastam, PDRM, lmigresen dan PBT atau Pertahanan Awam bagi memantau mereka misalnya pengistiharan harta wajib dilakukan setiap 6 bulan, suatu sistem dan syarat pemilikan harta wajar diperketatkan, semakan akaun bank dan sebagainya.
Bagi mereka yang terbukti dan didakwa melakukan jenayah rasuah dan penyelewengan yang tidak bermoral dan jijik ini wajar harta mereka disita dan dirampas, dibuang kerja dan hilang segala kemudahan pecen terbitan/bulanan dan segala imbuhan/gruiniti persaraan selain dihukum mengikut akta yang berkaiatan. Dan adalah malang sekiranya didakwa dan dengan kelicikannya semasa proses pendakwaan di mahkamah maka akhirnya kes ini tidak cukup bukti untuk didakwa, didapati 'tidak bersalah', dan memenangi kes kerana kehandalan peguambela masing-masing. Dan akhirnya siapakah yang teraniaya? Tidak lain tidak bukan, rakyat terbanyak juga yang menanggung azab sengsara!(Pertama kali disiarkan dalam Tiubocor Daily pada 3/4/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan