JEMAAH haji dan umrah di negara ini dilarang mengambil gambar di sekitar Tanah Haram, Makkah selepas melakukan tawaf wida kerana ia boleh membatalkan tawaf itu dan menyebabkan ibadat yang dilakukan tidak sempurna.
Pembimbing Ibadat Haji, Sapawi Che Mat, berkata larangan itu sememangnya wajar kerana tindakan mengambil gambar selepas tawaf wida tiada kaitan dengan urusan ibadat.
“Malah, jemaah juga dianggap melengahkan perjalanan pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau yang juga penceramah bebas, berkata resolusi yang disenaraikan itu wajar disebarkan untuk manfaat jemaah haji dan umrah negara ini bagi mengelak melakukan perbuatan yang dilarang hukum syarak.
Malah, beliau juga mengambil inisiatif menyediakan bahan yang sesuai berkaitannya untuk kursus haji yang sedang berjalan sekarang, selain untuk makluman jemaah umrah.
Sementara itu, bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji Tabung Haji, Datuk Daud Che Ngah, berkata mengikut hukum, tawaf wida adalah langkah terakhir bagi jemaah untuk meninggalkan Masjidil Haram.
“Selepas tawaf wida, jemaah hanya boleh melakukan solat sunat, mengucup Hajar Aswad dan berdoa, jadi mengambil gambar boleh menyebabkan tawaf wida jemaah terbatal dan wajib melakukannya semula atau membayar dam,” katanya.
Daud yang juga Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, berkata walaupun ibadat sah, jemaah berdosa kerana melanggar hukum syarak.
Beliau berkata, syarikatnya yang menjalankan kursus haji dan umrah turut mencatatkan perkara itu dalam buku peraturan ibadat berkenaan, serta menjelaskan secara terperinci kepada semua jemaah yang menghadiri kursus anjuran syarikat terbabit.
“Menjadi tanggungjawab untuk memaklumkan mengenai larangan ini bagi mengelak jemaah melanggar hukum syarak hingga wajib melakukan tawaf wida semula,” katanya.(sumber: UM,14/4/11)
TB mohon maaf zahir dan batin, menyusun sepuluh jari kemaafan dari hujung jari ke hujung rambut, halalkan mana-mana yang termakan atau terminum kepada sesiapa jua sama ada yang TB kenal,kurang kenal atau tidak kenal. Doakan TB selamat menunaikan lagi ibadah umrah nanti. Dan insya-Allah jika ada izin dan kurnia-Nya berhasrat mahu menunaikan fardu haji pada suatu waktu. Doakan kesejahteraan dan kesihatan TB dalam sihat walafiat dan dalam lindungan-Nya. Dan semoga ruangan blog ini berterusan di persisian walau di mana TB berada, selagi hayat dikandung badan. Dan TB berterusan mengakses bahan-bahan selagi 'line;' tidak bermasalah. Amin. (pertama kali disiarkan dalam blog TB pada 14 April 2011 lalu)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan