Salam Perjuangan

16 April 2011

SARAWAK: INDAH KHABAR DARI RUPA? APAPUN SELAMAT MENGUNDI HARI INI

SEBELUM pengumuman  pilihan raya DUN Sarawak, TB telah mengembara hampir keseluruhan negeri Sarawak dari utara hingga ke selatan, bermula dari sempadan Sabah dan Brunei ke Limbang, Miri seterusnya ke Bintulu dan Sibu sehingalah ke Bau dan Santubung di selatan.. TB telah melalui jalan darat,udara dan jalan sungai. Tidak dapat dinafikan juga jalan darat yang panjang dan jauh kerana taburan penduduk yang tidak menentu maka menyebabkan pemandu bas dan kereta memandu begitu berhati-hati,berhemah dan berdisiplin.tidak seperti pemandu-pemandu di lebuh raya di Semenanjung.

Di sana sini tampak banyak kawasan tanah hutan ditebang untuk mengeluarkan balak.Terdapat juga tanah-tanah baru yang diteroka dengan penanaman lada hitam, kelapa sawit dan hasil pertanian lain. Begitu juga di sungai-sungainya termasuk Sungai Rajang yang kelihatan balak-balak bergelimpangan.Di bandar-bandar atau pekan besar pusat-pusat hiburan dan rehat seperti pub,spa, sauna dan urutan tidak terlepas dari pekerja-pekerja asing seperti dari China, lndonesia dan Filipina.

TB berhenti di beberapa pekan, daripada wajah dan gaya hidup agak jelas kelihatan penduduk peribumi masih banyak dihimpit kemiskinan dan kedaifan. Bahkan banyak bandar utamanya seperti Miri, Bintulu dan Sibu seolah-olah figura dan lanskap menggambarkan kita bukan berada di Sarawak tetapi seperti berada di bandar-bandar tanah besar China.

Soalnya apakah 'ayam di kepuk mati kelaparan,itik di air mati kehausan' yang sering kita laungkan di Semenanjung sama juga boleh didendangkan di Sarawak? Sayang Sarawak, peribuminya merintih sendiri.
Tidak kira sama ada BN memenangi kerusi pilihan raya DUN kali ini atau tidak,dalam apa jua janganlah diperbodohkan anak-anak peribumi Sarawak kali ini. Janganlah digula-gulakan dengan hanya lenggok tarian tradisi dan muzik alunan masyarakat lban atau Dayak sedangkan rata-ratanya bumiputera masih banyak merempat di bumi sendiri.Apatah lagi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi terpinggir di sana sini.

TB menaruh harapan andainya BN bersama warga Sarawak lagi, harapan kita agar BN melakukan anjakan paradigma untuk mengembalikan harta kekayaan bumi Sarawak untuk peribumi yang miskin.Kita tidak mahu hanya segelintir yang mengaut kekayaan dengan dasar pecah dan perintah yang tidak sesuai lagi pada era ini.
Biar sayang Sarawak kena pada tempatnya! (TB)
 


Tiada ulasan: