Salam Perjuangan

13 April 2011

KEADILAN BUAT MAHASISWA: BAGAIMANA?

MAHASISWA, yang digantung pengajian satu semester, ditarik semula biasiswa JPA, dikehendaki membayar semula biasiswa sebanyak RM 20 000, dikenakan denda sebanyak RM200 oleh pihak universiti di atas tuduhan yang tidak munasabah.

Lalu apakah lagi yang diharapkan daripada sebuah universiti?

Saya simpati terhadap nasib yang menimpaTan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee. Sebagai seorang mahasiswa, saya dapat merasai kesusahan, bebanan dan tekanan yang dihadapi mereka.

Bagi saya, apalah gunanya tempoh rayuan yang diberikan selama 14 hari jika pihak universiti seolah-olah sudah tekad menghukum mereka sedemikian rupa.

Saya berjumpa sendiri dengan Tan yang sudah kelihatan kurus dan cengkung. Mana tidaknya, seorang mahasiswa yang lahir daripada keluarga yang sederhana terpaksa menanggung bayaran balik biasiswa dan digantung pengajian hanya di atas tuduhan memalsukan dokumen surat cuti sakit yang digunakan untuk mendapat pengecualian daripada menghadiri bengkel persediaan calon yang diadakan oleh pihak universiti?

Tanpa pembelaan diri!

Hukuman yang dikenakan seolah-olah kedua mereka sudah membuat suatu jenayah berat. Padahal mereka sendiri tiada peluang membela diri ketika prosiding dijalankan.

Saya melihat pihak universiti seperti membalas dendam atas sesuatu sehinggakan kuasa budi bicara Naib Canselor yang bertunjangkan belas ihsan tidak dilenturkan sebaik mungkin.

Apa yang menghairankan, mereka dituduh atas kesalahan yang kecil bahkan mereka sudah pun tidak mengaku bersalah dan mahu membuat pembelaan diri dengan membawa saksi (saudara Che Rozaihan-pelajar tahun 2 API) yang turut bersama beliau sewaktu hari kejadian. Namun, sekali lagi dinafikan hak untuk membela diri serta menjawab pertuduhan melampau ini.

Lalu apalah gunanya kedua mahasiswa ini mengerahkan tenaga dan masa sehingga mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang sehingga mereka menawarkan diri untuk berbakti kepada masyarakat mahasiswa! (Bertanding pilihan raya kampus).

Apakah tiada langsung simpati dan belas ihsan yang boleh ditawarkan oleh Naib Canselor atas kuasa budi bicara beliau? Jika bebanan ini menimpa anak mereka sendiri, apakah mereka akan terus bertahan tanpa mengalirkan airmata dek kerana tekanan yang sedang dihadapi oleh ibu bapa Tan dan Yeong? (sumber: Malaysiakini, 13/4/11)

Tiada ulasan: