MINGGU lalu saya bawa keluarga ke pusat IT terkenal di Kuala Lumpur – Plaza Low Yat. Ada macam-macam gajet baru dan terbaru di sana.Memang barangan seperti telefon bimbit, komputer, kamera dan alat mainan video agak murah di sana dibandingkan dengan harga di tempat lain. Sebab itu kalau datang ke KL, ramai yang berlegar-legar di Low Yat mencari alat yang diidamkan.
Niat di hati saya datang ke sana untuk membeli alat mainan X-box 360. Menurut anak remaja saya, mainan video itu lebih canggih daripada Play Station 3 (PS3). Masalahnya, jika sudah membeli Xbox ini, kita hadapi kesukaran mendapatkan VCD mainan yang murah. Xbox hanya menerima VCD tulen sahaja. Kalau hendak yang boleh main VCD murah iaitu yang dicetak rompak, pembeli kena tambah duit lagi. Peniaga IT di sana boleh menawarkan Xbox yang sudah diubah suai. Jadi boleh main VCD yang berharga RM20 satu. Kalau tidak, kena beli VCD tulen yang berharga RM100 satu.
Aduh! Harga satu Xbox pun sudah RM200 lebih mahal daripada harga PS3. Serupa juga dengan PS3, tak boleh main VCD tiruan. Nak main VCD cetak rompak, PS3 kena diubah suai dahulu dan perlu tambah kos sedikit. Termenung dan puas berfikir, akhirnya kami membeli Playstation Portable (PSP) tulen sahaja. Kelebihannya ialah mainan video boleh dimuat turun melalui Internet. Ini pun salah satu perbuatan cetak rompak.
Plaza Low Yat tempat pakar IT. Segala-galanya mudahdilakukan di sana. Kalaulah pemilik harta intelek yang terdiri daripada syarikat gergasi dunia tahu apa yang dilakukan oleh ‘pakar-pakar’ di dalam Plaza Low Yat, tentu mereka bertindak.Saya percaya, mereka tahu kegiatan pemalsuan dan cetak rompak itu. Syarikat IT dunia itu ada wakil mereka di negara kita. Tapi kebanyakan yang dilantik jadi wakil itu terdiri daripada bukan bumiputera.
Jarang-jarang kita mendengar laporan tindakan undang-undang diambil terhadap kegiatan cetak rompak barangan IT. Yang selalu kita baca, dengar dan tonton ialah operasi serbuan ke atas VCD cetak rompak.
Betulkah apa yang dilakukan oleh peniaga-peniaga IT di Plaza Low Yat dan kawasan-kawasan yang lain itu tidak menyalahi undang-undang negara dan antarabangsa?
Mungkin perkara ini dipandang sebelah mata sahaja sebab semua orang kita suka barang tiruan dan murah. Sebab itu tak ada siapa yang ‘bising-bising’ soal barangan tiruan dan cetak rompak. Tak ada siapa yang sanggup jadi saksi dan tunjuk bukti kegiatan pencurian harta intelek berlaku di sana.
Di sana, tak nampak wajah-wajah orang bersalah. Mereka rasa perbuatan mereka adalah betul. Kalau semua orang sudah rasa selesa dan anggap semua betul, maka urusan jual beli pun di pandang betul.
Bukan itu sahaja, tak siapa peduli kian ramai pekerja warga India atau Bangladesh yang berada di depan kaunter kedai IT. Tak lama lagi imej tempatan bakal tenggelam.(sumber:UM,21/4/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan