Salam Perjuangan

21 April 2013

PARLIMEN LEDANG: HASSAN KARIM LAWAN HAMIM SAMURI

PARLIMEN LEDANG ironisnya sering mengetengahkan 'orang luar'. Ada ketikanya kerusi parlimen dan ada ketikanya kerusi DUN. Soalnya, apakah yang sudah dilakukan di kalangan para pemimpin UMNO terdahulu yang tidak menyediakan para pelapis pemimpin yang berwibawa, berilmu dan beriltizam untuk masa hadapan? Apakah legitasi yang ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin lama seperti Cikgu Musa (Allahyarham), Md Nor Rashid, Ngah Abdul Rahman (Allahyarham), Ahmad Arshad (Allahyarham) dan lain-lain lagi? Tepuk dada tanyalah minda.

Kini PRU 13 mengemukakan calon 'heavyweight' Hassan Karim (PKR) dan lr.Hamim Samuri (BN/penyandang). Tiada calon bebas pada kali ini. Hassan Karim walaupun tidak TB kenali; tetapi sebagai seorang ahli akademik dan penulis, TB pernah ikuti namanya sebagai seorang aktivis di Johor Baharu. Hassan juga adalah calon luar Ledang.Hassan seingat TB ialah seorang pemimpin gerakan pelajar di IPTA yang cergas pada era 1970-an.Beliau juga tidak asing lagi bergiat dalam parti pembangkang di selatan Johor. Cuma TB tidak pasti sama ada beliau aktif dalam PSRM atau PRM ataupun PSM. Apapun setelah penggabungan PRM bersama PKR maka Hassan bergiat dalam PKR.

Menyebut nama Hassan, TB teringat Abdul Razak Ahmad (Allahyarham) yang hidup dan matinya dalam perjuangan membela rakyat marhaen.Hassan tidak kurang begitu juga. TB pernah terbaca esei-esei dan puisi beliau yang banyak menyentuh soal keadilan,pembelaan rakyat tertindas dan ditindas. TB sebagai seorang penyelidik hanya menyatakan sesuatu yang benar. Hassan juga adalah seorang pemidato yang baik. Apapun adalah baik sekiranya Hassan berkempen dari rumah ke rumah di seluruh daerah parlimen Ledang.Nyatakan dengan jelas misi dan misinya. Zaman calon 'berselimut' dalam rumah kini telah berakhir. Mampukah beliau?

Hamim Samuri difahamkan adalah penyandang. Khabarnya beliau juga dahulu adalah 'orang luar'. TB pun sehingga kini tidak mengenali siapakah beliau.Suara beliau juga jarang berkumandang di dewan rakyat; jika dibandingkan Dr Fuad Zakarshi (Parlimen Batu Pahat.). Jika di Selangor nama 'Samuri' adalah nama yang tidak asing iaitu 'Raja Tauke Sate Kajang' yang sangat popular.

Adakah Hamim mempunyai kaitan dengan 'Samuri Kajang'? Wallahualam.Apapun Ledang adalah kawasan tradisional yang selalu dikatakan selamat untuk UMNO. TB yang lahir dan dibesarkan di daerah ini sejak zaman sebelum merdeka memang sedia maklum bahawa budaya dan kehidupan masyarakat dalam daerah ini tidak dapat dipisahkan daripada UMNO.Tetapi zaman lalu yang datang bila-bila masa boleh berubah.Masyarakat kian celik minda dek kebolehupayaan menggapai ilmu.

Untuk lebih berlaku adil; baik Hassan mahupun Hamim (penyandang) perlu lebih akrab mendekati masyarakat dan mengenali setiap individu adalah suatu kelebihan. Situasi seronok di zon selesa pada era Abdul Ghani 0thman telah berakhir.Lakukan kewajipan anda; baik sebelum memenangi kerusi ini mahupun sesudah memiliki kerusi ini. Selamat maju jaya. (TB)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dapat respons daripada hassan karim, bagus juga.