Salam Perjuangan

19 April 2013

AISHAH : SERIKANDI BANGSA YANG KEMBALI KE RAHMATULLAH



VETERAN UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, 90, meninggal dunia di Hospital Gleneages di sini pada 12.50 tengah hari ini kerana sakit tua, Demikian menurut cucunya Ahmad Arif Astaman  yang dipetik daripada Bernama.

Aishah Ghani lahir 15 Disember 1923 ialah Menteri Kebajikan Masyarakat Malaysia antara 1973 dan 1984, serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia antara tahun 1972 sehingga 1984. Dilahirkan di Kampung Sungai Serai, Hulu LangatSelangor,
 Aishah memperoleh pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Bukit Raya,CherasSelangor dan menyertai sekolah menengah di Diniyah Puteri, Padang PanjangSumatera BaratIndonesia, dari tahun 1936 hingga 1939. Pada tahun 1940 hingga 1943, beliau menyertai Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang, Sumatera Barat, dan kemudiannya pergi ke London pada April 1955 dan memperoleh ijazah kewartawanannya dari Politeknik Regent Street di London pada Disember 1958.

Penglibatan Aishah dalam bidang politik bermula sebaik sahaja Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada tahun1945, dan beliau menjadi Ahli Jawatankuasa dan sekaligus mengetuai sayap wanita yang dipanggil Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Ketika itu, beliau juga bertugas sebagai wartawan Pelita Malaya, lidah rasmi PKMM.

Aishah keluar daripada AWAS pada tahun 1946 (AWAS kemudian diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1948) dan menyertai perhimpunan yang menuntut kemerdekaan di Kelab Sultan SulaimanKuala Lumpur, pada Mac tahun yang sama. Beliau menyertai UMNO Kampung Baru pada tahun 1949 dan dilantik sebagai Setiausaha.

Sekembalinya Aishah dari kursusnya di London pada tahun 1959, beliau bertugas sekali lagi sebagai wartawan, kali ini untuk Berita Harian, serta sebagai penyunting di Kumpulan Akhbar New Straits Times. Beliau meletakkan kedua-dua jawatannya pada tahun 1963apabila beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta Naib Ketua Wanita UMNO.Pada 13 September 1962, beloau dilantik sebagaiSenator dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.Beliau adalah wanita yang pertama di Malaysia menjadi senator serta wakil wanita Malaysia yang pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dari tahun 1967 hingga 1972, Aishah menjadi wakil Malaysia ke Persidangan Suruhanjaya Taraf Wanita PBB. Beliau juga menyandang jawatan Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor antara tahun 1960 hingga 1972.

Pada tahun 1972, Aishah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, satu pertubuhan yang beliau mengetuai selama 12 tahun sehingga 1984. Pada 1 Mac 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat selepas persaraan Tun Tan Sri Dr. Fatimah dan memegang jawatan ini selama 11 tahun sebelum menamatkan khidmatnya pada tahun 1984. Semasa menyandang jawatan Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau melancarkan Yayasan Kebajikan Negara, sebuah pertubuhan yang masih berfungsi pada hari ini. Aishah ialah Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sejak tahun 1986 hingga sekarang.

Selepas kerjaya politiknya, Aishah menyandang jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1985-1997), Ahli Jawatankuasa Yayasan Tun Abdul Razak, serta Pengerusi Pusat Perlindungan Wanita Darsaadah. Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad sejak penubuhannya pada tahun 1975.
Seakan-akan ini tidak mencukupi, Aishah juga menumpukan masanya dalam bidang perniagaan, dan merupakan pengerusi dan/atau pengarah untuk sekurang-kurang tujuh syarikat sendirian berhad.
Kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya, Aishah Ghani bukan setakat pemimpin UMNO, bukan setakat pemimpin wanita Melayu; bahkan Aishah adalah ikon dan serikandi wanita Malaysia sepanjang zaman.Semoga semangat perjuangannya menjadi teladan kepada seluruh wanita hari ini; khususnya para puteri tanah air.Dalam bara jiwanya, tetap tertiup darah perjuangan serikandi untuk agama, bangsa dan watan tercinta. Al-fatihah....(oleh TB & sumber tambahan daripada Bernama & Wikipedia).

Anugerah
·         1971Johan Mangku Negara (J.M.N.) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
·         1978: Darjah Dato' Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua (D.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datin Paduka' oleh Kerajaan Selangor
·         1985Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaran 'Tan Sri' oleh Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
·         1986: Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia (USM)
·         1999: Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datin Paduka Seri' oleh DYMM Sultan Selangor
·         2002: Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).



Tiada ulasan: