WALAUPUN ditentang oleh isterinya sendiri, penyanyi dangdut tempatan, Masrun Tamsi, atau nama popular Herman Tino tetap bertekad untuk bertanding di Parlimen Tanjung karang atas tiket Bebas.
Terkini, penyanyi berusia 59 tahun itu didakwa telah ditaja oleh parti pembangkang untuk menjatuhkan parti Barisan Nasional (BN). Dakwaan tersebut, walaubagaimanapun disangkal oleh Herman yang menyatakan bahawa beliau masih berasa terhutang budi kepada Barisan Nasional (BN) yang sering memberikan pertolongan kepadanya. Tambahnya lagi, keputusannya untuk bertanding diambil hanya dalam tempoh 24 jam.
"Namun atas dasar ketidak puasan hati terhadap segelintir pemimpin yang tidak memandang kewujudan saya sebagai anak seni dan penduduk tempatan, hati saya jadi marah, seterusnya menjadi punca tindakan bertanding sebagai calon Bebas diambil," katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
"Meskipun ramai menuduh saya membelot parti dan dikritik teruk semua yang memungkinkan mata pencarian sebagai artis selepas ini lenyap, namun semua itu saya terima dengan hati terbuka."
Jelasnya, bukan niat beliau untuk menentang pihak kerajaan sama sekali mahupun terlibat dalam dunia politik yang ternyata memakan banyak wang untuk berkempen.
"Saya tiada wang yang banyak untuk dijanjikan kepada pengundi sekiranya menang nanti, tetapi saya mampu menjanjikan jambatan kasih sayang untuk memulihkan hubungan orang ramai yang kini dilihat rosak kerana taksub dengan fahaman politik masing-masing," katanya.
Dalam usahanya untuk berkempen, pihaknya yang bergantung kepada dana tertentu juga terpaksa menggadaikan harta-benda. Di samping itu, Herman turut mendapat sokongan para sahabat yang mana beliau telah memperoleh wang deposit untuk bertanding selepas dua daripada mereka menggadaikan kereta bernilai RM10,000.(sumber:YahooMalaysia, 26/04/13)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan