KHATIB
menegur segelintir orang-orang Islam di negara Brunei Darussalam yang
tidak mengendahkan untuk mendengar doa yang dibacakan ketika menghadiri
sesebuah majlis, dan kalangan makmum yang terus bangkit tanpa berdoa terlebih
dulu selesai bersolat jemaah di masjid.
Dalam Khutbah
Jumaat , Khatib turut telah berkongsikan beberapa adab berdoa supaya doa itu
menjadi doa yang mustajab iaitu berwudu', menghadap qiblat, memulakan dan
mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah Ta'ala serta memberi
selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam.
"Alangkah
ruginya mereka yang tidak ikut serta berdoa kerana pada doa yang dibacakan
dalam suatu majlis atau selepas solat dan seumpamanya, lazimnya mengandungi
permohonan untuk mendapatkan keampunan, rahmat, keberkatan, kesejahteraan,
kesihatan dan keselamatan serta memohon perindungan diri dan keluarga dari mara
bahaya, bencana dan sebagainya."
Khatib
menegaskan bahawa umat Islam sepatutnya mendengar dengan khusyu' dan tawadu'
akan doa yang dibacakan itu serta turut meng"Amin"kannya supaya turut
sama mendapat keberkatan dari doa berkenaan.
"Dan
ingatlah bahawa orang yang tidak mahu berdoa dianggap sebagai orang yang
sombong kepada Allah Ta'ala, bahkan mereka juga akan mendapat kemurkaan dari
Allah Ta'ala."
Namun Khatib
memberi peringatan bahawa seseorang itu tidaklah boleh berdoa dengan suatu yang
tidak munasabah dan mustahil ataupun mendoakan keburukan dan keikhlasan kepada
orang lain.
Khatib turut
mengingatkan bahawa adalah lebih elok jika turut berdoa untuk kebaikan dan
kesejahteraan umat Islam seluruhnya, dan lebih utama lagi turut mendoakan untuk
ibu bapa dan anak-anak.
"Perlulah
diketahui bahawa terdapat banyak waktu jika kita berdoa di dalamnya, doa akan
mudah dan cepat dimakbulkan, antaranya ialah Malam Jumaat dan Hari Jumaat,
waktu di antara azan dan iqamah, ketika Khatib duduk di antara dua khutbah,
ketika sujud di dalam solat, setelah solat fardu, di bulan Ramadhan, pada Malam
Al-Qadar,Hari Arafah, ketika minum air Zam Zam, ketika membaca Al-Quran
terutama apabila khatam."
Namun, menurut
Khatib, perlu juga diingat bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh
menyebabkan doa tidak dimakbulkan Allah Ta'ala, antaranya ialah orang yang
berdoa itu tidak dicintai Allah Ta'ala kerana mengabaikan perintah dan
larangan-Nya. ( Sumber : Hasrulraizan MP 19/4/2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan