Salam Perjuangan

30 April 2011

VIDEO SEKS: PENDEDAHAN KETERLALUAN JEJAS PEMIKIRAN REMAJA

PENDEDAHAN isu-isu seks seperti liwat, video lucah, bersekedudukan, rumah urut, ubat kuat dan lain-lain melalui media cetak, media elektronik dan media baru dilihat tidak terkawal dan boleh memberi kesan negatif kepada remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

Media arus perdana dilihat sangat gemar menayangkan sedutan VCD seks, gambar hubungan seks dan menceritakan isu-isu hubungan seks yang sangat memalukan.

Sebelum ini pihak sekolah telah berperang dengan masalah gejala sosial yang semakin serius setiap tahun.

Isu-isu seks yang disiarkan oleh media sejak akhir-akhir ini dijangka akan merangsang mereka untuk mencari, merasa dan mencuba. Remaja adalah mereka yang suka meneroka sesuatu yang baru.

Kerajaan dan masyarakat seharusnya menyediakan persekitaran yang kondusif merangsang mida mereka menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan tanah air.

Lebih menyedihkan lagi apabila pihak bertanggungjawab seperti tidak ambil peduli masalah moral dan hanya mendedahkan keburukkan seseorang dengan mengabaikan kesannya kepada remaja.

Semalam, episod pendedahan yang memualkan diteruskan melalui siri video seks kedua.

Keadaan ini umpama mendapat lesen dan lampu hijau dari pihak berkuasa, tidak ada sebarang amaran atau larangan yang ditegaskan berhubung penyebaran video ini. Lebih serius lagi video tersebut mendedahkan bahagian-bahagian badan pelakon yang sulit.

Dan tidak mustahil selepas ini, babak yang lebih memalukan akan didedah dan disebarkan sekiranya tidak ada penegasan dan amaran daripada kerajaan untuk melayari video ini dan tidak segera menyiasat dan menghukum penyebar video berkenaan.

Sekiranya isu yang meloyakan ini, dibiarkan dan dianggap remeh, Dewan Pemuda PAS Pusat percaya ini akan menjadi satu lagi episod buruk kepada masalah moral dalam masyarakat kita yang sememangnya sedang kritikal pada masa ini.

Lebih menakutkan ia mungkin akan menjadi suatu kebiasaan dan budaya di dalam negara kita.

Anak-anak kita yang sekarang ini telah terdedah dengan dunia IT tanpa sempadan tidak mustahil akan terjebak dan melayari gambar-gambar dan video-video lucah selain fitnah-fitnah yang telah di sebarkan di dalam internet.

Semua ini bertentangan dengan agama Islam dan budaya masyarakat timur.

Menyedari perkara ini bakal mendedahkan nilai negatif kepada masyarakat terutamanya pelajar-pelajar dan anak-anak sekolah, maka Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru seluruh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara, persatuan guru-guru, pertubuhan-pertubuhan pendidikan, NGO Islam dan semua NGO lain yang memperjuangkan nilai budaya timur bangkit membantah cara pendedahan isu-isu seks secara bebas dalam media.

Mereka perlu bersatu untuk membantahnya. Semoga dengan bantahan ini boleh menyelamatkan remaja kita daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.(sumber: Suhaizan Kayat,Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat)



27 April 2011

JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH : BEBERAPA KISAH DAN CORETAN


"Saya masih sayang Nor'aini bahkan, tiada niat menceraikannya, walaupun banyak tuduhan dilemparkan pada hari ini."Dramatis terkenal, Shaharuddin Tambi, 54, meluahkan demikian ketika ditanya oleh Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin sama ada beliau bersetuju dengan permohonan cerai secara baik yang difailkan oleh isterinya, Nor'aini Muhammad, 51.

Shaharuddin memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, isterinya yang pernah menghidap kanser rahim sering mengalami tekanan emosi.Tambah artis tersebut, Nor'aini memerlukan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan, bagaimanapun enggan mematuhi nasihat dan arahan doktor.

"Walaupun dia bersikap demikian, perasaan kasih dan sayang saya terhadapnya tidak pernah berubah," jelas Shaharuddin yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-10 menerusi filem Bintang Malam pada 1992.Terdahulu, Nor'aini memberitahu mahkamah, alasan dia memohon cerai antaranya tiada persefahaman selain mendakwa tidak mendapat hak sewajarnya sebagai seorang isteri.

Ekoran pelbagai alasan yang diberikan, Shaiful Azli memerintahkan pasangan itu menjalani sesi kaunseling di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dalam masa terdekat. Beliau menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula bagi mendengar laporan kaunseling tersebut.Shaiful Azli sempat menasihati plaintif dan defendan supaya berusaha memperbaiki hubungan setelah berkahwin selama 33 tahun sejak 25 November 1978. Pasangan tersebut yang tidak diwakili peguam syarie pernah bercerai pada 7 Ogos 1984, namun rujuk kembali keesokan harinya dan dikurniakan tiga orang zuriat. (sumber: UM, 27/4/11)

FACEBOOK : INILAH AKIBATNYA


Perkenalan seorang remaja dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Facebook menjadi mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa 'kenduri seks' sembilan lelaki di sebuah rumah teres di Mahkota Cheras, dekat sini Sabtu lalu.

Sebelum kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dikatakan keluar menaiki teksi dari rumahnya di Kondominium Rakyat, Pantai Dalam, kira-kira pukul 7 pagi untuk menemui rakan lelaki yang baru dikenali menerusi laman sosial tersebut.

Bagaimanapun, sebaik sahaja bertemu di lokasi dijanjikan, suspek membawa seorang rakannya menaiki sebuah kereta Proton Saga ke rumah mereka.Sebaik sahaja sampai, terdapat tiga lagi lelaki yang merupakan rakan suspek. Salah seorang suspek telah mendekati mangsa untuk mengadakan seks namun remaja itu yang enggan menurut kemahuannya telah dipukul lalu dirogol.

Suspek dikatakan memanggil empat lagi rakan lelakinya datang ke rumah tersebut sebelum menjadikan mangsa sebagai 'kenduri seks' beramai-ramai.Kejadian malang itu berakhir kira-kira pukul 9 malam selepas mangsa berjaya melarikan diri ketika dibawa salah seorang suspek ke restoran makanan tom yam.
Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian sebelum dibawa ke hospital berdekatan bagi pemeriksaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut."Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Kesemua suspek terbabit dipercayai berusia 20-an," katanya.(sumber: UM, 27/4/11)

26 April 2011

PERKASA HIMPUN DI KEDAH : MARI HADIRI

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mahu kaum Cina dan India melihat dari sudut positif perjuangannya dalam mempertahankan hak orang Melayu di negara ini.Yang Dipertua Perkasa Kedah, Syed Osman Mansor, berkata perjuangan PERKASA tidak dibuat secara tersembunyi malah ia akan terus mempertahankan kepentingan bangsa Melayu mengikut lunas undang-undang.

"Bangsa Melayu berpecah kerana politik, namun peningkatan kesepakatan mereka dapat dilihat melalui dua perhimpunan besar-besaran (anjuran Perkasa) di Pasir Mas, Kelantan dan di Pasir Salak, Perak tahun ini.
"PERKASA Kedah akan menganjurkan perhimpunan ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim di sini Jumaat dan Sabtu," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.
Syed Osman berkata lebih 30,000 orang dijangka menghadiri perhimpunan dua hari itu.
Katanya PERKASA akan melancarkan kempen "1Bumi 1Melayu" pada Sabtu untuk menuntut hak Melayu secara terbuka.(sumber: Malaysiakini, 26/4/11)

MAKANAN YANG TIDAK ELOK DIJAUHI

KEMENTERIAN   Kesihatan Malaysia  menyenaraikan 15 jenis makanan dan minuman yang tidak berkhasiat dan akan dilarang penjualannya di kantin sekolah seluruh negara.Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, senarai cadangan tersebut telah pun dikemukakan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) kementerian tersebut kepada Kabinet pada 4 April lalu dan keputusan muktamad akan diketahui bulan depan.

Menurut beliau, antara menu yang dilarang termasuk mi segera; gula-gula dan coklat; makanan yang diproses seperti burger, hotdog dan nugget; makanan yang dijeruk sama ada basah atau kering; teh dan kopi serta minuman berperisa kecuali susu berperisa."Garis panduan baru yang dicadangkan juga mengemukakan senarai 60 jenis menu yang boleh dijual kepada para pelajar tetapi dengan kuantiti yang dikawal.
"Ini termasuk mencadangkan penjualan nasi lemak dan nasi goreng secara berjadual iaitu sebanyak dua kali seminggu selain lontong, nasi pulut dan mi kari (sekali seminggu) selain beberapa menu seperti mi, bihun dan kuetiau sup yang boleh dijual setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pertama Pegawai-Pegawai Sains Kementerian Kesihatan di sini hari ini.Persidangan julung kali diadakan itu dihadiri 250 peserta terdiri daripada kalangan para pegawai sains kementerian, universiti dan pihak swasta.Rosnah berkata, pihaknya berharap para pengusaha kantin akan memberi sokongan kepada garis panduan pemakanan tersebut apabila diluluskan kelak bagi membantu mengatasi masalah obesiti di kalangan pelajar sekolah dewasa ini.
Malah bagi memantau penyediaan dan kebersihan makanan di kantin-kantin sekolah, pihaknya akan menghantar pegawai kesihatan dan inspektor kesihatan untuk melakukan lawatan secara mengejut pada setiap masa.

"Kementerian juga bercadang untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mengeluarkan garis panduan bagi para peniaga yang menjual makanan tidak berkhasiat di luar premis sekolah," katanya. Dalam perkembangan lain, Rosnah berkata, masih terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan profesion saintis tidak diisi di negara ini termasuk syarat-syarat ketat yang dikenakan kepada para siswazah yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, setakat September tahun lepas, biarpun terdapat 1,160 pegawai sains di Kementerian Kesihatan namun masih ada 303 kekosongan yang perlu diisi bagi memantapkan perkhidmatan kesihatan di negara ini.Terdahulu dalam ucapannya, Rosnah berkata, kerajaan menyediakan insentif sebanyak RM15,500 kepada para penyelidik yang berjaya menghasilkan paten selain mendapat royalti sebanyak 80 peratus daripada hasil pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Sehubungan itu, katanya, para saintis kementerian tersebut digalak untuk berganding tenaga bagi menjayakan inovasi-inovasi baru serta melahirkan paten-paten canggih berkaitan perubatan dan kesihatan.(disesuaikan daripada UM,26/4/11)

BAHASA MELAYU MALU DIPERTUTURKAN HANYA MEREKA YANG JAHIL DAN RENDAH DIRI

RAKYAT di negara ini diminta supaya tidak memandang remeh Bahasa Melayu yang juga merupakan Bahasa Malaysia dan Bahasa Kebangsaan negara  Malaysia dengan berasa malu untuk bertutur di khalayak ramai seolah-olah bahasa kebangsaan itu bukan bahasa ibunda negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat seharusnya lebih yakin dan berjiwa besar menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia yang kini antara bahasa paling unggul digunakan di serata dunia.Menurut beliau, dari segi jumlah penggunaan bahasa di seluruh negara bahasa kebangsaan adalah jauh lebih kerap digunakan berbanding bahasa-bahasa lain.

''Saya rasa ini kerana sikap, mungkin jika tidak menggunakan bahasa Inggeris tidak glamor dan seolah-olah bahasa Malaysia ini adalah bahasa yang rendah.'Paling penting adalah soal keyakinan untuk menggunakan bahasa kita. Oleh itu, saya menekankan supaya kempen menggunakan bahasa kebangsaan harus diteruskan," katanya ketika menjawab soalan tambahan ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Firdaus ingin tahu punca kemerosotan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat negara ini termasuk kakitangan awam dan syarikat swasta yang dilihat seperti ada yang tidak kena terhadap cara pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan di negara ini.

Muhyiddin yang merupakan Menteri Pelajaran tidak menafikan bahawa wujud rasa bimbang pihaknya terhadap kemunduran penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat hari ini yang lebih mengalu-alukan bahasa Inggeris.

Menurutnya, senario tersebut turut berlaku dalam majlis-majlis kerajaan yang mana penghormatan kepada bahasa luar terpaksa diutamakan sekiranya para jemputan terdiri daripada pihak negara luar walaupun bilangannya sangat kecil.

''Cuba lihat dalam majlis-majlis kerajaan, walaupun dalam majlis itu ada dua tiga kerat orang bangsa asing, pihak penganjur akan mengatakan minta maaf kerana terpaksa bercakap dalam bahasa Inggeris. Sedangkan hanya ada dua tiga 'mat salleh' tetapi kita pula nak tukar bahasa kerana nak ikut kerenah mereka.
''Adakah kerana bila kita menggunakan bahasa Malaysia, tidak ada orang hendak berlanggan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan," jelas beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, suasana kurang mesra bahasa kebangsaan di negara ini jauh berbeza dengan keadaan negara-negara besar dunia seperti China dan Jepun iaitu rakyatnya begitu bangga dengan bahasa sendiri, malah mendaulatkan penggunaannya pada semua peringkat.

''Sewaktu saya di China baru-baru ini, mereka di sana bercakap semua dalam bahasa mereka, apabila ada sesuatu majlis, bahasa utama mereka juga adalah bahasa ibunda negara itu, cuma apabila hendak bercakap dengan kita barulah mereka menggunakan bahasa Inggeris," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, untuk memastikan keadaan kurang yakin terhadap bahasa Malaysia, kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang telah mengadakan mesyuarat pertama bagi melihat bagaimana bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan kepada kedudukannya yang sepatutnya.
Di samping itu, kata Muhyiddin, kurangnya tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan juga antara faktor berlakunya keadaan bahasa Malaysia dipinggirkan.(sumber: UM, 26/4/11)

ANWAR OH ANWAR: KISAH SEBUAH TRAGIS ANAK BANGSA


ANWAR Ibrahim hadir di mahkamah bagi mendengar penggulungan kes liwat terhadap bekas pembantu peribadi beliau, Saiful Bukhari di Mahkamah Tinggi Jenayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

DATUK Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai penyumbang utama asid deoksiribonukleik (DNA) Lelaki Y yang ditemui di dalam rektum Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pendedahan identiti tersebut dibuat oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden sewaktu mengemukakan hujahan di akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pengesahan identiti itu juga membuatkan kesemua penyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh yang berada di galeri awam kelihatan diam seketika.
Mohd. Yusof menyatakan, perbandingan hasil ujian DNA yang dibuat oleh saksi pendakwa kelima, Dr. Seah Lay Hong dan saksi pendakwa keenam, Nor Aidora Saedon mengesahkan profil DNA yang ditemui di dalam rektum (salur dubur) Mohd. Saiful Bukhari dengan DNA yang terdapat pada tuala Good Morning, botol minuman 'Cactus' dan berus gigi adalah sepadan.

Ketiga-tiga barang tersebut diambil dari lokap yang menempatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu semalaman pada 16 Julai 2008 selepas beliau ditangkap, sebagai bahan bukti.
''Dengan padanan tersebut, tanpa sebarang ragu, ia mengesahkan bahawa penyumbang air mani Lelaki Y yang tidak dikenali dan dijumpai di dalam dubur mangsa adalah milik tertuduh,'' tegas Timbalan Kanan Pendakwa Raya itu.

Anwar, 64, dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.Oleh itu, ujar Mohd. Yusof, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie dalam kes tersebut dan tertuduh perlu dipanggil membela diri atas pertuduhan yang dihadapinya.

Selain itu, beliau menyatakan, barisan pembelaan tidak pernah mencabar secara serius keterangan terperinci Mohd. Saiful Bukhari berhubung kejadian liwat tersebut yang diberitahu dalam prosiding tertutup sebelum ini.
Niat tertuduh untuk melakukan perbuatan tersebut juga jelas kelihatan pada beberapa insiden yang berlaku sebelum dan pada hari kejadian.

Mohd. Yusof menyatakan, tertuduh berulang kali meminta Mohd. Saiful Bukhari untuk datang ke Kondominium Desa Damansara malah pada hari kejadian, Anwar sekali lagi mengingatkan pengadu agar ke tempat kejadian dengan membawa gel pelincir, KY Jelly.

''Tertuduh boleh berbincang mengenai jadual kerjanya dengan mangsa sewaktu masih berada di pejabat tetapi dia tidak berbuat demikian malah turut meminta Mohd. Saiful Bukhari membawa KY Jelly. Apa perlunya diminta membawa pelincir tersebut sekiranya hanya ingin berbincang mengenai jadual kerja?'' katanya.Sepanjang perbicaraan selama 57 hari, sebanyak 26 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dengan saksi pertama dan utamanya ialah Mohd. Saiful Bukhari. Prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersambung esok.(sumber: UM, 26/4/11)

TB tidak mahu komen apa-apa.  Cuma TB serahkan segala-galanya kepada Allah SWT  Yang Maha Mengetahui.

25 April 2011

KRITIK KERAJAAN UNTUK KEBAIKAN DIGALAKKAN - DR MAHATHIR

MEDIA arus perdana dalam negara harus sesekali menjadi pengkritik kerajaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
  
Beliau berkata ramai yang tidak bersedia untuk mengkritik kerajaan kerana mereka beranggapan mesti menyokong kerajaan sentiasa.
  
Dr Mahathir berkata media arus perdana juga mengamalkan tapisan berita sendiri dan ini memberi persepsi salah, seolah-olah berita mereka ditapis oleh kerajaan.
  
"Jadi kerajaan kadang-kadang mendapat pandangan yang berat sebelah tentang apa yang dimahukan oleh rakyat. Mereka (media) berpendapat harus lakukan tapisan sendiri.
  
"Dan ini sudah pasti memberi tanggapan bahawa kerajaan yang menyekat mereka," katanya pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Dr Mahathir yang juga penaung kepada Blog House Malaysia, penganjur persidangan itu berkata kritikan membina harus diberi demi kebaikan negara.
  
Katanya semasa penulis blog harus memberi layanan adil kepada kerajaan dan rakyat di laman blog mereka, penulis blog juga harus dilayan secara adil dan saksama.
  
Seramai 35 penulis blog dari negara Asean menghadiri persidangan itu yang bertema 'Blogging Mindfully and Responsibly'.(sumber: Malaysiakini, 25/4/11)

TB sentiasa mengamalkan dan menganjurkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) untuk penambahbaikan bagi setiap perjalanan kehidupan ini untuk kesejahteraan ummah sejagat.

Sebagai contoh  tidak salah jika 'anak-anak majikan' sebuah politeknik kerajaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPTM)  atau lnstitut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengkritik Pengarahnya yang hanya setakat memiliki ijazah pertama dalam kelulusan akademiknya agar berfikiran terbuka dan menghormati arus perubahan dalam budaya ilmu dan sentiasa menambahkan ilmu arus perdana tetapi tidak hanya berfokus untuk kenaikan pangkat peribadi; gred 52,54,jusa dan seumpamanya.

Janganlah menganggap gred pangkat itu simbol status atau mutu kejayaan.lnilah suatu contoh kritik yang wajar diterima secara terbuka agar tidak ketingalan arus perubahan kehidupan.

SARAWAK BUKAN UNTUK ETNIK CINA SAHAJA!

SYABAS penduduk Sarawak kerana memberi semula mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu.Awang Selamat kolumnis Utusan Malaysia  berharap kerajaan baru Sarawak dapat mengembalikan semula kepercayaan itu kepada rakyatnya dengan bersungguh- sungguh.Penduduk Sarawak masih mengharapkan banyak bantuan daripada kerajaan, terutamanya kaum Bumiputera yang cukup taat kepadanya.Sudah sampai masanya kerajaan Sarawak memberi perhatian sepenuhnya kepada pembangunan di kawasan-kawasan yang menyokongnya.

Perkukuhkan pusat-pusat pentadbiran di luar-luar bandar bagi memastikan pembangunan di situ diperhebatkan.
Lantiklah barisan Kabinet yang terdiri daripada kepemimpinan baru yang mantap dan berhati rakyat.
Jika di sepanjang kempen pilihan raya, para calon berhempas- pulas turun ke bawah ‘menyembah’ memohon ihsan rakyat memberi undi, maka pastikan barisan kepimpinan baru ini tidak mengabaikan mereka.

Bawalah masuk banyak pelaburan, supaya peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat Sarawak.
Perhebatkan pembinaan prasarana rakyat seperti bekalan elektrik, jalan raya dan air di semua kawasan kaum Bumiputera yang masih ketinggalan. Binalah rangkaian jalan sehingga ke kampung terpencil sekali pun.
Ingat, kaum Bumiputeralah yang memberi sokongan padu sehingga Sarawak dapat ditadbir semula oleh BN.
Pulangkanlah semula rasa terima kasih itu kepada mereka.(sumber UM, 18/4/11)

TB yang pernah menjelajah hampir keseluruhan negeri Sarawak pada penghujung tahun 2010 dengan jalan darat,sungai dan udara, terus terang mengakui penduduk bumiputera Sarawak rata-ratanya banyak dihimpit kemiskinan.Tidak dinafikan Sarawak yang kaya dengan hasil hutan seperti balak 'diratah lahap' oleh cukong dan para juak-juaknya serta ahlui-ahli politik yang bersekongkol untuk kepentingan tembolok perut masing-masing.

Kita tidak mahu 'yang kaya makin kaya, yang miskin terus dihimpit derita'. Bayangkan nasib anak-anak peribumi di pedalaman yang terpaksa berkaki ayam,berlumpur dan bermudik dengan sampan ke sekolah. Bukan aneh, kedapatan kemudahan asas seperti air,elektrik dan sekolah masih di tahap daif dan membuatkan air mata TB berderai jatuh membasahi pipi. Kita juga tidak mahu Sarawak hanya dinikmati oleh penduduk-penduduk bandar seperti Kucing (Kuching?), Miri,Sibu dan Bintulu yang rata-ratanya majoriti kaum Cina. Bersatulah wahai peribumi Sarawak!

UMRAH & HAJI : SELEPAS TAWAF WIDA' DILARANG MENGAMBIL FOTO

Dianggap melengahkan perjalanan pulang

JEMAAH haji dan umrah di negara ini dilarang mengambil gambar di sekitar Tanah Haram, Makkah selepas melakukan tawaf wida kerana ia boleh membatalkan tawaf itu dan menyebabkan ibadat yang dilakukan tidak sempurna.
Persoalan berhubung perbuatan mengambil gambar selepas tawaf wida itu dikemukakan pembimbing ibadat haji pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-27 kerana ada jemaah yang musykil sama ada perbuatan itu boleh memberi kesan kepada ibadat mereka atau sebaliknya.
Susulan itu, larangan terbabit disenaraikan antara 11 resolusi pada muzakarah yang dihadiri ulama, tokoh agama dan pembimbing ibadat haji di Pulau Pinang, Februari lalu.

Pembimbing Ibadat Haji, Sapawi Che Mat, berkata larangan itu sememangnya wajar kerana tindakan mengambil gambar selepas tawaf wida tiada kaitan dengan urusan ibadat.

“Malah, jemaah juga dianggap melengahkan perjalanan pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau yang juga penceramah bebas, berkata resolusi yang disenaraikan itu wajar disebarkan untuk manfaat jemaah haji dan umrah negara ini bagi mengelak melakukan perbuatan yang dilarang hukum syarak.
Malah, beliau juga mengambil inisiatif menyediakan bahan yang sesuai berkaitannya untuk kursus haji yang sedang berjalan sekarang, selain untuk makluman jemaah umrah.

Sementara itu, bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji Tabung Haji, Datuk Daud Che Ngah, berkata mengikut hukum, tawaf wida adalah langkah terakhir bagi jemaah untuk meninggalkan Masjidil Haram.

“Selepas tawaf wida, jemaah hanya boleh melakukan solat sunat, mengucup Hajar Aswad dan berdoa, jadi mengambil gambar boleh menyebabkan tawaf wida jemaah terbatal dan wajib melakukannya semula atau membayar dam,” katanya.

Daud yang juga Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, berkata walaupun ibadat sah, jemaah berdosa kerana melanggar hukum syarak.

Beliau berkata, syarikatnya yang menjalankan kursus haji dan umrah turut mencatatkan perkara itu dalam buku peraturan ibadat berkenaan, serta menjelaskan secara terperinci kepada semua jemaah yang menghadiri kursus anjuran syarikat terbabit.

“Menjadi tanggungjawab untuk memaklumkan mengenai larangan ini bagi mengelak jemaah melanggar hukum syarak hingga wajib melakukan tawaf wida semula,” katanya.(sumber: UM,14/4/11)

TB mohon maaf zahir dan batin, menyusun sepuluh jari kemaafan dari hujung jari ke hujung rambut,  halalkan mana-mana yang termakan atau terminum kepada sesiapa jua sama ada yang TB kenal,kurang kenal atau tidak kenal. Doakan TB selamat menunaikan lagi ibadah umrah nanti. Dan insya-Allah jika ada izin dan kurnia-Nya berhasrat mahu menunaikan fardu haji pada suatu waktu. Doakan kesejahteraan dan kesihatan TB dalam sihat walafiat dan dalam lindungan-Nya. Dan semoga ruangan blog ini berterusan di persisian walau di mana TB berada, selagi hayat dikandung badan. Dan TB berterusan mengakses bahan-bahan selagi 'line;' tidak bermasalah. Amin. (pertama kali disiarkan dalam blog TB pada 14 April 2011 lalu)

24 April 2011

BRUNEI: DI PERHENTIAN INI

DI PERHENTIAN INI



Di atas jambatan ini aku melihat anak-anak di tambatan
Di seberang sekolah terapung di Sungai Kedayan
Di kejauhan Laut China Selatan menggamit datang
Di pelabuhan silih berkunjung para pedagang
Di bumi mengalir melimpah ruah ke pelangi petang

Di taman Sultan Sir Omar Ali Saifuddin
Di dataran ini dikir selawat berkumandang
Di atas  tanah ini kita bangunkan ukhuwah lslamiah
Di pundak bangsa berdaulat tamadun gemilang
Di mercu KeBawah Duli Tuanku mengemudi salam
Di pentas pagi kita bersama memuji Rasulullah  Junjungan  


Di Seri Begawan mentari pagi senyum girang
Di Kampung Air daratan silang budaya gemerlapan
Di sana sini santun bersamping ucap akrab kasih sayang
Di ufuk nurani tanah air Melayu lslam Beraja terbilang
Di sini benteng paksi ketuanan tradisi warisan
Di bahu bersama kita ingatkan generasi kemudian!


RAJIEE HADI
Bandar Seri Begawan, NBDS.
12Mac 2008.

(sajak 'DI PERHENTIAN INI' telah disiarkan pertama kali dalam majalah BAHANA, DBP, Brunei ,Januari 2011)



UTUSAN MALAYSIA : JANGAN PULAUKAN !!!

MCA menggesa rakyat Malaysia supaya memulaukan akhbar Utusan Malaysia kerana mecadangkan gerakan '1Melayu, 1Bumi' diutamakan. Parti itu mendakwa cadangan itu adalah untuk menghalalkan diskriminasi kaum.

Timbalan ketua publisiti MCA, Loh Seng Kok berkata konsep 1Melayu, 1Bumi yang diilhamkan oleh akhbar milik Umno itu bertujuan menghukum masyarakat Cina kerana melaksanakan hak demokrasi mereka membuat pilihan semasa pilihan raya.

Dalam kenyataan medianya dalam bahasa Mandarin, lewat petang semalam, Loh berkata semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras perlu memulaukan alhbar berkenaan dan mempercepatkan lagi edaran Utusan Malaysia yang terus menjunam.

"Pendirian akhbar itu mempersendakan konsep pentadbiran Najib berhubung 1Malaysia dan cuba menyemai benih jahat di minda orang ramai. Konsep lapuk itu pasti dibidas oleh masyarakat antarabangsa.

"Adakah Utusan Malaysia mahu meneladani Afrika Selatan dan Amerika Syarikat (yang satu ketika dulu) mengamalkan dasar apartheid dan pengasingan kaum?” soalnya.

NONELoh berkata Utusan Malaysia wajar diingatkan bahawa BN terdiri daripada 13 parti komponen yang mewakili pelbagai masyarakat berbilang kaum, justeru '1Melayu, 1Bumi' tidak baik bagi perikatan itu.

Paling penting katanya jika akhbar Melayu itu mahu dihormati setiap rakyat, ia harus komited terhadap konsep 1Malaysia dan membantu membina jambatan di kalangan rakyat pelbagai bangsa.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mencabar presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya mengenakan tekanan ke atas Umno supaya ‘menegur’ Utusan Malaysia berhubung artikel itu.

"Lakukannya Chua! Bagi tahu Umno supaya arahkan akhbarnya untuk menarik balik cadangan penubuhan '1Melayu, 1Bumi' ataupun MCA sepatutnya berundur dari BN,” kata Lim (kiri) dalam satu kenyataan.
Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan dalam ruangan Cuit tiga hari lalu, berkata DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Zaini berkata pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi".(sumber: MKini,23/3/11)

TB sudah baca dan teliti setiap frasa demi frasa tulisan Zaini Hassan dalam kolum Cuit Utusan Malaysia tempoh hari. TB dapati tidak ada cacat cela atau bersalahan melanggari etika tulisannya. TB sebagai penulis bebas non partisan, neutral dan berkecuali yang berpaksikan kepada perjuangan menegakkan keadilan pada tempatnya selaras dengan ajaran lslam mendapati tidak pun bersalahan jika beliau menyedarkan orang-orang Melayu agar faham dan sedar erti muafakat dan bersatu padu bak kata pepatah 'bersatu kita teguh,bercerai kita roboh' .

TB pernah satu ketika mendapati hasil tulisan TB serentak disiarkan pada tarikh dan hari yang sama di akhbar arus perdana dan akhbar portal pembangkang.  lni menunjukkan ada masanya tidak kira apa jua akhbar bersikap terbuka; asalkan tulisan tersebut menuju ke arah penambahbaikan.


Walaupun orang-orang Melayu ada yang menyokong UMNO, PAS atau PKR tetapi janganlah emosional hingga membawa perpecahan. Tegurannya bukan hanya kepada Melayu Pas atau PKR sahaja tetapi termasuk Melayu UMNO. Salahkah?


Bahkan bukan sesuatu yang aneh ada juga akhbar-akhbar berbahasa Mandarin dan Tamil dalam negara yang turut serta memainkan sentimen perkauman kaum masing-masing. Hairannya mengapa pemimpin-pemimpin mereka sama ada daripada komponen BN mahupun bukan BN menyepi diri tanpa seruan memboikot? Salahkah andainya orang Melayu menyeru bangsanya bersatu dan bermuhasabah?


Semua orang tahu, dasar akhbar tidak semuanya di bawah telunjuk kepartian. Namun tidak dinafikan sekiranya ada beberapa kes dasar surat khabar juga terpaksa akur dengan pemegang-pemegang saham. Sehubungan ini tidak dinafikan, badan penyiaran seperti Media Prima turut juga mengikut kehendak pemegang saham bukan Melayu walaupun ada ketikanya beberapa dasarnya yang tidak dipersetujui oleh orang-orang Melayu. Namun tidaklah sampai orang-orang Melayu menggasak agar diboikot atau dipulaukan media tersebut.


Adalah malang sekali akhbar Utusan Malaysia yang turut dinantikan kehadirannya untuk dibaca oleh rakyat Negara Brunei Darussalam saban hari mahu dikhianati.Walhal akhbar inilah penyambung lidah Melayu dan semangat keMelayuan walaupun  kedapatan juga ada ras Melayu itu  yang terpisah dek lautan, sosiopolitik dan demografi.


TB cuma ada sedikit pembetulan; ada baiknya seruan l Melayu 1 Bumi yang ditimbulkan Zaini Hassan itu ditukar kepada ,' Melayu & Bumiputera: Ayuh Bersatulah!'

SUKAN & KOKURIKULUM DI SEKOLAH BERASRAMA PENUH

KERAJAAN  bercadang menjadikan sekolah-sekolah berasrama penuh di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan sukan di samping pelajarnya juga berjaya dalam bidang akademik.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rancangan itu boleh dijayakan kerana sekolah tersebut melaksanakan pembelajaran satu sesi dan pelajarnya berada di sekolah berkenaan sepanjang masa.
“Saya berpendapat satu cara untuk mengembangkan bidang sukan di kalangan pelajar adalah dengan mewajibkan aktiviti sukan di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh kerana kemudahan yang terdapat di sekolah itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan kerjanya ke negara ini sejak Isnin lalu atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China, Li Keqiang di sini hari ini.Lagi pula katanya, terdapat berpuluh buah sekolah berasrama penuh di seluruh negara berbanding dua sekolah sukan yang telah dibuka oleh kerajaan dalam melahirkan atlet negara.Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, di kebanyakan negara lain, pelajar sekolahnya diwajibkan mengambil dua acara sukan.

“Sekolah Tinggi Eksperimental Universiti Beijing yang saya lawati contohnya telah berjaya melahirkan pelajar cemerlang akademik dan menjadi atlet negara kerana sistemnya yang memberi penekanan terhadap kedua-dua bidang itu,” katanya.Penekanan terhadap bidang sukan di sekolah berasrama penuh katanya, adalah selaras dengan program Satu Pelajar Satu Sukan yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi menyamarakkan budaya bersukan di kalangan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin pelajar sekolah berasrama penuh yang terlibat dengan aktiviti sukan tidak akan terjejas prestasi akademik mereka.Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, budaya sukan perlu dikembangkan di sekolah kerana ia juga penting dalam pembangunan negara dan ia tidak sepatutnya ‘mati’ sebaik sahaja pelajar menamatkan persekolahan mereka untuk menyambung pengajian ke universiti.

“Kalau budaya sukan itu sudah disemarakkan di peringkat sekolah, sudah pasti ia tidak akan mati kalau mereka pergi ke universiti pula,” katanya. (sumber: UM,23/4/11)

Berdasarkan pengalaman, TB sukalah memberitahu bahawa sudah menjadi lumrah (dasar?) bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah seliaan Bahagian Sekolah Berasrama Penuh (Persekutuan) Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi fokus KECEMERLANGAN dalam AKADEMIK, SAHSIAH dan KOKURIKULUM (sukan,permainan &persatuan) sebagai wadah untuk kejayaan para pelajarnya.

Justeru saranan Tan Sri Muhyiddin bukanlah sesuatu yang baru tetapi sekadar mengingatkan semula tentang peranan yang patut dimainkan oleh SBP lantaran posisi sekolah tersebut yang mempunyai pelbagai prasana dan segala kemudahan yang diperlukan. Cuma TB tidak pasti adakah pertemuan tahunan antara seluruh SBP untuk segala pertandingan bagi mengasah bakat dan kebolehan masing-masing seperti dalam bidang sukan, pidato dan perbahasan ada seperti pada masa-masa lalu?

TB amat seronok sewaktu bertugas sekitar 1980-an sebagai guru di SBP suatu waktu dahulu ;didapati para pelajar SBP begitu hebat dalam arena sukan seperti ragbi, hoki, acara balapan, acara padang, catur (indoor sport) dan sebagainya. Dan ada di antara mereka berjaya mewakili  hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Bahkan dalam kokurikulum bukan sukan mereka menyerlah dalam aktiviti pidato dan perbahasan yang mana kesannya ramai di antara mereka telah memilih kerjaya sebagai peguam atau pegawai undang-undang. Syabas!

23 April 2011

LELAKI AFRIKA : GADIS TEMPATAN AWASILAH....

WISMA  Putra hari ini menasihatkan gadis-gadis muda tempatan terutamanya dari kawasan pedalaman agar tidak mudah terpedaya dengan lelaki kulit hitam yang dikenali menerusi laman sosial.Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, ini bertujuan mengelakkan mereka terpedaya dijadikan keldai dadah oleh sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

“Saya amat kecewa apabila seorang gadis Malaysia berusia 22 tahun dan sedang menuntut di Kolej Segi ditahan di Shenzhen, China 29 Mac lalu apabila pihak berkuasa menemui sejumlah dadah dalam perutnya.
“Gadis Dayak dari Sarawak ini baru berkenalan dengan seorang lelaki kulit hitam menerusi laman sosial Facebook tahun lalu. Tteruja dengan bayaran RM5,000 dia telah menelan 100 biji heroin seberat 700 gram untuk dihantar ke Shenzhen,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Keluarga Wisma Putra di sini hari ini.

Lebih menyedihkan katanya, gadis tersebut tidak pernah berjumpa dengan “kekasihnya” itu dan semasa ditemui wakil konsulat Malaysia di China dia merayu agar kesnya tidak dimaklumkan kepada keluarga.
Sebaliknya memohon bantuan kewangan dari konsulat kerana kesukaran membeli makanan di penjara Shenzhen.

Jelas beliau, Wisma Putra tidak boleh campur tangan dalam undang-undang melibatkan negara lain sebaliknya hanya menghulurkan bantuan sekiranya diminta oleh keluarga mangsa.
Richard memberitahu, statistik menunjukkan sehingga 31 Mac lalu seramai 1,880 rakyat Malaysia ditahan di luar negara dengan 833 daripadanya didakwa terbabit dengan kes penyeludupan dadah.
Daripada jumlah itu, seramai 675 membabitkan lelaki manakala 158 ialah wanita. (sumber:UM,23/4/11)

TB suka mengingatkan semua gadis khususnya gadis-gadis bumiputera di Malaysia, Singapura,Brunei dan lndonesia agar  berhati-hatilah  dengan tipu daya melalui internet baik dalam laman sosial seperti Facebook, Netlog, Findster, Twitter dan juga menerusi kedatangan emel/email yang tidak diundang ke dalam emel masing-masing. Usahlah percaya dan terpedaya. Kebanyakan lelaki kulit hitam/Afrika ini berpangkalan di Malaysia atau di mana-mana tempat dalam ASEAN ini dengan kepakaran 'ayat-ayat lnggerisnya' khususnya dari Nigeria yang memikat gadis-gadis dengan wang,kemewahan dan seks dengan tipu muslihat semata-mata untuk menjadi keldai dadah atau mengikis harta dan maruah gadis-gadis tempatan. Jikalau 'inbox' email anda didatangi tawaran loteri,hadiah,apa jua kisah untuk simpati dan empati maka padam/delete sahaja jangan dilayan jika anda 'tidak cerdik'.Kita sering mendapat berita bukan setakat menjadi keldai dadah bahkan ada wanita-wanita tempatan termasuk golongan profesional dan isteri orang yang terperangkap dan hilang ribuan wang ringgit dan menjadi mangsa pemuas nafsu lanataran gara-gara terpedaya dan tertipu. Apakah wanita Malaysia mudah diperbodohkan? Bagaimana Datuk Seri Shahrizat Jalil?

MBMMBI : Bawa 370 pakar BI

KEMENTERIAN  Pelajaran akan mengambil seramai 370 tenaga pakar dalam Bahasa Inggeris (BI) dari luar negara bagi melakukan pemantauan terhadap pengajaran dan penguasaan bahasa berkenaan di peringkat sekolah rendah pada tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini berikutan pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan kepada murid Tahun Satu kelak.

Menurutnya, pengenalan dasar terbaru berkenaan dibuat selepas mendapati Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sebelum ini didapati gagal mencapai matlamat yang disasarkan kepada pelajar.
 

“Daripada kajian kita buat, ia (PPSMI) tidak kesampaian matlamatnya, bukan tidak mahu, tetapi tiada kemampuan sedangkan Sains dan Matematik adalah mata pelajaran penting.

“Sebab itu saya mengambil tekad berani dan membuat keputusan untuk memperkenalkan dasar MBMMBI. Bukan kita menolak PPSMI kerana ia sedikit sebanyak membantu, tetapi dilihat dalam jangka masa panjang mungkin tidak mampu mencapai sasaran.

“Inilah yang kita hendak jelaskan... memang perancangan banyak, (bagaimanapun) maklumat terperinci akan diberikan tidak lama lagi supaya rakyat tahu bahawa mereka (juga) dapat membantu menjayakan dasar MBMMBI, sekali gus melaksanakannya secara terbaik,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berdialog dengan kira-kira 2,000 guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) membabitkan tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, di sini, semalam.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI yang akan dimansuhkan pada 2012 selepas mendapati dasar itu gagal mencapai matlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.(sumber: HMetro,23/4/11)

22 April 2011

VIDEO SEKS : SI PELAKU PELAJAR IPT ?

ISU video lucah melibatkan individu yang dikatakan mirip seorang pemimpin pembangkang telah menarik perhatian banyak pihak. Pelbagai cara nampaknya digunakan untuk membersihkan nama pemimpin tersebut, termasuklah semasa khutbah Jumaat.

Kejadian ini berlaku pada Jumaat lalu (15 April) di Masjid Jamek Kampung Melayu, Ampang. Khutbah hari itu telah digunakan sepenuhnya oleh khatib untuk mempertahankan isu video lucah yang didakwa membabitkan pemimpin pembangkang itu.

Khutbah pertama pada hari itu pada awalnya menerangkan apa erti hasad dengki dan fitnah dengan menerangkan serta mengambil iktibar bagaimana iblis tidak senang apabila Allah mencipta Nabi Adam dan berikrar untuk menentang manusia hingga hari kiamat. Banyak ayat-ayat al-Quran digunakan dalam khutbah pertama yang berlangsung selama 15 minit.

Pada bahagian kedua khutbah pertama itu, khatib sempat menyelitkan isu terkini iaitu video lucah. Khatib terbabit menerangkan bahawa terdapat dua senario melalui video lucah itu. Yang pertama, sekiranya video lucah itu tulen dan pelakonnya juga tulen, tetapi cara dan mekanismenya adalah bertujuan khianat bagi mengaibkan pemimpin pembangkang.

Khatib itu berkata, perbuatan itu adalah bersifat khianat dan hasad dengki serta menganggapnya sebagai satu fitnah. Khatib sempat juga mempertahankan tokoh pembangkang berkenaan dengan mengatakan pendekatan mengaibkan ini serupa dengan modus operandi yang didakwa digunakan oleh pemerintah pada tahun 1998.

Malah, khatib itu turut mendakwa pelakon dalam video itu bukan pemimpin parti pembangkang itu. Sebaliknya beliau menegaskan, pemimpin pembangkang tersebut telah difitnah dengan begitu kejam.
Beliau sempat mengajak jemaah supaya mempercayai kata-kata Datin Seri Wan Azizah bahawa hanya seorang isteri sahaja yang tahu bentuk badan suaminya. Pada ketika ini, saya sudah menutup telinga kerana tidak berminat mendengar khutbah tersebut.

Tiba-tiba seluruh hadirin di masjid itu dikejutkan dengan jeritan seorang makmum yang berkata ke arah khatib, "Hoi cukuplah. Di sini bukan untuk berkempen politik".
Saya mengenengahkan isu ini kerana Sultan Selangor telah pun bertitah sebelum ini tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan masjid yang sepatutnya menjadi tempat ibadah sebagai pentas politik individu tertentu.

Saya percaya makmum yang menghadiri khutbah Jumaat lalu kesal. Namun mereka tidak mempunyai pilihan lain ketika itu selain menunggu 'khutbah' tersebut kerana menunaikan solat Jumaat adalah satu kewajipan bagi saya dan makmum Islam yang lain.(sumber:UM,21/4/11)

21 April 2011

PLAZA LOW YAT:TIRUAN ATAU TIPUAN SEDARKAH PENGGUNA ICT?

MINGGU lalu saya bawa keluarga ke pusat IT terkenal di Kuala Lumpur – Plaza Low Yat. Ada macam-macam gajet baru dan terbaru di sana.Memang barangan seperti telefon bimbit, komputer, kamera dan alat mainan video agak murah di sana dibandingkan dengan harga di tempat lain. Sebab itu kalau datang ke KL, ramai yang berlegar-legar di Low Yat mencari alat yang diidamkan.

Niat di hati saya datang ke sana untuk membeli alat mainan X-box 360. Menurut anak remaja saya, mainan video itu lebih canggih daripada Play Station 3 (PS3). Masalahnya, jika sudah membeli Xbox ini, kita hadapi kesukaran mendapatkan VCD mainan yang murah. Xbox hanya menerima VCD tulen sahaja. Kalau hendak yang boleh main VCD murah iaitu yang dicetak rompak, pembeli kena tambah duit lagi. Peniaga IT di sana boleh menawarkan Xbox yang sudah diubah suai. Jadi boleh main VCD yang berharga RM20 satu. Kalau tidak, kena beli VCD tulen yang berharga RM100 satu.

Aduh! Harga satu Xbox pun sudah RM200 lebih mahal daripada harga PS3. Serupa juga dengan PS3, tak boleh main VCD tiruan. Nak main VCD cetak rompak, PS3 kena diubah suai dahulu dan perlu tambah kos sedikit. Termenung dan puas berfikir, akhirnya kami membeli Playstation Portable (PSP) tulen sahaja. Kelebihannya ialah mainan video boleh dimuat turun melalui Internet. Ini pun salah satu perbuatan cetak rompak.

Plaza Low Yat tempat pakar IT. Segala-galanya mudahdilakukan di sana. Kalaulah pemilik harta intelek yang terdiri daripada syarikat gergasi dunia tahu apa yang dilakukan oleh ‘pakar-pakar’ di dalam Plaza Low Yat, tentu mereka bertindak.Saya percaya, mereka tahu kegiatan pemalsuan dan cetak rompak itu. Syarikat IT dunia itu ada wakil mereka di negara kita. Tapi kebanyakan yang dilantik jadi wakil itu terdiri daripada bukan bumiputera.

Jarang-jarang kita mendengar laporan tindakan undang-undang diambil terhadap kegiatan cetak rompak barangan IT. Yang selalu kita baca, dengar dan tonton ialah operasi serbuan ke atas VCD cetak rompak.
Betulkah apa yang dilakukan oleh peniaga-peniaga IT di Plaza Low Yat dan kawasan-kawasan yang lain itu tidak menyalahi undang-undang negara dan antarabangsa?

Mungkin perkara ini dipandang sebelah mata sahaja sebab semua orang kita suka barang tiruan dan murah. Sebab itu tak ada siapa yang ‘bising-bising’ soal barangan tiruan dan cetak rompak. Tak ada siapa yang sanggup jadi saksi dan tunjuk bukti kegiatan pencurian harta intelek berlaku di sana.

Di sana, tak nampak wajah-wajah orang bersalah. Mereka rasa perbuatan mereka adalah betul. Kalau semua orang sudah rasa selesa dan anggap semua betul, maka urusan jual beli pun di pandang betul.
Bukan itu sahaja, tak siapa peduli kian ramai pekerja warga India atau Bangladesh yang berada di depan kaunter kedai IT. Tak lama lagi imej tempatan bakal tenggelam.(sumber:UM,21/4/11)

PESTA BUKU KUALA LUMPUR

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2011) yang bakal berlangsung bermula 22 April hingga 1 Mei ini merupakan pesta terbesar kepada para pencinta buku di Malaysia.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan ianya merupakan indikator kepada tahap ketamadunan dan budaya membaca masyarakat Malaysia. Alhamdulillah, dengan munculnya pemain-pemain besar dalam penerbitan buku bahasa Melayu, sambutan terhadap PBAKL saban tahun kian meningkat. Ini terbukti dengan penambahan gerai hampir setiap tahun semenjak ia berlangsung.

Namun hakikatnya, kehangatan pada tahun ini tidak dirasai meskipun perayaan buku itu hanya sedetik sahaja dari sekarang.

Promosi secara peribadi daripada pihak penerbit sahaja yang dapat dilihat dan didengar sedangkan promosi rasmi daripada pihak penganjur dan urusetia hampir sahaja tiada.

Mengapakah perkara ini berlaku sedangkan bajet bagi promosi khabarkan sudah disediakan malah diberikan kepada pihak urusetia.

Pada pendapat saya, pesta buku tidak wajar dikomersialkan oleh media penyiaran eletronik mahupun cetak, ia adalah satu sumbangan sosial yang terpenting dalam korpus ketamadunan dan intelektual.

Saya menyeru RTM, Media Prima, Astro dan seluruh saluran media di bawahnya memberikan sumbangan berbentuk promosi percuma ini.

Begitu juga kepada semua akhbar dan majalah cetak di Malaysia termasuk melalui laman web rasmi masing-masing. Andai setiap kali pesta buku promosi mengenainya diberikan secara percuma dan meluas tanpa memikirkan hasil komersial, slogan Bangsa Malaysia Bangsa Membaca bakal menjadi realiti.

Justeru saya merayu kepada semua pihak media di Malaysia agar memberikan perhatian dan promosi yang meluas terhadap PBAKL yang bakal berlangsung hari Jumaat ini.
Semoga anak bangsa Malaysia terus didedahkan dengan budaya intelektual lantas membesar menjadi sebuah tamadun Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.(sumber:MK, 20/4/11)

20 April 2011

DBKL: BERTEGAS ,BERTINDAK MULAI SAAT INI!!!!!!!!

KEGAGALAN  Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan undang-undang penggunaan bahasa kebangsaan di premis komersial di ibu kota bercanggah dengan dasar bahasa kebangsaan.

Setiausaha 1 Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu mematuhi dan melaksanakan setiap tindakan dengan berpegang kepada Perlembagaan Negara.

“Kerajaan tidak mengamalkan dasar pelbagai bahasa kerana Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Justeru DBKL sebagai PBT yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Perlembagaan Persekutuan perlu tegas menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu termasuk dalam segala bentuk iklan, nama tempat dan bangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah menegur sikap DBKL yang acuh tak acuh dalam menggunakan bahasa kebangsaan apabila semakin banyak premis komersial termasuk nama kedai dan bangunan di Kuala Lumpur menggunakan bahasa Inggeris.

Perkara itu turut disokong Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali yang turut menggesa PBT itu bertindak lebih tegas terhadap penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan itu.

Dalam pada itu, tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berpendapat saranan itu tepat pada masanya memandangkan ia juga adalah luahan hati pakar-pakar bahasa yang lain.

Sambil mengucapkan terima kasih atas keprihatinan itu, Nik Safiah berkata, bukan sahaja DBKL malah semua badan berkanun yang mempunyai kuasa untuk meluluskan dan membenarkan permohonan seperti nama bangunan, nama tempat dan nama jalan perlu prihatin untuk menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan.
(sumber:UM,20/4/11)
 
TB : Walaupun ini cerita lama tetapi sikap berterusan menegur dan mengingatkan adalah baik dan terpuji. Maklumlah setiap kali bertukar Menteri dan Datuk Bandar sikap ketegasan juga turut berubah.Mengapa ini berlaku? TB juga menunggu akta penguatkuasaan bahasa kebangsaan yang pernah parlimen luluskan beberapa tahun lalu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Mengapa DBP menyepi hingga kini?DBKL dan DBP bekerjasama dan  berganding bahu amat kita nanti-nantikan dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan. Tidak terlintaskah DBKL mahu mendaulatkan juga tulisan jawi yang merupakan salah satu bentuk tulisan dalam bahasa kebangsaan? Apa khabar Datuk Seri Utama Rais Yatim? Adakah tulisan jawi dimartabatkan di premis bangunan kementerian Datuk Seri Utama?

MELAYU & BUMIPUTERA: AYUH BERSATULAH !

ORANG Cina telah bersatu. Keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak telah membuktikannya. Malah, sebenarnya orang Cina telah pun bersatu sejak dulu lagi.

Perkembangan politik muaasir (kontemporari), selepas era-Mahathirisme dan semasa era-Abdullahisme telah membuktikan ikatan orang Cina lebih utuh dan berpadu. Hubungan kekitaan, kekeluargaan serta brotherhood dan ukhwah orang Cina lebih erat, tanpa boleh ditandingi oleh mana-mana kaum di atas muka bumi Malaysia ini.

Walaupun antara mereka berlainan haluan politik, tapi apabila sampai masa menentukan arah untung nasib kaum Cina – mereka akan bersatu atas pangkahan undi yang sama.

Dalam ekonomi, mereka membantu antara satu sama lain. Dari sekecil-kecil ekonomis kepadalah yang sebesar-besarnya, mereka akan tolong-menolong antara satu sama lain.

Budaya telah berjaya menyatupadukan orang Cina. Dalam masyarakat Cina tiada istilah bidaah yang boleh memesongkan mereka daripada soal budaya dan adat resam bangsa. Bahasa Cina diangkat tinggi, malah ada yang kata orang Cina yang tidak boleh membaca Cina pun akan turut membantu membeli akhbar Cina. Maka itu, akhbar Sin Chew Jit Poh – suara keramat orang Cina, menjadi antara akhbar yang paling tinggi edaran dan keuntungannya di Malaysia.

Sekolah Cina terus dijadikan sebagai cagaran politik utama – yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
Pendek kata, orang Cina sebenarnya amat beruntung sekali berada di bumi Malaysia ini. Mereka telah menguasai segala-galanya. Sepuluh teratas orang mereka adalah bilionaire Malaysia. Sebahagian besar kedai yang ada di atas muka bumi Malaysia ini milik mereka. Hampir semua pelajar yang belajar di universiti swasta dan IPTS ternama dan mahal-mahal di negara ini rata-ratanya orang mereka.

Saya telah nyatakan perkara itu dalam Cuit bertajuk Apa lagi orang Cina mahu? tahun lepas. Tulisan itu dipetik sepenuhnya oleh akhbar Straits Times Singapura dan surat pembaca yang saya terima dari republik itu menyokong penuh tulisan itu.

Apa yang saya katakan ini adalah hakikat atau fakta.Hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuh oleh orang Cina, yang lain semua sudah. Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia.
Slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina. Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini.

Terus terang saya katakan, saya amat menyanjungi orang Cina. Mereka mempunyai matlamat dan masa depan yang cukup jelas. Walaupun tindakan itu berbau politik atau bukan, soalnya mereka cukup bersatu. Politik digunakan sebaik-baik mungkin untuk menyatupadukan kaum itu.Kita jangan salahkan DAP. Apa yang DAP lakukan itu amat betul untuk masa depan kaumnya. Jika Pas dipergunakan oleh DAP untuk memecahkan bangsanya sendiri, itulah operatif licik DAP.

DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina. MCA gagal dan SUPP pun gagal. Itu hakikat atas kertas. Malah seorang sahabat saya berbangsa Cina, pengarang sebuah akhbar ternama bersetuju bahawa orang Cina kini ke arah menyokong pembangkang. Pilihan Raya Umum Ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka. Sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.

Apa yang harus UMNO lakukan? UMNO harus berfikiran seperti DAPkah?
Pandangan saya, apa yang UMNO harus lakukan sekarang, di masa yang amat terdesak sekarang, ialah melancarkan gelombang perpaduan bangsa – 1Melayu, 1Bumi.

Lancarkan segera 1Melayu, 1Bumi dalam lingkungan UMNO dan parti-parti Melayu yang lain.
Jika Pas degil dan tidak mahu ikut serta, gabungkan dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini. Perlu diingat NGO-NGO itu wujud kerana mereka dahagakan wadah perjuangan untung nasib bangsa semakin ditinggalkan. UMNO harus tarik pertubuhan sukarela ini ke hadapan dan menjadi juara semula dalam soal ini.

Persetankan Pas yang ternyata telah menggadaikan perjuangan bangsa Melayu untuk kepentingan politik totok mereka. Hairan sungguh, para penyokong Pas akan menjadi lebih kuah daripada sudu semasa berkempen, dan mereka tidak pernah sedar bahawa secara senyap-senyap DAP cukup strategik mempermainkan mereka.

Saya kira, sekiranya lima kerusi Pas di Sarawak itu ditandingkan di kawasan Cina sudah pasti mereka akan menang dan ada wakil dalam dewan undangan negeri. Tapi DAP telah mempermainkan mereka. Pas diletakkan di kawasan kaum bumiputera, bagi membolehkan kaum bumiputera terus berpecah. Pas seperti biasa, tidak sedar semua itu.

Dalam usaha meniupkan gelombang 1Melayu, 1Bumi, tidak salah 1Malaysia diteruskan kerana ia adalah dasar jangka panjang negara. Parti komponen Cina dalam BN pun tidak akan marah jika UMNO melancarkan gagasan 1Melayu, 1Bumi kerana bagi mereka orang Cina telah pun bersatu.
Tidak salah bagi orang Melayu melancarkan seruan 1Melayu, 1Bumi kerana orang Melayu sendiri belum bersatu.

Dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, saya ada mengatakan orang Melayu berpecah kepada enam golongan. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal dan Melayu Atas Pagar.
Orang Melayu cukup berpecah. Orang Cina tidak akan marah sekiranya orang Melayu bersatu kembali. Mungkin DAPlah yang tidak selesa kerana matlamat mereka untuk memecah-belahkan lagi orang Melayu akan gagal.

Bagi DAP, selagi konsep Malaysia Malaysian mereka tidak berlaku, selagi itu mereka akan berusaha keras untuk menjayakannya.UMNO harus meniupkan gagasan 1Melayu, 1Bumi ini segera. Orang Melayu harus disatukan segera bagi memastikan mereka menguasai semula politik yang semakin terhakis daripada tangan mereka.

Walaupun Melayu berpecah, namun ada lagi suara-suara segelintir yang amat sayangkan bangsa. Seorang sahabat umpamanya, menghantar SMS semasa tulisan ini ditulis berbunyi: “Tolong tulis...BN jangan lagi bagi kawasan majoriti Melayu kepada wakil MCA, Gerakan dalam PRU akan datang... cukup sudah pengorbanan UMNO yang dibalas dengan tuba. MCA dan Gerakan WAJIB akur kerana kalau mereka kalah dengan DAP, wakil mereka tak perlu dilantik dalam kerajaan...”

Itu ialah suara marah. Orang Melayu marah. Tapi kita harus rasional. Susun semula barisan dan gelombang satukan orang Melayu.

Saya bercakap bagi pihak bangsa saya. Gagasan inilah yang turut dimainkan oleh sahabat saya, saudara Ridhuan Tee Abdullah, seorang mualaf Cina yang cukup kental jiwa ultra-Melayunya. Orang Cina amat tidak menggemari beliau di atas semangat assabiyah Melayu beliau itu.
Namun bagi Ridhuan, dan orang Melayu yang lain, mereka amat khuatir dengan perkembangan mutakhir yang berlaku di negara ini sekarang.

Namun, penghargaan harus diberi kepada kaum bumiputera Sarawak yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan begitu betul sekali.Saya angkat topi kepada kaum bumiputera Sarawak yang dilihat lebih matang daripada orang Melayu di Semenanjung. Sekiranya mereka tidak bersatu dalam pilihan raya 16 April lalu, maka Sarawak sudah tentu akan jatuh ke tangan orang lain.

Orang bumiputera Sarawak telah memberi satu petunjuk yang amat berharga supaya diikuti oleh kaum Melayu di Semenanjung.

Namun, orang Melayu Semenanjung berpecah enam. Mereka masih lagi berpecah enam.
Oleh itu menjadi kewajipan UMNO; atas nama pejuang-pejuangnya yang terdahulu; dan sebagai parti induk orang Melayu; lancarkan segera slogan 1Melayu, 1Bumi bagi menggerakkan semula gelombang kebangsaan bangsa itu.

Melayu harus dan wajib disatukan kembali sebagaimana kita mahu satukan orang Malaysia di bawah semangat 1Malaysia. Tiada makna adanya 1Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah.
Kini terletak dalam tangan UMNO untuk menentukan hidup atau mati bangsa ini.Orang Cina sudah ada 1Cina dalam erti kata tersendiri. Orang Melayu pun perlu ada 1Melayu, 1Bumi. Ayuh gerakkan!(sumber:Zaini Hassan, 20/4/11)

19 April 2011

TRIO 'DATUK T' BERHADAPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG

TRIO  'Datuk T' mungkin berhadapan tindakan undang-undang jika Peguam Negara (AG) memutuskan pendakwaan atas kesalahan menayangkan rakaman video seks yang pelakon lelakinya didakwa mempunyai mirip wajah seorang pemimpin parti pembangkang baru-baru ini.Tindakan terhadap ketiga-tiganya iaitu Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim boleh dilakukan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pendakwaan itu bergantung kepada AG yang akan membuat keputusan selepas melihat laporan hasil siasatan polis.

"Ada kemungkinan (pendakwaan), tetapi polis membuat tindakan apabila mendapat keputusan AG," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.Beliau memberitahu, polis dijangka menyerahkan laporan lengkap siasatan rakaman video seks itu kepada AG, Rabu ini, berikutan masih terdapat beberapa perkara lagi perlu diselesaikan
.
"Namun, itu adalah cadangan tarikh penyerahan dan ia belum dipastikan lagi, memandangkan hingga kini masih ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan dalam laporan itu," katanya.
Bagaimanapun, difahamkan pihak polis masih buntu dengan satu lagi bukti kes iaitu jam tangan Omega yang sehingga kini masih belum dipastikan pemiliknya.

Dalam perkembangan sama, ditanya tentang dakwaan penahanan seorang wanita yang dipercayai pelacur dari China yang juga 'pelakon' video terbabit, Acryl Sani menafikan perkara itu.
Beliau turut menolak dakwaan, pihak polis telah menemui wanita yang dapat membantu siasatan kes tersebut.
"Wanita China itu tiada dalam tahanan kami," katanya.(sumber:UM, 19/4/11)

TB hanya mahu fokus mengenai pelacur yang dikatakan dari China. Pertanyaan TB adakah pelacur itu pelacur Cina atau pelacur dari China? Jika banyak media menyebut dari China apakah pihak Jabatan lmigresen Malaysia tidak proaktif mahu melakukan siasatan? Apakah video wajah wanita yang dikatakan dari China itu agak sukar dikenali jika 'zoom' difokuskan ke wajahnya? Jika begitu, adakah pelacur tersebut masih ada dalam negara kita? Apakah tidak boleh dikesan di pintu masuk negara? Apakah Jabatan lmigresen Malaysia tidak mahu menangkap dan mendakwa atas kesalahan menyalahi pas permit lawatan? lni juga suatu persoalan besar yang belum terungkai lagi????

KELING: DEFINISI SEBENAR AGAR TIDAK SILAP FAHAM

MENURUT Kamus Dewan (DBP: 2005 : 719 ) Keling bermaksud I IB paku besi yang berkepala dua (untuk melekatkan dua keping besi); Mengeling iaitu melekatkan (menyatukan) besi dengan menggunakan keling.

Keling II sl sj kapal. 

Keling III 1. sl sebuah empayar di pantai Coromandel Semenanjung India yang disebut Kalinga dan Telingana, yang terkenal dengan pelayar atau pedagang yang datang ke Asia Tenggara seawal abad ke-3: maka kata Bendahara . "Apa maksud Orang Kaya Saudagar datang ke Melaka ini, kerana tanah keling dan tanah Melaka ini terlalu jauh pelayaran?" ;

2. sl panggilan bagi  orang (pedagang, pelayar) yang berasal dari Kalinga dan Telingana yang datang ke Tanah Melayu seawal abad ke-3: adapun pada masa itu Holanda dan orang Cina dan orang Keling pun semuanya datang persembahkan perrmainannya berbagai-bagai rupanya dan lakunya.

 3. Kd. Pn Orang India yang beragama Islam ; keling pelikat orang India yang beragama Islam.


Justeru bagi TB tidak ada unsur-unsur menghina kepada sesiapapun . 

WAKIL RAKYAT SILA BELAJAR LAGI

MENTERI  Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaran supaya lebih ramai wakil rakyat melanjutkan pelajaran hingga ke pasca siswazah supaya dapat memainkan peranan lebih berkesan kepada rakyat.Beliau berkata, ia sekaligus dapat memberi teladan yang baik kepada rakyat untuk membudayakan ilmu sepanjang hayat tanpa mengira usia di samping ia dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran wakil rakyat dalam karier masing-masing.

"Tetapi tidak semestinya semua wakil rakyat mesti melalui benda yang sama (melanjutkan pelajaran). Kalau ada di kalangan mereka yang ingin meningkatkan ilmu, kita mengalu-alukan kerana ia selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Khas Pasca Siswazah untuk Ahli Parlimen yang dikendalikan Universiti Utara Malaysia (UUM).Beliau turut menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) kepada Ahli-ahli Parlimen.(sumber: Bernama, 18/4/11)

TB mengalu-alukan sesiapa jua melanjutkan pelajaran ke peringkat pascasiswazah termasuk pengarah-pengarah di Bahagian Politeknik dan Kolej Komuniti di KPTM yang baru hanya setakat memiliki ijazah pertama sahaja. Usahlah pangkat dan gred dijaja ke sana ke mari untuk diukur sebagai lambang kemajuan. Begitu juga kepada wakil-wakil rakyat terkini. Zaman wakil rakyat hanya setakat memiliki LCE/SRP/PMR dan MCE/SPM telah lama berakhir.Sewajarnya kini kelayakan minimum ada ijazah pertama. Kerana apa? llmu itu dapat menjaga diri  (jika gagal itu kesilapan empunya diri bukan salah ilmu). Kita tidak mahu seperti pada masa-masa lalu lantaran kerana berasa konflik rendah diri tidak berilmu maka bagi menutup kelemahan diri maka wang ringgit dan harta digunakan untuk menutupi kelemahan diri. Natijahnya berlakulah rasuah, gelap kuasa, dan menyalahgunakan harta awam.Walau bagaimanapun situasi sekarang  banyak disebabkan faktor-faktor kebendaan, tamak haloba dan perebutan kuasa.
Sekiranya wakil-wakil rakyat diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi janganlah pula cuba mencari jalan pintas dengan kabel dan tipu daya.Berlakulah jujur kepada dunia ilmu!

18 April 2011

OBESITI PELAJAR DIREKOD DALAM KAD LAPORAN

MULAI sekarang, indeks jisim badan (BMI) setiap pelajar akan direkodkan di dalam kad laporan prestasi oleh guru untuk perhatian ibu bapa.Arahan serta-merta itu dibuat oleh kerajaan dalam usaha menangani peningkatan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan rakyat.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebelum ini, BMI tidak dicatatkan dalam kad laporan pelajar menyebabkan sesetengah ibu bapa tidak mengawal pemakanan anak-anak kerana tidak tahu sama ada berat badan mereka ideal, terlebih atau obes.

"Langkah itu diharap dapat membantu ibu bapa yang mempunyai anak dengan berat badan berlebihan mendapatkan nasihat klinik kesihatan berdekatan bagi mendapatkan kembali berat badan ideal,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) dan melancarkan kad ahli PPKK 2010-2013, di sini hari ini.Selain itu, jelasnya, penjualan makanan yang tidak berkhasiat, contohnya mengandungi gula dan garam berlebihan serta minuman ringan di kantin sekolah, tidak lagi dibenarkan berkuat kuasa serta-merta.Tambahnya, langkah itu yang dipersetujui dalam satu mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 April lalu adalah permulaan untuk memperkenalkan gaya hidup lebih sihat.
"Ini berikutan Malaysia berada pada kedudukan keenam di Asia sebagai negara yang mempunyai orang dewasa dengan kadar obesiti yang tinggi," katanya.

Ujar Tiong Lai, kajian terbaru Kementerian Kesihatan juga menganggarkan kira-kira 1.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mengalami obesiti.Katanya, situasi itu amat membimbangkan kerana obesiti meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit diabetes, kardiovaskular dan beberapa jenis kanser.
Terdahulu, berucap pada majlis itu, Tiong Lai berkata, negara masih dibelenggu masalah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes yang kini menduduki tangga teratas dalam 10 senarai penyebab utama kemasukan dan juga kematian di hospital kerajaan."Kurang bersenam, terdedah kepada makanan yang mempunyai kalori dan kandungan garam serta merokok adalah faktor penyumbang kepada ancaman penyakit ini.
"Dianggarkan 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes dan 4.8 juta menghidap darah tinggi," ujarnya.(sumber:18/4/11)

17 April 2011

PRN DUN SARAWAK: TAHNIAH BN

TB dan team  Tiubbocor Daily mengucapkan tahniah kepada BN khususnya BN Sarawak kerana memenangi majriti 2/3 kerusi DUN Sarawak dalam PRN ke-10 pada 16 April 2011. Tidak lupa diucapkan kepada DAP,PKR, Bebas yang telah berjaya menambah kerusi masing-masing. Apapun harapan TB 'jangan cakap tidak serupa bikin'. Selamat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah,dedikasi tanpa rasuah! (TB)

16 April 2011

SARAWAK: INDAH KHABAR DARI RUPA? APAPUN SELAMAT MENGUNDI HARI INI

SEBELUM pengumuman  pilihan raya DUN Sarawak, TB telah mengembara hampir keseluruhan negeri Sarawak dari utara hingga ke selatan, bermula dari sempadan Sabah dan Brunei ke Limbang, Miri seterusnya ke Bintulu dan Sibu sehingalah ke Bau dan Santubung di selatan.. TB telah melalui jalan darat,udara dan jalan sungai. Tidak dapat dinafikan juga jalan darat yang panjang dan jauh kerana taburan penduduk yang tidak menentu maka menyebabkan pemandu bas dan kereta memandu begitu berhati-hati,berhemah dan berdisiplin.tidak seperti pemandu-pemandu di lebuh raya di Semenanjung.

Di sana sini tampak banyak kawasan tanah hutan ditebang untuk mengeluarkan balak.Terdapat juga tanah-tanah baru yang diteroka dengan penanaman lada hitam, kelapa sawit dan hasil pertanian lain. Begitu juga di sungai-sungainya termasuk Sungai Rajang yang kelihatan balak-balak bergelimpangan.Di bandar-bandar atau pekan besar pusat-pusat hiburan dan rehat seperti pub,spa, sauna dan urutan tidak terlepas dari pekerja-pekerja asing seperti dari China, lndonesia dan Filipina.

TB berhenti di beberapa pekan, daripada wajah dan gaya hidup agak jelas kelihatan penduduk peribumi masih banyak dihimpit kemiskinan dan kedaifan. Bahkan banyak bandar utamanya seperti Miri, Bintulu dan Sibu seolah-olah figura dan lanskap menggambarkan kita bukan berada di Sarawak tetapi seperti berada di bandar-bandar tanah besar China.

Soalnya apakah 'ayam di kepuk mati kelaparan,itik di air mati kehausan' yang sering kita laungkan di Semenanjung sama juga boleh didendangkan di Sarawak? Sayang Sarawak, peribuminya merintih sendiri.
Tidak kira sama ada BN memenangi kerusi pilihan raya DUN kali ini atau tidak,dalam apa jua janganlah diperbodohkan anak-anak peribumi Sarawak kali ini. Janganlah digula-gulakan dengan hanya lenggok tarian tradisi dan muzik alunan masyarakat lban atau Dayak sedangkan rata-ratanya bumiputera masih banyak merempat di bumi sendiri.Apatah lagi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi terpinggir di sana sini.

TB menaruh harapan andainya BN bersama warga Sarawak lagi, harapan kita agar BN melakukan anjakan paradigma untuk mengembalikan harta kekayaan bumi Sarawak untuk peribumi yang miskin.Kita tidak mahu hanya segelintir yang mengaut kekayaan dengan dasar pecah dan perintah yang tidak sesuai lagi pada era ini.
Biar sayang Sarawak kena pada tempatnya! (TB)
 


14 April 2011

RAJA PETRA KAMARUDDIN: NAFI TUDUH NAJIB, ROSMAH


Temu bual eksklusif Ashraf Abdullah dengan Raja Petra di Perth, Australia, baru-baru ini.

 PENGENDALI laman web antikerajaan, Raja Petra Kamaruddin yang menghilangkan diri sejak sekian lama, malam ini muncul dengan pengakuan bahawa beliau tidak pernah menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sebaliknya Raja Petra menegaskan, beliau berbuat demikian kerana didesak dan dipengaruhi oleh beberapa individu yang tidak mahu melihat Najib menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.

Dalam temu bual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini, Raja Petra turut memberitahu Akuan Bersumpah (SD) yang beliau buat pada 18 Jun 2008 hanyalah bersandarkan maklumat yang diperolehi daripada beberapa individu.
Raja Petra berkata, individu-individu itu mempunyai kaitan dengan beberapa tokoh politik termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.(sumber: UM,14/4/11)

TB sebenarnya kurang berminat isu ini. Tetapi atas dasar sesama blogger TB siarkan antara intipati berita sensasi yang dimuatkan oleh akhbar-akbar portal dan arus perdana sejak semalam dan hari ini. TB faham setiap blogger atau pengendali laman web ada agenda,ada visi dan misi tersendiri. Pokoknya setiap blogger bertanggungjawab apa yang mereka siarkan.Soal kejujuran dan keikhlasan biarlah masing-masing menjawabnya di dunia lain.Bagi TB 'tag' salam perjuangan yang tertera dalam blog ini adalah salam untuk setiap insan yang mencari erti kemanusiaan yang sebenarnya. Walaupun TB tidak berpihak, bersikap neutral dan non partisan namun TB tetap menyuarakan suara hati nurani manusia dan kemanusiaan yang cintakan kebenaran,ketelusan dan kesepakatan demi kasih sayang yang menidakkan kezaliman,rindukan kedamaian dan keamanan. ltulah TB yang menyuarakan hak-hak kemanusiaan sejagat.Salam perjuangan!

PUTRAJAYA, JENAYAH BERMAHARAJALELA: JANGAN IKUT ALA BARAT

SAYA ingin meluahkan kekecewaan penduduk di Putrajaya kerana sejak akhir-akhir ini banyak berlaku kegiatan jenayah seperti kecurian kereta, pecah rumah, kecurian harta benda awam dan sebagainya.

Apabila penduduk hendak membuat pagar, mereka diancam dengan saman oleh Perbadanan Putrajaya, iaitu pihak berkuasa tempatan di sini.
Tetapi apabila rumah dipecah dan dimasuki pencuri dan penjenayah, adakah mereka mahu bertanggungjawab? Kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran pula tidak dapat merakam gambar jelas apabila di ‘zoom’ ke jarak dekat. Yang peliknya juga, ada kamera CCTV hanya dihadapkan ke satu arah saja sama ada ke utara atau selatan.

Adakah ini tadbir urus bandar yang cekap dan berkesan? Pihak polis juga meminta mana-mana penduduk yang belum memasang besi jeriji di rumah supaya melakukannya segera, manakala yang menggunakan jeriji besi biasa diminta menukarkannya ke jeriji lebih padu sementara rumah perlu sentiasa dimangga.

Kadang-kadang berlaku antara dua hingga empat kecurian kereta dalam sehari di Putrajaya. Saya juga pernah kehilangan kereta di kawasan Putrajaya Central, berhampiran Balai Polis Putrajaya di Presint 7.

Apabila disiasat, pihak polis dimaklumkan bahawa kamera CCTV yang terdapat di kawasan sekitarnya hanya menghadap ke arah Balai bomba Putrajaya. Kamera jenis apa yang dipasang oleh Perbadanan Putrajaya ini?
Sekiranya perkara ini berterusan dan tidak ditangani dengan berkesan, dikhuatiri Putrajaya hanya layak berstatus kampung dan hanya indah khabar dari rupa.

Persoalannya di manakah perginya tadbir urus Perbadanan Putrajaya yang cekap dan berkesan yang hanya menguruskan bandar Putrajaya semata-mata?

Tindakan awal yang harus dibuat oleh perbadanan ialah membuat lebih kerap rondaan di kawasan letak kereta dan motosikal, memasang kamera CCTV yang baik dan jelas dan boleh berfungsi 360 darjah dan 24 jam, mengawal semua pintu keluar/masuk ke Putrajaya serta bekerjasama dengan polis agar kawalan keselamatan terutama di kawasan panas dititikberatkan.

Jika ini tidak dilaksanakan, jangan menghalang atau menyalahkan penduduk apabila mereka memasang pagar tinggi dan mengadakan pondok kawalan keselamatan sendiri untuk mengawal kawasan rumah mereka.(sumber:Penduduk Perihatin,UM 14/4/11)

TB tidak setuju jika keselamatan penduduk di Putrajaya dipandang remeh semata-mata mahu mengekalkan konsep perumahan ala barat. Sedangkan penduduk di kampung kini yang tidak berpagar pun kian diancam bahaya lantaran pendatang-pendatang asing;baik dengan izin atau tanpa izin/haram mula menjelajah ke kampung-kampung dan desa mengutip derma, menjual karpet, menjual barangan aneka keperluan harian dan sebagainya.Begitu juga senario yang berlaku di kawasan perumahan elit Putrajaya kini. Baik di sebelah kiri atau kanan, utara atau selatan, Putrajaya masih terus dalam pembinaan dan pembangunan. Justeru tidak secara langsung ramai pendatang-pendatang asing yang bekerja sebagai buruh di sektor pembinaan dan pembangunan yang kita tidak pasti watak dan perwatakan,akhlak dan rekod peribadi mereka. lni bukan tuduhan tetapi sikap perihatin dan waspada harus ada pada setiap warganya. Begitu juga penduduk dan remaja tempatan yang terbabit dalam penagihan dadah dan vandalisme mungkin tidak terkecuali agar kita turut berwaspada. ldea berpagar adalah baik.Namun pemantauan pihak PDRM dan juga imigresen setiap masa adalah wajar. Peranan Rukun Tetangga dan persatuan penduduk setempat wajar digerakkan tanpa bermusim. Masjid-masjid dan surau juga sentiasa lakukan solat hajat bukan hanya setakat hari-hari tertentu sahaja.Semoga Putrajaya terus kekal hijau,nyaman,bersih,selamat dan sejahtera.

13 April 2011

KEADILAN BUAT MAHASISWA: BAGAIMANA?

MAHASISWA, yang digantung pengajian satu semester, ditarik semula biasiswa JPA, dikehendaki membayar semula biasiswa sebanyak RM 20 000, dikenakan denda sebanyak RM200 oleh pihak universiti di atas tuduhan yang tidak munasabah.

Lalu apakah lagi yang diharapkan daripada sebuah universiti?

Saya simpati terhadap nasib yang menimpaTan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee. Sebagai seorang mahasiswa, saya dapat merasai kesusahan, bebanan dan tekanan yang dihadapi mereka.

Bagi saya, apalah gunanya tempoh rayuan yang diberikan selama 14 hari jika pihak universiti seolah-olah sudah tekad menghukum mereka sedemikian rupa.

Saya berjumpa sendiri dengan Tan yang sudah kelihatan kurus dan cengkung. Mana tidaknya, seorang mahasiswa yang lahir daripada keluarga yang sederhana terpaksa menanggung bayaran balik biasiswa dan digantung pengajian hanya di atas tuduhan memalsukan dokumen surat cuti sakit yang digunakan untuk mendapat pengecualian daripada menghadiri bengkel persediaan calon yang diadakan oleh pihak universiti?

Tanpa pembelaan diri!

Hukuman yang dikenakan seolah-olah kedua mereka sudah membuat suatu jenayah berat. Padahal mereka sendiri tiada peluang membela diri ketika prosiding dijalankan.

Saya melihat pihak universiti seperti membalas dendam atas sesuatu sehinggakan kuasa budi bicara Naib Canselor yang bertunjangkan belas ihsan tidak dilenturkan sebaik mungkin.

Apa yang menghairankan, mereka dituduh atas kesalahan yang kecil bahkan mereka sudah pun tidak mengaku bersalah dan mahu membuat pembelaan diri dengan membawa saksi (saudara Che Rozaihan-pelajar tahun 2 API) yang turut bersama beliau sewaktu hari kejadian. Namun, sekali lagi dinafikan hak untuk membela diri serta menjawab pertuduhan melampau ini.

Lalu apalah gunanya kedua mahasiswa ini mengerahkan tenaga dan masa sehingga mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang sehingga mereka menawarkan diri untuk berbakti kepada masyarakat mahasiswa! (Bertanding pilihan raya kampus).

Apakah tiada langsung simpati dan belas ihsan yang boleh ditawarkan oleh Naib Canselor atas kuasa budi bicara beliau? Jika bebanan ini menimpa anak mereka sendiri, apakah mereka akan terus bertahan tanpa mengalirkan airmata dek kerana tekanan yang sedang dihadapi oleh ibu bapa Tan dan Yeong? (sumber: Malaysiakini, 13/4/11)

DOKTOR PERUBATAN: SUARA HATI SEORANG SUAMI

PERUBATAN adalah antara bidang kritikal dan penting di negara ini. Perbincangan mengenai perubatan dan kerjaya seorang doktor juga menjadi antara perhatian dalam kalangan masyarakat.

Ini sudah tentu berkait rapat dengan dekatnya hubungan doktor dengan pesakit yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat.
Namun, apabila doktor yang seharusnya merawat pesakit itu sendiri menjadi pesakit, apatah lagi sakit dalam konteks psikologi atau jiwa, maka ia akan memberi masalah besar kepada masyarakat.
Inilah yang dihadapi apabila seseorang menceburi bidang kedoktoran. Tekanan kerja, budaya kerja tidak membina atau produktif, masa kerja keterlaluan dan lain-lain adalah penyumbang besar kepada tekanan mental dan stres yang dialami khususnya doktor muda.

Dengan segala macam masalah ini, tidak hairanlah berlaku kekurangan doktor di hospital kerajaan dan pada masa sama hospital swasta dan klinik persendirian muncul bagai cendawan tubuh selepas hujan.

Masa kerja keterlaluan dengan tugasan banyak antara faktor bebanan ini. Cuba bayangkan seorang doktor yang oncall’ perlu ke hospital seawal jam 7 pagi, bertugas sehari suntuk, berjaga pada waktu malam sehingga pagi keesokannya dan kembali bekerja (post-call) sehingga petang.

Mereka bekerja selama 34 jam tanpa mempunyai rehat yang cukup. Bahkan bekerja di hampir setiap hari tanpa cuti minggu adalah norma biasa, ditambah lagi jika bekerja di hospital besar dan mempunyai ramai pesakit.
Ini tidak termasuk ujian amali yang perlu ditempuhi bagi menilai tahap penguasaan sesuatu bidang. Mereka terpaksa bekerja dan pada masa sama kembali belajar dan mengulang kaji. Bayangkan jika mereka sudah berkeluarga, berapa banyak masa boleh diluangkan untuk anak?

Kerja sebegini seolah-olah kerja buruh moden bahkan lebih teruk daripada itu. Kenapa kerajaan tidak melaksanakan sistem syif seperti yang diamalkan untuk jururawat? Jika kekurangan tenaga dijadikan alasan maka masa kerja tidak seharusnya selama ini.

Masyarakat mudah mengiktiraf kejayaan seseorang hanya melalui pandangan zahir saja. Apabila mereka melihat kerjaya doktor dengan steteskop di leher, berkot putih sepanjang masa dan bergaji tinggi, segala-galanya kelihatan baik sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.

Kadang-kala ada juga yang mempersoalkan kompetensi seseorang doktor hanya dengan menilai tahap kualiti pendidikan yang diperolehnya tanpa melihat faktor dalaman yang lebih besar.

Di sebalik senyuman seorang doktor kepada pesakit, tersembunyi perasaan kecewa, sedih dan penat di lubuk hati mereka. Kini bukan pesakit saja perlu diubati tetapi doktor sendiri perlu dirawat. (sumber:13/4/11)

12 April 2011

PPSMI : ADA JUGA PAKAR YANG PEKA

PAKAR dan pendidik bahasa Melayu membantah sebarang usaha untuk melaksanakan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Beijing, Profesor Dr Awang Sariyan berkata kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI.

"Keputusan itu bertepatan dengan hasrat mengembalikan martabat dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

"Langkah kembali kepada sistem dua aliran (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) meskipun dalam subjek-subjek bidang Sains dan Matematik, hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan pembinaan negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peningkatan penguasaan bahasa Inggeris sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak akan dapat diatasi dengan pelaksanaan PPSMI.

"Usaha itu hanya boleh dilakukan melalui peningkatan dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukan melalui PPSMI," tegasnya.

Katanya Kementerian Pelajaran sendiri telah mengumumkan program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan tanpa mengganggu perancangan memartabatkan bahasa Melayu.

Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Profesor Madya Dr Hashim Othman pula berkata tidak perlu PPSMI diadakan semula semata-mata berdasarkan desakan sesetengah pihak.

Katanya PPBMM menyokong bahasa Inggeris diajar kepada pelajar sekolah dan pernah mendesak agar mata pelajaran itu diwajibkan lulus dalam peperiksaan awam di negara ini.

Bagaimanapun katanya, usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar tidak patut dilakukan dengan mengorbankan kedudukan bahasa Melayu dengan perlaksanaan PPSMI.

Menurutnya, PPBMM secara tegas membantah sebarang usaha bagi mengembalikan PPSMI tanpa kompromi.

"Kita harap kerajaan memikirkan secara mendalam sebelum melayani desakan golongan tertentu untuk mengembalikan semula PPSMI kerana ia boleh membawa banyak implikasi buruk kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu," katanya.(sumber:Malaysiakini, 11/4/11)

11 April 2011

TEMPIAS PENYAKIT PENDATANG ASING

PERSOALAN kesan kebanjiran pendatang asing di Malaysia bukan sahaja meliputi aspek sosial, ekonomi dan budaya malahan keselamatan dan kesihatan terutamanya terhadap warganegara Malaysia sendiri.
Walaupun kebimbangan umumnya melibatkan keseluruhan warga asing tetapi risiko utama penyebaran penyakit berjangkit adalah golongan pendatang asing yang masuk secara haram dan tidak diketahui tahap kesihatan mereka.

Kemunculan semula beberapa penyakit yang telah dihapuskan atau jarang ditemui serta beberapa penyakit baru di negara ini telah diperakui beberapa pihak sebelum ini mempunyai kaitan dengan kemasukan pendatang asing dan kini semakin membimbangkan berikutan peningkatan laporan kes wabak penyakit berjangkit.

Bagi Dr. Muhammad Ishamuddin Ismail, isu warga asing membawa masuk penyakit berjangkit merupakan satu isu serius bagi rakyat dan perlu ditangani segera oleh semua pihak.
Beliau yang merupakan Pensyarah serta Pakar Runding Bedah Jantung dan Paru-Paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berpendapat, pendatang dari negara dunia ketiga seperti Indonesia dan Bangladesh paling banyak menyumbang kepada masalah tersebut.
"Kita dapat lihat beberapa kes penyakit berjangkit yang selama ini sudah terkawal dan rendah bilangannya di kalangan rakyat Malaysia kembali meningkat.

"Penyakit seperti Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering yang kembali meningkat menjadi contoh penyakit yang dipercayai berkaitan dengan kemasukan pendatang asing berkenaan," katanya.
Selain tibi, beberapa penyakit lain yang dikhuatiri boleh atau telah disebarkan pendatang asing termasuk selesema (Influenza A H1N1 atau H5N1), malaria, HIV/AIDS, hepatitis, polio dan banyak lagi akibat daripada jangkitan bakteria, virus, parasit atau mikroorganisma lain.Dr. Muhammad Ishamuddin menjelaskan, selain penyakit yang telah lama terkawal, beberapa penyakit yang jarang ditemui atau belum pernah ditemui di negara ini juga mungkin ada kaitan dengan kemasukan pendatang asing.

"Leptospirosis (kencing tikus) merupakan penyakit yang jarang ditemui di negara kita tetapi kini semakin kerap dikesan sementara jangkitan virus Adeno pula seperti mencatatkan peningkatan yang juga berkemungkinan akibat perhubungan dengan warga asing."Bagaimanapun, kes melibatkan virus Adeno kebelakangan ini mungkin kejadian terpencil dan perlu dikaji dengan lebih rapi dan mendalam untuk mengesan dari mana jangkitan bermula," ujarnya.

Media sejak beberapa minggu lalu melaporkan kejadian jangkitan virus Adeno, H1N1 dan juga Leptospirosis di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Beberapa pelatih Pulapol dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan tersebut sementara ramai lagi dikuarantin untuk rawatan.

Dr. Muhammad Ishamuddin turut mengingatkan orang ramai bahawa penyakit berjangkit terutamanya daripada pendatang asing bukan sahaja merebak melalui sentuhan (perhubungan secara terus, bendalir badan) atau vektor (nyamuk, tikus, lalat), malahan melalui makanan yang diurus atau dijual golongan tersebut.
"Oleh kerana itu, penekanan perlu diberikan kepada kesedaran umum dalam melindungi kesihatan diri dan masyarakat setempat dan bukan sekadar bergantung kepada pemantauan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan.

"Mereka perlu melaporkan kepada pihak berwajib jika mengesyaki penyakit berjangkit berpunca dari sumber tertentu (seperti pekerja asing yang menguruskan makanan) sementara pihak berkuasa perlu bertindak dengan segera jika menerima laporan," tegasnya.

Secara asasnya, kebanjiran pekerja asing terutamanya yang mengurus dan menjual makanan di gerai, restoran mahupun pasar malam berkemungkinan besar menyumbang kepada penularan beberapa penyakit berjangkit tertentu seperti kejadian virus Adeno baru-baru ini.Ini terutamanya jika pekerja asing berkenaan masuk secara haram dan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan atau mendapat imunisasi dan rawatan sewajarnya untuk mengelak penyebaran penyakit yang dihidapi mereka.

Situasi sebegini telah beberapa kali disahkan hasil siasatan Kementerian Kesihatan terhadap laporan penularan penyakit tertentu seperti malaria, tibi dan polio yang akhirnya terbukti bermula dengan pendatang asing yang menjadi pembawa atau penghidap penyakit tersebut.Untuk menyekat penularan penyakit daripada pendatang asing, Dr. Muhammad Ishamuddin mencadangkan kemasukan mereka dikawal dengan lebih ketat bagi memastikan pemeriksaan kesihatan menyeluruh dibuat untuk setiap individu yang masuk secara sah sementara yang masuk secara haram diperangi habis-habisan.

"Pemeriksaan kesihatan perlu dijalankan di negara asal dan juga di sini untuk pekerja asing yang ingin masuk ke Malaysia, sementara permit kerja tidak sepatutnya diberikan tanpa pengesahan pemeriksaan serta jaminan langkah pencegahan penyakit berjangkit telah diambil.

"Selain penyakit lama dan baru, kita juga perlu ingat ada warga asing yang masuk secara sah atau haram boleh dan telah menyebarkan penyakit melalui hubungan seks (STD).
"Penyebaran STD juga perlu dipantau di kalangan warga asing yang menjalankan kerja tidak senonoh di negara ini supaya tidak dipindahkan kepada penduduk tempatan secara sengaja atau tidak (melalui bendalir badan)," katanya.

Kebanjiran pendatang asing sememangnya bukan lagi sesuatu yang pelik kerana di penjuru mana sekalipun pasti ada golongan ini yang bekerja atau menetap secara sah atau haram di Malaysia.Selain kegusaran sosial, budaya atau keselamatan yang ditanggung rakyat Malaysia, ancaman kesihatan kini menjadi belenggu baru yang dikhuatiri menggugat masa depan generasi muda pewaris negara.Namun, tugas menangani kebanjiran warga asing dan mengekang masalah yang dibawa bersama bukan terletak di tangan penguatkuasa sahaja. Tanggungjawab itu perlu dipikul setiap seorang daripada kita yang mengaku warganegara Malaysia.

Para majikan, contohnya, tidak boleh sekadar memikirkan untung dan upah murah dalam mengambil pekerja asing tanpa memastikan mereka masuk secara sah atau tidak, di samping memastikan sikap, budaya dan tahap kesihatan pekerja itu tidak akan memudaratkan orang lain kelak.Orang ramai juga perlu mengubah sikap mengambil mudah isu ini dan berhenti melepaskan tanggungjawab kepada pihak berkuasa semata-mata sementara pihak berwajib pula tidak boleh berlembut lagi.

Hentikan bersekongkol dalam menyorok dan menerima kehadiran pendatang asing tanpa izin dengan melaporkan aktiviti mereka, di samping mengelakkan daripada menggunakan perkhidmatan atau membeli produk yang mereka tawarkan. Jika kita mengeluh kebanjiran pendatang asing tanpa izin sememangnya menjadi beban kepada semua, maka kerana itu jugalah semua pihak perlu bersatu dalam mengawal dan mencegah golongan itu daripada terus menguasai dan membelenggu hidup kita. (sumber: UM, 11/4/11)