Salam Perjuangan

14 April 2012

TV ALHIJRAH

TB (penulis) mengucapkan syabas kepada warga TV ALHIJRAH (JAKIM) kerana saluran alternatif ini  mula mendapat tempat dan hati masyarakat. Bahkan TB dimaklumkan bukan hanya penonton beragama lslam sahaja yang menontonnya tetapi termasuk juga yang bukan lslam. Apa yang penting warga kerja TV ALHIJRAH sewajarnya beristiqamah,beriltizam dan berkeyakinan dengan jati diri dan wajah (imej) serta matlamat saluran ini.

Usahlah terikut-ikut dalam apa juga 'situasi' dengan TV saluran-saluran kotemporari yang lain. Apa yang wajar pengacara sewajarnya banyak membaca dan berilmu. Biarlah dalam setiap tutur kata sewaktu pengacaraan TV, sentiasa menggunakan bahasa yang standard yang mana gunakan bahasa yang betul, gramatis dan indah. Pengacara hendaklah sentiasa menerapkan nilai-nilai murni sejagat dengan menyelitkan petikan-petikan dan maksud ayat al-Quran, hadis, perumpamaan, bidalan dan pepatah Melayu. HARAMKAN frasa kata yang salah seperti; diaorang (mereka), kitaorang (kami), mereka-mereka (mereka) dan banyak lagi.

Perilaku dan cara interaksi serta komunikasi pengacara TV sentiasa diperhatikan penonton.Apatah lagi imej TV ALHIJRAH berkonsepkan dakwah lslamiah. Usahlah pengacara wanita yang kemungkinan keterlaluan lalu terlupa sambil bercakap menepuk bahu pengacara lelaki (ini pernah terjadi). Dalam apa jua pun baik solekan, senyuman dan gelak ketawa biarlah sederhana. Hindari yang bersifat keterlaluan.

Pemilihan bahan dan program yang berbentuk ilmu duniawi dan ukhrawi wajar diperbanyakkan. Buktikanlah Bahasa Melayu yang pernah berperanan sebagai lingua-franca dan bahasa utama di Nusantara dalam penyebaran agama lslam sejak abad ke-13 lalu patut dihidupkan dan disuburkan semula. Kitab-kitab karangan Raja Ali Haji, Sheikh Nuruddin al-Raniri,Hamzah Fansuri dan sebagainya boleh dikupas bagi menggali semula ilmu dan ajaran lslam yang tak lapuk dek panas tak lekang dek hujan.Sekiranya mahu menyiarkan program hiburan import seperti dari lndonesia TB sarankan pilihlah drama/sinetron yang berkonsepkan hidayah agama yang banyak disiarkan di TV 5 (Tipi Lima) lndonesia.

TB ucapkan selamat maju jaya. (TB)

Tiada ulasan: