Salam Perjuangan

09 April 2012

BABA NYONYA MELAKA: WAJARKAH STATUS BUMIPUTERA?

AKHBAR tempatan hari ini, 9.4.2012 melaporkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam akan mengemukakan kepada Perdana Menteri mengenai permohonan status Bumiputera terhadap kira-kira 4,000 spesis Baba Nonya Melaka. Ali Rustam turut memperakui sumbangan golongan tersebut kepada sejarah Melaka yang telah sedia wujud lebih 600 tahun yang silam.

TB ingin menarik salah satu kisah benar....seorang lelaki Cina yang berketurunan Baba Melaka, Mr. Yap (bukan nama sebenar) yang lahir di Melaka zaman pemerintah kolonial lnggeris di Negeri-Negeri Selat. Apa yang istimewa beliau bukan sahaja fasih bertutur dalam bahasa Melayu yang petah dan fasih (telor/loghat seperti Melayu juga) tetapi beliau dan keluarganya boleh bertutur dalam dialek Hokkian dan sedikit-sedikit boleh berbahasa Mandarin dan lnggeris. Mr Yap telah berkahwin dengan wanita Cina dan dikurniakan 5 anak. Beliau tetap mengakui dirinya Baba.

Kemudian sebelum negara mencapai kemerdekaan, beliau berkahwin dengan wanita Melayu setelah memeluk lslam dengan menukar nama Ahmad bin Abdullah (bukan nama sebenar).Kerana beliau bijak menyesuakan diri dengan keluarga baru, beliau berjaya mengassimilasikan dirinya dengan agama lslam, adat resam Melayu dan cara hidup orang Melayu.

 Bahkan beliau secara automatik 'menjadi Melayu' dan merasakan dirinya Melayu termasuk cara pemikirannya. Kini anak-anak cucunya tetap merasakan Melayu dan tercatat berketurunan Melayu. Setelah menjadi 'Melayu' dan berstatuskan bumiputera secara assimilasi beliau terus terang menyatakan kejayaan seseorang itu bukan bergantung kepada status bangsanya tetapi bergantung kepada rajin atau malas, beriltizam atau pasif, berilmu atau tidak berilmu. Sekarang Encik Ahmad bin Abdullah telah kembali ke rahmatullah ketika usianya menginjak lebih kurang 83 tahun.

Soalnya, apakah Baba Nonya Melaka sekarang yang generasi muda kini telah hidup cara moden yang mana telah bertutur bahasa Mandarin, bersekolah di SJK Cina, sudah hilang identiti cara berpakaian, berdondang sayang, cara kejiranan, corak pemakanan dan pemikiran, telah berkahwin campur dengan 'Cina Totok' (Cina Malaysia) mahu mengidentifikasikan dirinya Baba Nonya? TB ingin tahu apakah yang dimaksudkan dengan Baba Nonya itu?

 Ali Rustam ada menyebut keturunan Baba Nonya datang sejak awal zaman Kesultanan Melaka dahulu. Bagaimana pula yang datang semasa zaman pentadbiran lnggeris di Negeri-Negeri Selat pada tahun selepas 1880-an? (sila rujuk dan baca Hikayat Abdullah). Bagaimana pula mahu kita berikan status Baba Nyonya di Pulau Pinang dan Singapura? Pening? Justeru, tiada masalah janganlah buat masalah atau menambahkan masalah yang telah sedia banyak. Janganlah 'bermain politik' perkara sebegini. (TB).


Tiada ulasan: