KETIKA menjadi pengelola halaman sastera Utusan Zaman pada tahun 1960-an, antara yang turut mendapat bimbingannya adalah Sasterawan Negara Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Dia akrab dengan penulis-penulis muda waktu itu dan kesempatan itu digunakan untuk mengasuh supaya menjadi penulis besar, malah lebih besar berbanding dirinya.
Bidang penulisan telah menangkap minatnya. Buktinya walaupun pernah menganggotai pasukan polis tahun 1951 tetapi mahu terus menulis. Kerana penulisan juga dia didakwa melanggar peraturan polis dan akhirnya diberhentikan tahun 1957.
Demikianlah antara laluan yang pernah direntasi oleh sasterawan Ali Haji Ahmad atau Nora yang menutup usia 82 tahun 7 April lalu kerana sakit tua. Walaupun penulis generasi baru sesetengahnya tidak mengenali Nora atau karyanya, tetapi tahun 1960-an hingga 1980-an, adalah kemuncak Nora sebagai sasterawan.
Nora dilahirkan pada 28 Jun 1930 di Kampung Sungai Mati, Muar, Johor dan mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Sungai Mati dan lulus darjah V tahun 1941. Selain sekolah agama, Nora juga bersekolah Inggeris hingga lulus darjah V.
Kerana penulisan juga membawa Nora menganggotai keluarga Utusan Melayu yang terkenal sebagai perkampungan sasterawan sejak sebelum merdeka. Nora menyertai Utusan Melayu pada 1961 hingga 1982 kerana menyertai pertubuhan agama Darul Al Arqam kemudian menerajui buletin Al Arqam.
Dengan menggunakan nama Nora, mereka yang tidak mengenalinya menganggap Nora adalah seorang penulis wanita. Tetapi ada ketikanya juga dia menggunakan nama Teratai. Bagaimanapun nama Nora sudah sebati dengan dirinya malah menenggelamkan namanya yang sebenar.
Malah memilih nama Nora juga boleh menyelesaikan kekeliruan kerana "Ali Haji Ahmad" yang popular ada tiga orang. Pertama Nora, kedua bekas Menteri Pertanian, Ali Haji Ahmad dan ketika Ali Ahmad seorang sasterawan yang menggunakan nama pena Alis Murni.
Melalui penulisan, Nora memperlihatkan prihatin terhadap golongan bawahan yang kerap ditindas oleh sistem sosial dan ekonomi yang dibuat oleh golongan kapitalis. Daripada karya-karyanya, baik novel atau cerpen, perjuangannya menyedarkan golongan bawahan yang tertindas sangat ketara.
Semua ini terpancar selepas cerpen pertamanya, Mengingat Si Hitam Manis disiarkan dalam majalah Utusan Filem dan Sport tahun 1955. Sementaran tahun 1960-an pula dianggap kemuncak Nora dalam penulisan apabila hampir semua majalah dan akhbar menyiarkan karya cerpennya. Antara cerpennya yang terhebat ialah Keranda Minda Diusung, Lapar, Pelacur Tua, Di Tengah Kota dan beberapa lagi yang dimuatkan dalam antologi Bayang Di Kepak Senja.
Selepas meninggalkan Utusan Melayu, Nora menyertai Al Arqam, kebetulan pula ketika itu merupakan zaman awal pertubuhan itu sekaligus membuatkan Nora perlu banyak berkorban masa dan wang ringgit untuk Al Arqam. Tetapi yang disumbangkan Nora kepada Al Arqam jauh lebih besar daripada yang diberikan oleh pertubuhan itu kepada Nora.
Selain cerpen, novellah yang melonjakkan nama Nora sebagai sasterawan. Novel pertamanyaPuntung Hanyut diterbitkan oleh Pustaka Antara tahun 1965, kemudian menyusul Gelodak(1968), Gelanggang (1975), Kemarau Di Hujung Daun (1976), Seribu Musim Kering (1980),Uzlah (1980) dan Ufuk Timur (1986). Nora juga pernah menghasilkan memoir berjudul Di Tengah Kota yang merakamkan perjalanan hidup yang pelbagai warna, dari kampung hingga menjadi warga di kota Kuala Lumpur yang sangat mencabar.
Karya-karya ini sangat penting setidak-tidaknya untuk merasai semula secara batin sosialisasi, budaya dan pemikiran manusia pada zaman berkenaan yang telah jauh kita tinggalkan. Kalau harimau mati meninggalkan belang, manusia hebat dan berpemikiran seperti Nora bukan sekadar meninggalkan nama. Apalah ada pada nama. Tetapi Nora meninggalkan karya yang menjadi khazanah sastera yang penting kepada bangsa dan negara. Karya yang baik tidak akan mati ditelan zaman.
Kemala ketika dihubungi kelmarin mengakui beliau akrab dengan Nora. Ini kerana karya-karya zaman awal Kemala di Utusan Zaman (jawi) dipilih oleh Nora untuk disiarkan. Malah Nora banyak membantu memberi ruang kepada penulis baru seperti Kemala sambil membimbingnya.
"Pak Nora antara orang yang menyumbang kepada kelahiran saya sebagai sasterawan pada hari ini. Kami akrab bukan kerana untuk meminta karya disiarkan tetapi sikap Pak Nora yang suka membimbing," kata Kemala yang dianugerahkan Sasterawan Negara oleh Yang Dipertuan Agong baru-baru ini.
"Saya kehilangan Pak Nora, kehilangan pembimbing dan juga kawan," ujarnya lagi. Kemala menceritakan zaman remaja mereka di mana Nora yang menumpang motosikalnya lari lintang pukang apabila polis buat sekatan jalan kerana dia hanya ada lesen L.
Kini walaupun pembimbingnya sudah tidak dikenali lagi tetapi Kemala tetap mengenang jasa Nora yang diibaratkan tangan menyiram air pada tunas yang baru tumbuh. ALFATIHAH....(sumber: Ku Seman Ku Hussain)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan