TANPA TB rencanakan tidak semena-mena
diberi kesempatan menonton konsert esklusif Datuk Sharifah Aini (Kak Pah) yang
berlangsung jam 8.30 malam di Audotorium Perdana RTM malam Ahad, 28 April 2012.
Walaupun di luar RTM pada siang hari situasi menjadi hangat kerana gara-gara
permainan politik tanah air dek bahang suhu pilihan raya ke-13 yang bakal
menjelang namun kehebatan Biduan Sharifah Aini yang TB turut minati kerana
kelunakan dan kemerduan suaranya dalam menyampaikan pelbagai rentak lagu
membuatkan rata-rata audien yang memenuhi ruang autorium bagaikan terpaku
pesona.
Kak Pah yang menyampaikan lagu-lagu
seperti Pungguk, Teratai, Bunga Tanjung dan lagu-lagu evergreen hitnya secara
solo turut memukau khalayak. Ada rentak langgam asli, zapin, ghazal dan
kotemporari. Kak Pah turut menyanyikan lagu 'Bila Bulan Berbicara' yang
dipopularkan oleh mendiang Broery Marantika sebagai lagu kegemarannya yang
pernah bersama Broery dalam filem Hapuslah Airmatamu,1976.
TB masih ingat pada tahun 1976 TB
dan teman-teman sekuliah di sebuah IPT berbondong-bondong ke Coliseum KL
kerana menonton tayangan perdana Hapuslah Air Matamu yang ditayangkan ketika
itu. TB yang tidak ada teman wanita (hahaha TB tidak laku) sibuk membantu
membeli (advance booking) tiket untuk teman-teman wanita sekolej. Konon mahu
buat baik, ambil hati. Lucu....
Suatu malam TB membonceng motosikal dengan
seorang sahabat dari UM.Sahabat itu yang tinggal di Bangsar Park yang
bersebelahan Lucky Garden. TB pula tinggal di Jalan Bangsar berhampiran NST berhadapan
Taman Ghazali Shafie (kini sudah pupus).Apabila melalui Bangsar Park, sahabat
tersebut menunjukkan rumah Kak Pah. Waktu itu sekitar jam 10.30 malam. Suasana
hening. TB dan sahabat itu menjerit memanggil nama Kak Pah. Hehehe...setakat
menjerit memanggil nama Kak Pah dengan sopan.TB rasa nakal juga kami ketika
itu. Maklumlah peminat artis top pada masa itu.
Ketika persembahan berakhir konsert,
dengan sayu syahdu Kak Pah memohon maaf kepada para penonton dan peminat jika
ada kesilapan yang dilakukan selama ini. Justeru dalam kolum ini, TB juga
memohon maaf kerana perbuatan itu ketika remaja pada masa lampau.Selamat maju
dan terus jaya buat Sharifah Aini! (TB)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan