Salam Perjuangan

22 April 2012

LAUT MATI (DEAD SEA): KEAJAIBAN DUNIA




TB sampai ke Laut Mati yang mengagumkan pada 10 Mei 2011 kira-kira jam 10 pagi. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Amman Jordan melalui jalan darat hampir 3 jam menuju ke destinasi di sebelah barat laut negara Jordan. Pemandangan gunung-ganang, gurun batu yang terbentang luas merupakan pemandangan yang lumrah dan meluas.


 Walaupun cuaca panas dan terik tetapi kerana Jordan ialah negara berhawa sederhana maka di sebalik cuaca panas tetapi suhu dingin dan sejuk menyelubungi diri.Sebab itu rata-rata rakyat Jordan berkulit cerah kemerah-merahan yang mengingatkan kita pengaruh dan hubungan tamadun antara Timur-Barat, Rome-Arab pada zaman dahulu. Apatah lagi Turki berada di kedudukan sebelah utara Jordan.

Melewati Petra, sisa kota lama peninggalan pengaruh kerajaan Rome silam, mengingatkan TB mengenai filem-filem lakonan The Rock yang pernah menjadikan latar Petra sebagai lokasi penggambaran. Ah, amat mempesona dan mengasyikkan alam maya ciptaan Yang Maha Berkuasa ini. Dalam kotak minda TB sering membayangkan bagaimanakan hebatnya peperangan demi peperangan berlaku di daerah ini pada zaman silam yang lalu.



Laut Mati adalah tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat.  Pantainya berada di kedudukan serendah 418 meter di bawah aras laut Mediterranean yang merupakan kedudukan terendah di atas daratan dunia.  Isipadu airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan sebanyak 33.7%.  Ini lebih kurang 8.6 kali lebih masin dari laut biasa.




Oleh sebab itu, tiada satu pun organisma yang boleh hidup di dalamnya dan kapal tidak boleh belayar di atas permukaannya.  Tasik itu berukuran 67 km panjang dan 18 km lebar. Bahkan sekiranya kita berada di atas permukaan air kita akan terapung-apung tidak tenggelam walaupun kita tidak cekap berenang.   Cabang sungai terutamanya ialag Sungai Jordan.

 Bagaimanalah Laut Mati ini terbentuk?  Kewujudan Laut Mati atau lebih dikenali  sebagai Tasik Nabi Lut ini sebagaimana yang diterangkan dalam Al Quran berlaku sekitar 1800 SM.  Berasaskan kajian geografi dan arkeologi pula di kalangan penyelidik Jerman mendapati bahawa wujud bandar Sodom dan Gomorrah yang terletak di wilayah  paling  jauh dan terendah di Laut Mati yang suatu  masa dahulu diduduki dengan meluas.

Struktur Laut Mati yang paling menarik perhatian pengkaji ialah kesan yang menunjukkan bagaimana satu malapetaka telah berlaku seperti yang diceritakan dalam Al Quran.   Di pantai Laut Mati  sebelah timur, sebuah semenanjung yang dikenali sebagai 'Al -Lisan' menonjol kelaur ke arah air.  Al -Lisan bermaksud 'Lidah' tetapi semenanjung ini tidak dapat dilihat dari daratan kerana ia jatuh di bawah permukaan air pada sudut yang luas, membahagikan lautan kepada dua bahagian.

Di bahagian kanan, tanahnya amat curam ke bawah sehingga 1200 kaki dalam manakala di sebelah kiri kedalaman sebanyak 50-60 kaki.  Kawasan cetek ini yang melingkari semenanjung Al-Lisan hingga ke bahagian paling selatan adalah wilayah Lembah Sidim.  Kawasan yang cetek ini terbentuk selepas berlakunya kejadian gempa bumi dan keruntuhan besar kesan gempa  tersebut. Di sinilah diyakini oleh pengkaji terletaknya bandar Sodom dan Gomorrah yang diliputi oleh permukaan rata bahagian cetek Laut Mati.(TB)



Tiada ulasan: