Salam Perjuangan

11 April 2012

DYMM SPB DI-PERTUAN AGONG KE- 14 : DAULAT TUANKU !



Istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 bermula pagi ini di Istana Negara di sini dengan upacara pemeriksaan barisan kehormat.


Seramai l07 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota lain pangkat, terlibat dalam perbarisan kehormat di anjung utama Istana Negara. 


Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, sebelum menerima "Hormat Diraja" daripada barisan kawalan kehormat, yang diikuti dengan lagu "Negaraku." 

Serentak dengan lagu "Negaraku' dimainkan, Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda dikibarkan.

Selesai upacara itu, Seri Paduka berdua bersemayam di Bilik Seri Maharaja, sebelum berangkat ke Balairong Seri untuk upacara pertabalan yang buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baru, Jalan Duta, yang berdiri megah sebagai lambang pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Pertabalan kali ini turut melakar sejarah kerana buat pertama kali Sultan yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. 

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84. 

Upacara hari ini yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut dirakamkan oleh National Geographic Channel dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk penerbitan dokumentari bagi siaran di persada antarabangsa. 

Dokumentari pertabalan kali ini menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya. - (sumber:BERNAMA, HM , 11/04/12)



TB: Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Terkenang ketika di Negara Brunei Darussalam.

Tiada ulasan: