PERNIKAHAN yang menggunakan khidmat jurunikah palsu atau lebih dikenali sebagai ‘nikah koboi’ terutama yang berlangsung di tepi jalan tidak sah menurut syariah dan enakmen keluarga Islam negara ini.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang, Badli Shah Alauddin berkata, perkahwinan begitu perlu segera menjalani proses faraq yang membawa maksud kepada pembubaran pernikahan bukan melalui talak.
“Macam mana kita boleh kata pernikahannya sah sedangkan dia melanggar syarat wali iaitu perkara wajib dalam Rukun Nikah yang dijelaskan bahawa wali perlu berada melebihi dua marhalah (83 kilometer) dari lokasi pernikahan, baru kata tidak wujud.
“Tapi kes ini, dia melangsungkan pernikahan di tepi jalan, sekali gus menjelaskan yang walinya masih berada dalam lingkungan wujud. Maka, perkahwinannya tidak sah kerana tidak berwali.
“Walaupun pasangan yang mahu berkahwin itu sukar menemukan walinya, dia tetap perlu mendapat keredhaan individu terbabit untuk keberkatan dalam perkahwinannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai khidmat jurunikah palsu dikesan bergiat aktif di Perak dan beberapa negeri lain untuk pasangan yang mahu berkahwin, tetapi tidak mendapat restu ibu bapa atau suami yang ingin berpoligami tanpa kebenaran isteri.
Sindiket didalangi warga tempatan itu digelar ‘Tok Ayah’ menawarkan khidmat dengan bayaran RM2,000 hingga RM5,000 dan mengambil masa kurang 10 minit untuk proses pernikahan yang boleh dijalankan di tepi jalan sebelum pasangan diberi sijil nikah palsu.
Mengulas lanjut, Badli Shah yang juga bekas Kadi Daerah Temerloh berkata, berbanding pernikahan yang berlangsung di Thailand termasuklah pernikahan di Vietnam, Cambodia, lndia, China, lndonesia, UK, Arab Saudi dan sebagainya masih sah dari segi syarak. Cuma pasangan tersebut perlu dapat pengesahan daripada konsulat atau kedutaan Malaysia di negara tersebut. Dengan adanya surat perakuan itu, pasangan tersebut bolehlah mendaftarkan perkahwinan mereka di mana-mana mahkamah syariah negeri-negeri dalam Malaysia yang berkenaan dan mendaftarakan pula di mana-mana pejabat pendaftar nikah,kahwin dan rujuk di mana-mana jabatan agama negeri yang berkaitan. Pendaftaran ini pun tidak bersifat paksaan tetapi atas kerelaan bagi tujuan memudahkan proses pengadilan hal ehwal kekeluargaan lslam ( jika ada sebarang kes MAL berbangkit kemudian hari) ( disesuaikan daripada MyMetro 7/4/12).
TB: Pernikahan atau ijab kabul pahalanya seperti mendirikan sebuah masjid. Pokoknya tidak melanggari hukum syarak dan menghindari perkara-perkara yang mengharamkan. Namun kita harus ingat di samping wajib mematuhi hukum syarak, kita juga mesti patuh umarak (pemerintah). Justeru menikah 'di tepi-tepi jalan' yang tidak sahih wajar dijauhi. Jika keadaan yang memaksa menikah di luar kawasan sejauh lebih dua marhala (lebih kurang 89-92 km) terutama di luar negara maka bernikahlah di Majlis-Majlis Agama atau Pejabat-Pejabat agama negara berkenaan (milik pemerintah). Bahasa komunikasi wajib difahami (sekiranya tidak faham gunakan khidmat juru bahasa menghindari ditipu) tidak kiralah sama ada menggunakan bahasa Melayu, lnggeris, Arab, Urdu, Parsi dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan