DALAM usia yang baru setahun jagung; melangkaui dua tahun, TB bersyukur kerana blog TIUB BOCOR telah dilawati hampir 25 ribu pembaca! Bukan mudah mahu menarik minat atau mendapatkan peminat setia yang terus mahu melayari atau sedikit sebanyak sesekali menjengok blog seperti ini.
Pada awalnya bukan mudah TB mahu memulakan blog ini. Sebabnya, TB sememangnya seorang penulis; penulis kreatif dan penulis deskriftif. Bukan mahu riak; tapi TB telah punya sejarah panjang dalam dunia penulisan sejak 1970-an. TB pernah mengekori Ahmad Boestaman, lshak Haji Muhammad (Pak Sako), Kassim Ahmad, Keris Mas, A.Samad lsmail, Ahmad Sebi Abu Bakar ketika TB remaja dahulu dalam setiap wacana ilmu dan bengkel penulisan. Bahkan rakan-rakan senior TB yang akrab seperti T.Alias Taib (Allahyarham) dan Dino SS (Allahyarham) banyak juga memberi lakaran warna dalam hidup TB sebagai penulis bebas.
Memulakan sebuah laman blog kira-kira 2 tahun lalu seiring dengan gelombang TMI/ICT membuatkan TB berfikir banyak kali. Kerana lCT dan blog tidak ada prasyarat pun kepada sesiapa.Dan sebab itu kedapatan pada hari ini bagai tumbuh bak cendawan selepas hujan pencatat-pencatat blog yang 'memaparkan ikut sesuka hati' dan tanpa silu mengangkat diri sebagai pejuang beraneka rupa.Apatah lagi gejala 'copy n paste' yang tanpa berfikir dan tanpa beretika meluas di sana sini. Tujuan mereka semata-mata kerana menyebarkan sensasi,fitnah, glamourisme dan protes jiwa yang membara.
Namun demi meneruskan tarbiyah kerana TB kini tidak mempunyai audien secara langsung seperti guru-murid dalam bilik darjah/kuliah maka TB memberanikan diri memulakan penulisan blog semata-mata mahu menampilkan idea-idea untuk pembaca boleh berfikir dan menyedari kepentingan sesuatu isu yang TB kemukakan. Pada awalnya TB tidak pun memberi sebarang tips pun siapakah TB; kerana niat TB bukan mahu dikenali; baik wajah,rupa atau fizikal. Tetapi selepas satu tahun dengan menerima pendapat teman di sisi, TB mula menyelitkan sedikit sebanyak siapakah TB tanpa secara langsung.
Walaupun ada artikel TB tulisan asli yang TB terbitkan di blog ini; namun atas nama berita/isu semasa ada juga bahan yang relevan TB kutip daripada akhbar-akhbar perdana dan portal berita semasa dengan komen -komen yang TB selitkan di ruangan pojok di bawahnya untuk pembaca berfikir.TB tetap catatkan sumber bahan atas nama etika kewartawanan dan penulisan.
Nama TIUB BOCOR agak anaeh dan mengelirukan. Nama TB mendapat ilham daripada nama 'tiub' (tube) yang sering digunaka dalam internet.. Alhamdulillah lama kelamaan nama Tiub Bocor telah 'berenjin' dan mula hidup dalam laman Google dan Yahoo seperti hari ini. Dan TB tetap TB; bukan bahan murahan yang menyebarkan sensasi dan tohmahan. Biarkan blog lain berbuat demikian;terpulanglah mereka. TB bukan blog bersifat kepartian atau kesukuan. TB berjuang untuk sejagat demi kemanusiaan sejagat dengan nilai-nilai murni dan kasih sayang lantaran menulis kerana cinta hakiki kepada Allah SWT. (TB)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan