Salam Perjuangan

30 April 2012

DI PULAU BATAM (ulang tahun ke-182)



                                 Teduh hujan dan tenang laut
                                 di Pulau Batam ini bagaikan bersenandung
                                 mencari Melayu yang hilang di Temasik
                                 resah berlagu di Karimun dan Daik
                                 dermaga yang menantiku mahu ke Bentan Telani




Teduh hujan dan bisikan kapal
dingin Disember mencengkam tubuhku
pasrah reda dugaan llahi kesakitan menyelubungi
aku mahu berlayar ke samudera nusa
di manakah Melayuku Melayumu
dalam teriakan malam ulang tahun ini







Teduh hujan dan bianglala di kuala
menyatakan berahi pesona damainya alam
kapal dagang santeri berlabuh silih ganti
ada Hang Nadim riwayat berkumandang 
janganlah dibunuh lagi  sang bijaksana
yang menyatakan kehangatan puisinya!




RAJIEE HADI,

Batam, Disember 2011.







 










SHARIFAH AINI


TANPA TB rencanakan tidak semena-mena diberi kesempatan menonton konsert esklusif Datuk Sharifah Aini (Kak Pah) yang berlangsung jam 8.30 malam di Audotorium Perdana RTM malam Ahad, 28 April 2012. Walaupun di luar RTM pada siang hari situasi menjadi hangat kerana gara-gara permainan politik tanah air dek bahang suhu pilihan raya ke-13 yang bakal menjelang namun kehebatan Biduan Sharifah Aini yang TB turut minati kerana kelunakan dan kemerduan suaranya dalam menyampaikan pelbagai rentak lagu membuatkan rata-rata audien yang memenuhi ruang autorium bagaikan terpaku pesona.

Kak Pah yang menyampaikan lagu-lagu seperti Pungguk, Teratai, Bunga Tanjung dan lagu-lagu evergreen hitnya secara solo turut memukau khalayak. Ada rentak langgam asli, zapin, ghazal dan kotemporari. Kak Pah turut menyanyikan lagu 'Bila Bulan Berbicara' yang dipopularkan oleh mendiang Broery Marantika sebagai lagu kegemarannya yang pernah bersama Broery dalam filem Hapuslah Airmatamu,1976.

TB masih ingat pada tahun 1976 TB  dan teman-teman sekuliah di sebuah IPT berbondong-bondong ke Coliseum KL kerana menonton tayangan perdana Hapuslah Air Matamu yang ditayangkan ketika itu. TB yang tidak ada teman wanita (hahaha TB tidak laku) sibuk membantu membeli (advance booking) tiket untuk teman-teman wanita sekolej. Konon mahu buat baik, ambil hati. Lucu....

Suatu malam TB membonceng motosikal dengan seorang sahabat dari UM.Sahabat itu yang tinggal di Bangsar Park yang bersebelahan Lucky Garden. TB pula tinggal di Jalan Bangsar berhampiran NST berhadapan Taman Ghazali Shafie (kini sudah pupus).Apabila melalui Bangsar Park, sahabat tersebut menunjukkan rumah Kak Pah. Waktu itu sekitar jam 10.30 malam. Suasana hening. TB dan sahabat itu menjerit memanggil nama Kak Pah. Hehehe...setakat menjerit memanggil nama Kak Pah dengan sopan.TB rasa nakal juga kami ketika itu. Maklumlah peminat artis top pada masa itu.

Ketika persembahan berakhir konsert, dengan sayu syahdu Kak Pah memohon maaf kepada para penonton dan peminat jika ada kesilapan yang dilakukan selama ini. Justeru dalam kolum ini, TB juga memohon maaf kerana perbuatan itu ketika remaja pada masa lampau.Selamat maju dan terus jaya buat Sharifah Aini! (TB)

28 April 2012

BERSIH TERUSKAN BERSIH


Kita bersih dan teruskan bersih
setiap ruang lumut kotor  yang hanyir
sisihkan sekian lama bermukim di lorong
bersemenda di longkang kehidupan

Setiap yang loya menjijikkan
kita muntahkan keresahan
agar nanar tidak membusung
tusuk onar memudaratkan sekalian
yang bertahun-tahun telah dibiarkan

Kita mahu menghela nafas
di rumah baru yang mulia ini
dalam waspada kitaran sejahtera
agar setiap jelek di lapangan itu
dibawa angin dikunjungi bayu

Kita mahu  sisihkan debu menyeka
ke destinasi yang diredai kalbu
agar sampah di sungai sejarah
mengalir arus ke laut bebas
mengisar waktu ke muara kesucian

Kita bersih teruskan bersih
di setiap permulaan hayat
agar tapak yang mahu kita bangunkan
di rumah peradaban mulia ini
tidak diselaputi lalang dan duri
buat anak-anak cucu mendatang!

DR RAJIEE HADI,
Kuala Lumpur.
24 April 2012.


(sumber: Harakahdaily, 24 April 2012)


CATATAN: Puisi di atas bersifat non partisan. Penulis/penyair menyeru kepada semua pihak dan individu termasuk daripada parti politik pemerintah mahupun pembangkang agat turut membersihkan 'segala kekotoran dan kejelekan' seperti amalan rasuah, kronisme, nepotisme, materialisme dan individualisme agar sama-sama menaikkan martabat manusiawi sebagai insan kamil yang bermaruah.Sekiranya 'kelahiran' puisi di atas pada masa,tarikh dan waktu yang berrkaitan ianya adalah suatu kebetulan sahaja. (TB)




27 April 2012

MASJID BANGI LAMA DAN KUIL HINDU BANGI LAMA

MASJID BANGI LAMA dalam daerah Hulu Langat Kajang antara masjid tradisional yang telah dibina seawal sejak zaman kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu. Namun kawasan yang majoritinya lslam iaitu kira-kira 60 peratus lslam termasuk salah seorang pemastautinnya tokoh pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Haji Daud Che Ngah kini hanya mampu memiliki masjid lama yang agak daif dan uzur. lmpian untuk membina sebuah masjid baru selaras dengan perkembangan dan pembangunan persekitaran bagaikan penantian sang pungguk yang rindukan bulan di awan.TB rasa ADUN Bangi Dr Shafie Abu Bakar yang mewakili PAS tentu arif dan peka mengenai masjid ini. Walau bagaimanapun tambahan ruang untuk menampung jumlah jemaah yang kian melimpah-ruah telah dilakukan pada tahun 2011.

Namun apa yang menghairankan dan menjadi perhatian mereka yang lalu-lalang di Pekan Bangi ini ialah tersergam besar anggun dengan pelbagai aksesori kuil hindu di persimpangan jalan yang bagaikan menjadi mercu tanda pula di Pekan Bangi Lama ini. TB dan masyarakat lslam tidaklah mahu mempersoalkan 'kehebatan' kuil hindu ini. Lantaran TB pun faham sebagai rakyat Malaysia dan mengamalkan kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, penganut Hindu berstatuskan warganegara Malaysia ini berhak mendapat hak mereka. Tetapi yang mahu TB perkatakan ialah penganut Hindu yang hanya sekitar 20 peratus di kawasan Pekan Bangi dan persekitarannya lebih beruntung dan bernasib baik jika dibandingkan bangunan masjid Pekan Bangi yang didiami lebih 60% penduduk lslam

Apapun keadilan, biarlah kena pada tempatnya. Janganlah kejanggalan ketara dipandang mata. Masjid tersisih jauh dan daif amat memalukan umat lslam. Di manakah maruahmu wahai rakan saudaraku lslam semua?
Di manakah para pemimpin masyarakat Bangi Lama; tidak kira apa jua parti yang sanggup menutup mata atau memandang sebelah mata maruah agama mereka? Di manakah kalian?

MASJID AL-TAKWA BANDAR BUKIT MAHKOTA

PADA suatu solat Jumaat yang lalu, jika tidak silap TB pada tahun 2010, TB terdengar dalam pengumuman sebelum khatib membaca khutbah di surau yang diberikan kelayakan mendirikan solat Jumaat bahawa kerajaan negeri Selangor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta (jika tidak silap pendengaran) untuk pembinaan MASJID AL TAKWA, Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Kajang, Selangor Darul Ehsan. Pengumuman itu melegakan banyak pihak dan penduduk yang selama ini berterusan menderma dengan penuh keikhlasan.

Namun sehingga tarikh Jumaat hari ini, 28 April 2012 cadangan pembinaan masjid yang menjadi idaman dan penantian para penduduk Bandar Bukit Mahkota, Bangi masih tinggal impian dan harapan.Sehingga kini cuma tapak dan notis papan tanda MASJID AL TAKWA yang terpacak didirikan.Bahkan yang menyedihkan telah kelihatan beberapa gerai mula didirikan di atas tapak yang terbiar itu . Soalnya sampai bilakah penantian ini berakhir?

26 April 2012

Sejarah Melayu dan Bangsanya


JIKA direnung dan dikaji hanya bangsa Melayu sahaja yang mempunyai sejarah tentang kehidupan bangsanya masa lalu iaitu Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang. Kehebatan Tun Seri Lanang adalah kemahiran mengarang, mengolah dan menulis dengan teliti.

Sejarah sepatutnya bukan hanya dikenang atau diikuti, tetapi diteladani apa yang baik dijadikan teladan, manakala yang buruk di jadikan sempadan. Inilah yang tersurat dan juga yang tersirat dalam tulisan yang dipaparkan oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu.

Tiga buah naskhah lama tulisan tangan Sulalatus Salatin yang lebih dikenali sekarang dengan nama Sejarah Melayu yang kemudiannya ditulis semula oleh A. Samad Ahmad. Banyak persoalan di pemikiran pembaca seperti "Siapakah lawan Hang Tuah bertikam, Hang Jebat atau Hang Kasturi? Adakah Hang Tuah dan Hang Jebat wujud atau hanya gambaran penulis? Hingga ke hari ini masih terdengar-dengar persoalan ini.

Mengikut sejarah, Tun Seri Lanang ialah Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615, serta penyunting Sejarah Melayu (buku, 1612) yang merupakan moyang kepada Sultan Johor dan Sultan Terengganu.

Salasilah kesultanan Terengganu yang terdapat dalam Sejarah Terengganu (buku) karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1974 ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri Maharaja, Johor - Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang menjadi Bendahara Johor dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan Zainal Abidin I (Sultan Terengganu Pertama) dan kepada Sultan Abdul Jalil IV (Sultan Johor ke-11 dari 1699 hingga 1719). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun Habib Abdul Majid adalah anak kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor), iaitu anak kepada Tun Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615).
Dalam pengetahuan orang-orang Melayu, nama Tun Seri Lanang lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah).

Kehidupan di Aceh. ketika Perang Batu Sawar pada tahun 1613 berlaku, beliau dibawa ke Aceh sebagai tawanan bersama-sama Sultan Alauddin Riayat Shah III, Sultan Johor-Riau, adinda Sultan, Raja Abdullah (Sultan Abdullah Maayah Shah)dan kerabat diraja Johor serta 23000 rakyat Johor. Mereka yang ditawan itu dilayan baik oleh sultan Aceh malah Raja Abdullah sendiri dikahwinkan dengan adinda sultan Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang bernama Ratna Jauhari.

Pada akhir tahun 1613, Raja Abdullah dihantar pulang bersama-sama dengan 2000 tentera Aceh dan diberikan sejumlah wang oleh Iskandar Muda untuk membina semula kota Batu Sawar. Pada tahun 1614, Sultan Alauddin dibenarkan pulang setelah baginda berjanji untuk membantu Aceh melawan Portugis.
Namun sebahagian besar rakyat Johor memilih untuk menetap di Aceh dan ditempatkan oleh sultan Aceh di jajahan bernama Samalanga termasuk Tun Seri Lanang yang dilantik sebagai "

"Uleebalang" atau gabenor Samalanga dan diberi gelaran Orang Kaya Dato' Bendahara Seri Paduka Tun Seberang oleh Aceh dan di Johor.

Tun Seri Lanang dilantik sebagai uleebalang Samalanga yang pertama yang terletak di pesisir timur Aceh pada tahun 1613 dan terus memerintah selama 40 tahun sehingga kematiannya pada tahun 1659 di Samalanga, Aceh.
Beliau telah menjadikan Samalanga sebagai pusat pendidikan di Kesultanan Aceh Darussalam. Beliau membangunkan banyak masjid yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah tetapi juga pusat pengajian Islam seperti Kuta Blang, Mesjid Raya dan Masjid Matang Wakeuh.

Beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Iskandar Thanidan Seri Ratu Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah.

Pengaruh Penyair Usman Awang yang sering membaca dan mengkaji Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang mendapat idea dan terkesan dengan cara penulisannya. Beliau menulis sajak Melayu Johor hasil dan pengaruh daripada pembacaan Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang.

Penyair Muhammad Haji Salleh telah menjelmakan Tun Seri Lanang melalui sajak transformasi daripada Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang. Kepetahan , ketelitian dan kesungguhan , dan iltizam Muhammad Haji Salleh menghasilkan sajak berepisod sejarah ini telah mengangkatnya dalam puisi yang cukup indah dan mengesankan seperti dalam sajak Ceritera yang Kedua Puluh Enam (i).

Kehebatan Tun Seri Lanang adalah kekuatan daya renung, memahami sistem politik dan budaya tradisional pada masa itu dan menerapkan dalam tulisan untuk tatapan generasi masa depan iaitu masa kini. Beliau juga memahami kewibawaan (atau keesahan) kuasa dalam kehidupan istana dan juga kehidupan rakyat jelata. Sebagai penulis beliau dilindungi oleh pihak istana dan mereka yang mempunyai kuasa.

Kajian mendapati, kesarjanaan Melayu dimulakan oleh tokoh seperti Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Munshi Abdullah, Raja Chulan, Za'ba, Syed Tahir Jalaludin, Abdul Rahim Kajai, Pak Sako dan lain-lain. Mereka ini adalah pelopor dalam persuratan Melayu sejak zaman silam hingga abad ke 20 ini.

Memahami manusia Melayu sejak dari Sejarah Melayu terpancar akal budinya, mengikut alur perasaan dan keindahannya. Ia boleh dijadikan landasan dalam bidang politik, budaya, sosial, ekonomi, sejarah dan juga pendidikan. Justeru, terdapat beberapa persoalan dalam kehidupan bangsa Melayu pada zaman silam yang kini berulang kembali dalam kehidupan masa kini. Membaca Sejarah Melayu seharusnya dijadikan landasan pemikiran politik dan sosial serta tatacara kehidupan masa kini. Peta sastera Melayu Nusantara adalah bertapak dan berasal daripada Sejarah Melayu.

Seorang pengarang seperti Tun Seri Lanang, menulis sejarah bangsanya, maka dipilihnya generasi sejarah, yang juga digolongkan sebagai sastera yang melakarkan perjalanan kerajaan, pergerakan bangsa, peristiwa dan watak penting dalam karya-karya beliau. Dia menjadikan Sejarah Melayu sebagai hasil sastera dan sejarah yang bernilai sebagai khazanah bangsa yang sangat indah bahasa dan penceritaannya.(sumber: AMINUDIN MANSOR)

24 April 2012

NORA SUNGAI MATI TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH


KETIKA menjadi pengelola halaman sastera Utusan Zaman pada tahun 1960-an, antara yang turut mendapat bimbingannya adalah Sasterawan Negara Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Dia akrab dengan penulis-penulis muda waktu itu dan kesempatan itu digunakan untuk mengasuh supaya menjadi penulis besar, malah lebih besar berbanding dirinya.

Bidang penulisan telah menangkap minatnya. Buktinya walaupun pernah menganggotai pasukan polis tahun 1951 tetapi mahu terus menulis. Kerana penulisan juga dia didakwa melanggar peraturan polis dan akhirnya diberhentikan tahun 1957.

Demikianlah antara laluan yang pernah direntasi oleh sasterawan Ali Haji Ahmad atau Nora yang menutup usia 82 tahun 7 April lalu kerana sakit tua. Walaupun penulis generasi baru sesetengahnya tidak mengenali Nora atau karyanya, tetapi tahun 1960-an hingga 1980-an, adalah kemuncak Nora sebagai sasterawan.
Nora dilahirkan pada 28 Jun 1930 di Kampung Sungai Mati, Muar, Johor dan mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Sungai Mati dan lulus darjah V tahun 1941. Selain sekolah agama, Nora juga bersekolah Inggeris hingga lulus darjah V.

Kerana penulisan juga membawa Nora menganggotai keluarga Utusan Melayu yang terkenal sebagai perkampungan sasterawan sejak sebelum merdeka. Nora menyertai Utusan Melayu pada 1961 hingga 1982 kerana menyertai pertubuhan agama Darul Al Arqam kemudian menerajui buletin Al Arqam.
Dengan menggunakan nama Nora, mereka yang tidak mengenalinya menganggap Nora adalah seorang penulis wanita. Tetapi ada ketikanya juga dia menggunakan nama Teratai. Bagaimanapun nama Nora sudah sebati dengan dirinya malah menenggelamkan namanya yang sebenar.

Malah memilih nama Nora juga boleh menyelesaikan kekeliruan kerana "Ali Haji Ahmad" yang popular ada tiga orang. Pertama Nora, kedua bekas Menteri Pertanian, Ali Haji Ahmad dan ketika Ali Ahmad seorang sasterawan yang menggunakan nama pena Alis Murni.

Melalui penulisan, Nora memperlihatkan prihatin terhadap golongan bawahan yang kerap ditindas oleh sistem sosial dan ekonomi yang dibuat oleh golongan kapitalis. Daripada karya-karyanya, baik novel atau cerpen, perjuangannya menyedarkan golongan bawahan yang tertindas sangat ketara.

Semua ini terpancar selepas cerpen pertamanya, Mengingat Si Hitam Manis disiarkan dalam majalah Utusan Filem dan Sport tahun 1955. Sementaran tahun 1960-an pula dianggap kemuncak Nora dalam penulisan apabila hampir semua majalah dan akhbar menyiarkan karya cerpennya. Antara cerpennya yang terhebat ialah Keranda Minda Diusung, Lapar, Pelacur Tua, Di Tengah Kota dan beberapa lagi yang dimuatkan dalam antologi Bayang Di Kepak Senja.
Selepas meninggalkan Utusan Melayu, Nora menyertai Al Arqam, kebetulan pula ketika itu merupakan zaman awal pertubuhan itu sekaligus membuatkan Nora perlu banyak berkorban masa dan wang ringgit untuk Al Arqam. Tetapi yang disumbangkan Nora kepada Al Arqam jauh lebih besar daripada yang diberikan oleh pertubuhan itu kepada Nora.

Selain cerpen, novellah yang melonjakkan nama Nora sebagai sasterawan. Novel pertamanyaPuntung Hanyut diterbitkan oleh Pustaka Antara tahun 1965, kemudian menyusul Gelodak(1968), Gelanggang (1975), Kemarau Di Hujung Daun (1976), Seribu Musim Kering (1980),Uzlah (1980) dan Ufuk Timur (1986). Nora juga pernah menghasilkan memoir berjudul Di Tengah Kota yang merakamkan perjalanan hidup yang pelbagai warna, dari kampung hingga menjadi warga di kota Kuala Lumpur yang sangat mencabar.
Karya-karya ini sangat penting setidak-tidaknya untuk merasai semula secara batin sosialisasi, budaya dan pemikiran manusia pada zaman berkenaan yang telah jauh kita tinggalkan. Kalau harimau mati meninggalkan belang, manusia hebat dan berpemikiran seperti Nora bukan sekadar meninggalkan nama. Apalah ada pada nama. Tetapi Nora meninggalkan karya yang menjadi khazanah sastera yang penting kepada bangsa dan negara. Karya yang baik tidak akan mati ditelan zaman.

Kemala ketika dihubungi kelmarin mengakui beliau akrab dengan Nora. Ini kerana karya-karya zaman awal Kemala di Utusan Zaman (jawi) dipilih oleh Nora untuk disiarkan. Malah Nora banyak membantu memberi ruang kepada penulis baru seperti Kemala sambil membimbingnya.

"Pak Nora antara orang yang menyumbang kepada kelahiran saya sebagai sasterawan pada hari ini. Kami akrab bukan kerana untuk meminta karya disiarkan tetapi sikap Pak Nora yang suka membimbing," kata Kemala yang dianugerahkan Sasterawan Negara oleh Yang Dipertuan Agong baru-baru ini.

"Saya kehilangan Pak Nora, kehilangan pembimbing dan juga kawan," ujarnya lagi. Kemala menceritakan zaman remaja mereka di mana Nora yang menumpang motosikalnya lari lintang pukang apabila polis buat sekatan jalan kerana dia hanya ada lesen L.

Kini walaupun pembimbingnya sudah tidak dikenali lagi tetapi Kemala tetap mengenang jasa Nora yang diibaratkan tangan menyiram air pada tunas yang baru tumbuh. ALFATIHAH....(sumber: Ku Seman Ku Hussain) 

23 April 2012

LGBT :PERJUANGAN YANG SIA-SIA!


GERAKan  yang memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta setiap pengamal seks songsang merupakan pengikut-pengikut jejak syaitan.


Justeru itu, kata Pengerusi Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Nasharudin Mat Isa, telah tiba masanya untuk semua umat Islam di negara ini bangkit dan menentang secara habis-habisan terhadap pejuang serta pengamal LGBT kerana sekiranya perbuatan menjijikkan itu jika dibiarkan, ia boleh mengundang bala daripada Allah SWT.

Beliau berkata, di dalam al-Quran, Allah telah menceritakan bagaimana umat Nabi Lut a.s ditimpa bala bencana yang amat dahsyat hanya disebabkan menularnya budaya gay sedangkan apa yang berlaku sekarang lebih teruk lagi apabila wujudnya tiga lagi jenis seks songsang iaitu lesbian, biseksual dan transgender.

"Disebabkan gay, bandar Sodom telah dihempaskan ke bumi hingga mengakibatkan bandar itu hancur dan kesannya boleh dilihat di Laut Mati di Jordan. Kita juga tahu kisah kaum Nabi Lut ini melalui firman Allah di dalam ayat ke 80 hingga 84 surah al-A'raf .

"Cuba lihat, pada zaman Nabi Lut hanya ada G (gay) sahaja, itu pun Allah telah menjatuhkan hukum yang begitu berat. Bayangkan sekarang, ditambahkan dengan perbuatan LBT (lesbian, biseksual dan transgender). Mahukah kita undang bala Allah dengan hanya kita berdiam diri?" tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk Seks Songsang: Perspektif Syari'ah pada Wacana Kemungkaran LGBT di Dewan Besar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampus Antarabangsa di sini, hari ini.
Wacana yang bertemakan LGBT Mengundang Bala Allah telah dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat). Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad telah bertindak sebagai moderator wacana.
Nasharudin berkata, amalan LGBT di negara ini semakin menular dan apa yang lebih malang, ia ditaja dan merebak secara terhormat.

"Hasil maklumat kita, pihak yang mencanang dan memperjuangkan LGBT ini adalah dalam kalangan orang ternama dan terhormat."Saya ingin ingatkan sekali lagi kepada semua pihak terutama mereka yang menyokong gerakan ini, jangan undang bala daripada Allah SWT," katanya lagi.Nasharudin di dalam kertas kerjanya turut menyentuh mengenai fatwa ulama tersohor dunia, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi berhubung amalan LGBT.


Beliau berkata, ulama tersebut dengan tegas telah menyatakan amalan tersebut adalah haram dan wajib ditentang termasuk dengan menggunakan kekuatan.Malah beliau berkata, Yusuf Al-Qardhawi melarang mana-mana pihak makan atau minum bersama pejuang serta pengamal LGBT atas dasar pegangan mereka yang amat bertentangan dengan perintah Allah SWT.


"Yusuf Al-Qardhawi berkata, adakah wajar kita masih mahu berdiam diri apabila kemungkaran itu berlaku hampir dengan kita?

"Tambah ulama ini lagi sememangnya tidak boleh sama sekali kita berdiam diri atas kemungkaran ini. Sekiranya tersebar, wajib hukumnya untuk kita melakukan perubahan walaupun dengan kekuatan sekalipun," ujar bekas Timbalan Presiden Pas itu.(sumber: UM,23/04/12)

22 April 2012

PANTUN KEMBARA KELANTAN DARUL NAIM

Jawi dan rumi satu Malaysia,
jati diri negeri Kelantan,
usah gundah hidup dipersia,
memilih antara permata dan intan.

Melintasi Jeli meninjau Dabong,
sana sini pembangunan bermula,
putus kasih boleh disambung,
ke hujung hayat manis bak gula.

Tasik Banding hutan tropika,
alam segar flora menghijau,
sampai bilakah berakhirnya duka,
diri melara sudikah ditinjau.

Tanah Merah negeri Kelantan
Melayu berkampung di sana sini,
walau jauh tujuh lautan,
melintasi benua menantimu kini.

Kabel elektrik tidak terurus,
Tanah Merah ke Pasir Mas,
walau obesiti menjadi kurus,
banjir melanda tiada yang lemas.

Kota Baharu Pengkalan Kubur,
Pasir Putih menuju ke Besut,
kian berjauhan kasihku subur,
limpahan laut tidakkan susut.


ciptaan: DR RAJIEE HADI,
Kota Baharu, Darul Naim.

LAUT MATI (DEAD SEA): KEAJAIBAN DUNIA




TB sampai ke Laut Mati yang mengagumkan pada 10 Mei 2011 kira-kira jam 10 pagi. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Amman Jordan melalui jalan darat hampir 3 jam menuju ke destinasi di sebelah barat laut negara Jordan. Pemandangan gunung-ganang, gurun batu yang terbentang luas merupakan pemandangan yang lumrah dan meluas.


 Walaupun cuaca panas dan terik tetapi kerana Jordan ialah negara berhawa sederhana maka di sebalik cuaca panas tetapi suhu dingin dan sejuk menyelubungi diri.Sebab itu rata-rata rakyat Jordan berkulit cerah kemerah-merahan yang mengingatkan kita pengaruh dan hubungan tamadun antara Timur-Barat, Rome-Arab pada zaman dahulu. Apatah lagi Turki berada di kedudukan sebelah utara Jordan.

Melewati Petra, sisa kota lama peninggalan pengaruh kerajaan Rome silam, mengingatkan TB mengenai filem-filem lakonan The Rock yang pernah menjadikan latar Petra sebagai lokasi penggambaran. Ah, amat mempesona dan mengasyikkan alam maya ciptaan Yang Maha Berkuasa ini. Dalam kotak minda TB sering membayangkan bagaimanakan hebatnya peperangan demi peperangan berlaku di daerah ini pada zaman silam yang lalu.



Laut Mati adalah tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat.  Pantainya berada di kedudukan serendah 418 meter di bawah aras laut Mediterranean yang merupakan kedudukan terendah di atas daratan dunia.  Isipadu airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan sebanyak 33.7%.  Ini lebih kurang 8.6 kali lebih masin dari laut biasa.




Oleh sebab itu, tiada satu pun organisma yang boleh hidup di dalamnya dan kapal tidak boleh belayar di atas permukaannya.  Tasik itu berukuran 67 km panjang dan 18 km lebar. Bahkan sekiranya kita berada di atas permukaan air kita akan terapung-apung tidak tenggelam walaupun kita tidak cekap berenang.   Cabang sungai terutamanya ialag Sungai Jordan.

 Bagaimanalah Laut Mati ini terbentuk?  Kewujudan Laut Mati atau lebih dikenali  sebagai Tasik Nabi Lut ini sebagaimana yang diterangkan dalam Al Quran berlaku sekitar 1800 SM.  Berasaskan kajian geografi dan arkeologi pula di kalangan penyelidik Jerman mendapati bahawa wujud bandar Sodom dan Gomorrah yang terletak di wilayah  paling  jauh dan terendah di Laut Mati yang suatu  masa dahulu diduduki dengan meluas.

Struktur Laut Mati yang paling menarik perhatian pengkaji ialah kesan yang menunjukkan bagaimana satu malapetaka telah berlaku seperti yang diceritakan dalam Al Quran.   Di pantai Laut Mati  sebelah timur, sebuah semenanjung yang dikenali sebagai 'Al -Lisan' menonjol kelaur ke arah air.  Al -Lisan bermaksud 'Lidah' tetapi semenanjung ini tidak dapat dilihat dari daratan kerana ia jatuh di bawah permukaan air pada sudut yang luas, membahagikan lautan kepada dua bahagian.

Di bahagian kanan, tanahnya amat curam ke bawah sehingga 1200 kaki dalam manakala di sebelah kiri kedalaman sebanyak 50-60 kaki.  Kawasan cetek ini yang melingkari semenanjung Al-Lisan hingga ke bahagian paling selatan adalah wilayah Lembah Sidim.  Kawasan yang cetek ini terbentuk selepas berlakunya kejadian gempa bumi dan keruntuhan besar kesan gempa  tersebut. Di sinilah diyakini oleh pengkaji terletaknya bandar Sodom dan Gomorrah yang diliputi oleh permukaan rata bahagian cetek Laut Mati.(TB)



21 April 2012

PANTUN KEMBARA KEDAH DARUL AMAN

Jentera moden membajak sawah,
Kedah nyaman petani di bendang,
reda mentari gemawan di bawah,
indah menawan cantik dipandang.

Sawah terbentang jelapang padi,
Alor Setar si Gunung Jerai,
Kulihat matahari kasihku abadi,
syahdu nan pilu air mataku berderai.

Kuala Ketil Baling Pangkalan Hulu,
nostalgia menghilang di Sungai Petani,
Di manakah sekarang di manakah dahulu,
Melayu pejuang bangsa yang berani.

Gurun Yan Sikh ke Tasik Perdu,
padi menghilang sawit terbentang,
pedih sembilu jiwa terkedu,
kubina diri fajar mendatang.

Kuala Ketil maju sarat dagangan,
hutan Belum Jeli sempadan ternama,
mengapa derita termenung berangan,
kembara kanda mengirim warta.


ciptaan: DR RAJIEE HADI,
Alor Setar- Kota Baharu.

BUTA JAWI SALAH SIAPA?


HAIRAN  bin ajaib apabila direnungkan sejenak akan mengapa kebanyakan pelajar yang beragama Islam tidak boleh membaca dan menulis jawi serta kurangnya pengetahuan dalam agama Islam itu sendiri di peringkat asas sekali pun sedangkan pelajaran agama diajarkan semenjak dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah.

Mesti ada puncanya mengapa begitu jadinya yang perlu diperbaiki atau diambil tindakan segera agar segala pengajaran agama itu bukannya sia-sia sahaja. Kita tidak boleh salahkan murid-murid atau pun guru-guru tetapi lebih kepada sistem pembelajaran itu sendiri yang kurang berkesan dan tidak sesuai dipraktikkan sejak zaman Allahyarham Tan Sri Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran di sekitar tahun 60-an lagi.

Pertamanya adalah kerana tidak menggunakan tulisan jawi dalam mata pelajaran itu serta begitu juga apabila membacanya di mana kebanyakan adalah dituliskan dalam bahasa rumi.

Keduanya adalah tidak diserapkan asas roh akidah di dalam jiwa pelajar tetapi lebih kepada akademik seperti sejarah tokoh-tokoh Islam yang sepatutnya ianya diajarkan kemudian di dalam peringkat Pengajian Tinggi nanti. Akidah dan asas ilmu fardhu ain adalah penting untuk mendidik anak-anak dari kecil lagi.

Ketiga adalah adab dan disiplin menurut kaedah Islam dan akhir sekali barulah diserapkan pengajaran mengaji dan memahami isi kandungan kitab suci Al-Quran serta arif dan dapat membeza buruk dan baik atau halal dan haram hinggalah berhubung kait dengan alam akhirat neraka dan syurga.

Kementerian Pelajaran hendaklah mengkaji dan seterusnya merubahkan segala sistem pengajaran mata pelajaran Islam keseluruhannya agar ianya benar-benar sampai dan berkesan bagi setiap pelajar dan bukannya ambil sambil lewa sahaja atau pun hanya untuk memenuhi kuota mata pelajaran tanpa memberikan kesungguhan untuk membinakan jiwa insan yang benar-benar komited kepada ajaran Islam sebagaimana yang dituntutkan oleh agama itu dan ini adalah bertujuan kebaikan generasi umat islam itu juga agar menjadikan islam sebagai panduan hidup yang mampu membina kekuatan rohani dan jasmani untuk selamanya baik didunia ataupun akhirat.

Seseorang Muslim yang ada asas agama sekurang-kurangnya dapat mempertahankan akidah dan jati diri terhadap Islam sebagai benteng terakhir akan pegangan hidupnya nanti. Punca kebanyakkan remaja hilang panduan hidup adalah kerana asas agamanya tidak kukuh dan malah ada yang sampai jahil tentang agama Islam itu sendiri.(sumber: Syed Abdullah Jamalullail, 21/04/12)


PANTUN KEMBARA JOHOR DARUL TAKZIM

lstana hinggap di Johor lama,
makam sejarah terukir cerita,
abang kembara bukanlah lama,
sudah tentu dikirimkan berita.

Sungai Johor sore yang tenang,
sampan nelayan hilir mudik,
bukan kenang sebarang kenang,
hati dan mulut menyebut cik adik.

Masjid Johor lama terkedu rasa,
menghadap terbentang sungai sejarah,
walau berlalu ditinggalkan masa,
kepada Allah tawakal berserah.

Kampung Melayu Majidee diberi nama,
anak perantau bersemenda di sini,
hilang matahari menjelma purnama,
kasih sayangku rindu menanti.

Kota Tinggi Johor lama,
tempat peranginan Desaru,
berjauhan di mata rindu bergema,
gelora di jiwa hati terharu.

Dari Yong Peng menuju Senai,
di Air hitam berbunga pasu,
dari kota hingga ke denai,
pantun kutitip pengubat lesu.

Singgah sebentar di kota Masai,
ikhtikaf di masjid jiwa nan tenang,
walau kembaraku belum selesai,
sehari umpama selembar benang.

Dangay Bay Selat Tebrau,
terkenang Temasik mengguris pilu,
apabila bertemu degup berderau,
tidak keruan beduk dipalu.

Petang hari ke Kota Tinggi,
ke makam sultan mangkat dijulang,
tidak bulat bukan bersegi,
hatiku rindu bukan kepalang.


Tambak Johor penghubung budaya,
lipatan sejarah usah dilupa,
beginilah suratan hidup saya,
berpijak di mana jua tidaklah alpa.


ciptaan: DR RAJIEE HADI,
Muar,Johor DT.

GURU DIHORMATI BUKAN DITAKUTI, PELAJAR DISAYANGI BUKAN PILIH KASIH


JIKA disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini.
Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum.

Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing.

Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru.


Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru?

Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?

Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu.

Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi.

“Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.

“Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam.

“Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya.

Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum.

“Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas.

“Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya.

Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu.

Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah.

“Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal.

“Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya.

“Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung.

“Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah.

“Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya.

Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara.

Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi.

Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil.

“Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai.

“Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas.

“Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati.

“Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.

Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru.

“Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya.

Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki.

“Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua.

“Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.(sumber:HM, 21/04/12)


SYARIKAT PINJAMAN BERLESEN 2 KALI 5 AHLONG


ORANG ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan modus operandi terbaru syarikat pinjaman berlesen yang cuba memperdayakan peminjam dengan mengenakan kadar faedah terlampau tinggi antara 6 hingga 30 peratus sebulan.

Selain itu, segelintir syarikat pinjaman itu turut dikesan 'mengenakan' mangsa apabila menyimpan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) peminjam sehingga bayaran selesai dan memaksa peminjam menandatangani borang perjanjian yang dikosongkan tanpa menyatakan jumlah ansuran perlu dibayar.
Dianggarkan, sebanyak 20 peratus atau kira-kira lima juta penduduk Malaysia meminjam wang daripada 2,800 syarikat pinjaman berlesen yang beroperasi di seluruh negara.

Angka tersebut diperoleh jika setiap syarikat pinjaman itu mempunyai sekurang-kurangnya 200 peminjam sejak ditubuhkan 10 tahun lalu. Malah berdasarkan rekod, tiada lagi syarikat pinjaman berlesen ini yang mencatatkan kerugian sehingga terpaksa gulung tikar.(sumber:UM, 21/04/12)

19 April 2012

RESOLUSI KONVENSYEN PENDIDIKAN KE-19: Syabas Dr Supian dan Dr Ali.

INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS BAHASA MELAYU

KONVENSYEN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU KALI KE-19
Tarikh : 20 hingga 22 MAC 2012

RESOLUSI KONPEN 2012

Sebanyak 22 tajuk pembentangan kertas kerja dan tiga pameran poster yang dipaparkan dalam KONPEN 2012.
Dengan berdasarkan tajuk-tajuk kertas kerja itu, pihak penganjur telah dapat membuat resolusi.

A. KURIKULUM

(I) PENUKARAN NAMA MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA KEPADA BAHASA MELAYU
Penggunaan nama mata pelajaran bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Akta 152 Perlembagaan Negara.

(II) TINGKATKAN PERANAN BAHASA MELAYU DAN KESUSASTERAAN MELAYU
Pengajaran bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu hendaklah diwajibkan kepada semua pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi dalam persekolahan dan peringkat pengajian tinggi. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu menjadi jati diri bangsa Melayu dan asas kepada pembentukan bangsa Malaysia. Pengajaran Kesusateraan Melayu mestilah diwajibkan kepada semua pelajar. Kesusasteraan dapat membentuk manusia mempunyai peribadi mulia dengan nilai-nilai murni dan sebagai kesannya mereka akan menjadi manusia yang dapat menjalankan tugas dengan jiwa yang murni, berhemah, bertanggungjawab atas sebab pendidikan yang dihayati melalui keusasteraan Melayu


(iii) PEMANSUHAN PPSMI

Pemansuhan PPSMI hendaklah dilaksanakan dalam kadar yang segera dan tidak berperingkat-peringkat seperti yang dilaksanakan sekarang.

B. PEDAGOGI

(i) PEDAGOGI BAHASA MELAYU PERLU DIINOVATIFKAN

Pedagogi bahasa Melayu hendaklah dijalankan dengan cara yang inovatif, menarik dan berkesan serta menghiburkan melalui pengaplikasian pelbagai strategi, kaedah dan teknik pengajaran. Hal ini ada ditemukan dan dicadangkan dalam kertas kerja tertentu dalam konvensyen ini.

(ii) PENGAPLIKASIAN ILMU TATABAHASA BAHASA MELAYU SECARA MELUAS UNTUK SEMUA GURU

Pengaplikasian ilmu tatabahasa bahasa Melayu mesti dilaksanakan secara terancang dan menarik di samping sumber ilmunya dipastikan dapat difahami oleh murid atau pengguna bahasa dengan jelasnya. Sebarang isu tatabahasa yang memeningkan semua pihak mesti diatasi dan sumber rujukan kukuh serta tepat amat diperlukan. Hal tersebut akan membantu tenaga pengajar dan pengguna bahasa Melayu ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul.

(iii) PENGGUNAAN BAHASA MELAYU YANG BERMARTABAT OLEH SEMUA GURU

Penggunaan bahasa Melayu yang bermartabat dalam semua pengajaran mata pelajaran perlu diamalkan oleh semua pendidik pada setiap masa.

(iv) PELAKSANAAN KURSUS BAHASA MELAYU DAN KOMUNIKASI

Kursus tatabahasa dan komunikasi bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara terancang dan sepenuhnya kepada semua guru khususnya guru matematik dan sains pada semua peringkat

C. KANDUNGAN

(i) PEMERKASAAN EJAAN JAWI

Penggunaan ejaan jawi perlu diketengahkan semula kerana tulisan ini adalah khazanah bangsa Melayu. Kita mesti sedar bahawa ejaan dan tulisan jawi itu sebenarnya jati diri bangsa Melayu dan kita sudah pasti menangisi keistimewaannya itu sekiranya dibiarkan hilang di buminya sendiri.

(ii) PELESTARIAN TATABAHASA BAHASA MELAYU

Kandungan tatabahasa bahasa Melayu dalam kurikulum pendidikan bahasa Melayu mesti diperinci semula. Hal ini demikian kerana sukatan tatabahasa yang ada pada masa kini masih terlalu umum.

(iii) PENGGARAPAN BAHASA MELAYU DAN DIDIK HIBUR

Pengaplikasian bahasa Melayu dalam didik hibur mestilah mengikut ilmu bahasa Melayu yang tepat. Hal ini penting agar pengguna bahasa Melayu dibiasakan dengan cara berbahasa yang betul.

Dikemukakan oleh: Disahkan oleh :
(Dr SUPIAN BIN MOHAMAD NOOR) (Dr HAJI ALI BIN MAHMOOD)
Penyelaras KONPEN 2012 Timbalan Pengarah IPGKBM

TB: Syabas kepada Dr Supian dan Dr Ali yang meneruskan kelangsungan perjuangan Bahasa Melayu dalam kurikulum pendidikan negara. Selagi anda masih berkhidmat dan 'ada kuasa' salurkan perjuangan murni itu ke arah kebaikan dan kemurnian bahasa, pendidikan dan keguruan. Mereka adalah teman sekuliah (classmates) sewaktu dahulu ketika kami sama-sama melangkah ke menara gading untuk meraih gelar Sarjana Muda Pendidikan.


 Bagi TB, IPGM/BM atau sinonim dengan MPB (L.I) adalah tempat TB jatuh bangun tatkala mengenali kehidupan mahasiswa dan kota kosmopolitan. Di pentas MPB itulah (sekarang dikenali Dewan Zaaba) bermulanya TB secara serius mengenali drama pentas dan teater dengan lakonan teater 'Wali' dan 'Hari Jadi Nona' pada tahun 1977 yang lalu.TB dengan syahdu menyanyi 'Selamat Tinggal Bungaku' pada malam anekaragam tahunan. Almaklumlah kawan-kawan seangkatan ramai yang ke Sabah dan Sarawak tetapi TB tidak pasti lagi. 


Sedih dan pilu ketika itu ditinggalkan kawan-kawan sekuliah. Masa dan waktu terus berlalu pergi; sehingga kini Konvensyen Pendidikan ke-19 telah berlangsung di IPGM/BM mengingatkan TB, Konpen (tidak pasti pertama atau kedua) di Sekolah Menengah Sains Air Keruh,Melaka (kini SMS Sultan Muzaffar Shah) yang TB turut sertai pada tahun 1977 yang ketika itu diselenggarakan oleh krew Profesor Emiritus Dr Awang Had Salleh dengan Persatuan Suluh Budimannya seperti Cikgu Mansor Dewa, Cikgu Abdul Rahman Salleh, Cikgu Yunus Maris dan ramai lagi. Kini Dr Supian dan Dr Ali serta rakan-rakan lain yang melangsungkan kesinambungan diucapkan syabas atas daya usaha kalian. 

TIUB BOCOR TETAP TIUB BOCOR

DALAM usia yang baru setahun jagung; melangkaui dua tahun, TB bersyukur kerana blog TIUB BOCOR telah dilawati hampir 25 ribu pembaca! Bukan mudah mahu menarik minat atau mendapatkan peminat setia yang terus mahu melayari atau sedikit sebanyak sesekali menjengok blog seperti ini.

Pada awalnya bukan mudah TB mahu memulakan blog ini. Sebabnya, TB sememangnya seorang penulis; penulis kreatif dan penulis deskriftif. Bukan mahu riak; tapi TB telah punya sejarah panjang dalam dunia penulisan sejak 1970-an. TB pernah mengekori Ahmad Boestaman, lshak Haji Muhammad (Pak Sako), Kassim Ahmad, Keris Mas, A.Samad lsmail, Ahmad Sebi Abu Bakar ketika TB remaja dahulu dalam setiap wacana ilmu dan bengkel penulisan. Bahkan rakan-rakan senior TB yang akrab seperti T.Alias Taib (Allahyarham) dan  Dino SS (Allahyarham) banyak juga memberi lakaran warna dalam hidup TB sebagai penulis bebas.

Memulakan sebuah laman blog kira-kira 2 tahun lalu  seiring dengan gelombang TMI/ICT membuatkan TB berfikir banyak kali. Kerana lCT dan blog tidak ada prasyarat pun kepada sesiapa.Dan sebab itu kedapatan pada hari ini bagai tumbuh bak cendawan selepas hujan pencatat-pencatat blog yang 'memaparkan ikut sesuka hati' dan tanpa silu mengangkat diri sebagai pejuang beraneka rupa.Apatah lagi gejala 'copy n paste' yang tanpa berfikir dan tanpa beretika meluas di sana sini. Tujuan mereka semata-mata kerana menyebarkan sensasi,fitnah, glamourisme dan protes jiwa yang membara.

Namun demi meneruskan tarbiyah kerana TB kini tidak mempunyai audien secara langsung seperti guru-murid dalam bilik darjah/kuliah maka TB memberanikan diri memulakan penulisan blog semata-mata mahu menampilkan idea-idea untuk pembaca boleh berfikir dan menyedari kepentingan sesuatu isu yang TB kemukakan. Pada awalnya TB tidak pun memberi sebarang tips pun siapakah TB; kerana niat TB bukan mahu dikenali; baik wajah,rupa atau fizikal. Tetapi selepas satu tahun dengan menerima pendapat teman di sisi, TB mula menyelitkan sedikit sebanyak siapakah TB tanpa secara langsung.

Walaupun ada artikel TB  tulisan asli yang TB terbitkan di blog ini; namun atas nama berita/isu semasa ada juga bahan yang relevan TB kutip daripada akhbar-akhbar perdana dan portal berita semasa dengan komen -komen yang TB selitkan di ruangan pojok di bawahnya untuk pembaca berfikir.TB tetap catatkan sumber bahan atas nama etika kewartawanan dan penulisan.

Nama TIUB BOCOR agak anaeh dan mengelirukan. Nama TB mendapat ilham daripada nama 'tiub' (tube) yang sering digunaka dalam internet.. Alhamdulillah lama kelamaan nama Tiub Bocor telah 'berenjin'  dan mula hidup dalam laman Google dan Yahoo seperti hari ini. Dan TB tetap TB; bukan bahan murahan yang menyebarkan sensasi dan tohmahan. Biarkan blog lain berbuat demikian;terpulanglah mereka. TB bukan blog bersifat kepartian atau kesukuan. TB berjuang untuk sejagat demi kemanusiaan sejagat dengan nilai-nilai murni dan kasih sayang lantaran menulis kerana cinta hakiki kepada Allah SWT. (TB)

SUAMI ISTERI HINDARILAH DINGIN.....

Bagi melahirkan rasa cinta yang tidak pernah padam di samping menyemarakkan rasa kasih dalam rumah tangga pasangan suami isteri di negara ini, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) melancarkan ‘Pekej Mengurat Isteri Sendiri’.

 Program berkenaan mula dilancarkan hari ini dan berkuat-kuasa serta merta. Ketua Pegawai Operasi KTC, Aziz Desa dalam kenyataannya hari ini berkata menerusi PMIS, pasangan suami isteri boleh menginap di mana-mana jenis bilik penginapan yang disediakan dengan potongan harga istimewa.

 “Pelanggan juga turut mendapat sarapan pagi dan sajian set makanan malam di kamar masing-masing sewaktu penginapan,”ujarnya. Aziz seterusnya berkata, bagi pasangan kelamin yang sudah mempunyai zuriat turut dialu-alukan dengan membawa anak masing-masing.

 Katanya, walaupun ianya belum dilancarkan secara rasmi sebelum ini, namun pasangan suami isteri yang juga seorang guru di negeri ini telah menempah bilik untuk menyertai majlis ini malam tadi. “Alhamdulillah, mereka berpuas hati dengan pekej yang ditawarkan sambil menyifatkan ianya sesuatu yang unik,”ujarnya. Pada waktu yang sama, KTC turut mengalu-alukan anggota polis dan keluarga masing-msing menyertai pakej berkenaan bersesuaian dengan ulang ahun Polis Diraja Malaysia ke-205 menerusi pakej Terima kasih Polis dengan harga RM205.(sumber : HD)


TB: Hubugan suami isteri usahlah dingin. Bawalah dan tukarlah persekitaran yang berbeza. Bawalah tukar dan imej penampilan yang berbeza dalam suasana yang berbeza. Pokoknya atas kehendak 'selera' kedua-dua pihak. Setiap pasangan sewajarnya berfikiran kreatif dan bertindak inovatif. Yang lama akan terasa baru, yang baru tetap terasa baru.

18 April 2012

PENGUAT KUASA FARMASI KEMENTERIAN KESIHATAN KERAP PANTAU DAN BERTINDAK...

Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan baru-baru ini merampas sebanyak 170,000 peket minuman pelangsing keluaran sebuah syarikat kosmetik terkenal bernilai RM500,000 dipercayai mempunyai racun berjadual yang diharamkan.

Pengarah Penguat Kuasa Farmasi kementerian itu, Mohd. Hatta Ahmad berkata, berdasarkan aduan daripada orang awam, pihaknya telah menjalankan siasatan dan kajian terhadap produk minuman tersebut sebelum ini.

"Hasilnya, minuman pelangsing tersebut disahkan mempunyai sibutramine iaitu sejenis racun yang merbahaya dan telah diharamkan penggunaannya di seluruh dunia.

"Berikutan itu, Bahagian Penguat Kuasa Farmasi hari ini bertindak menyerbu sebanyak 27 premis serentak di seluruh negara termasuk kilang dan ibu pejabat syarikat itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan merampas 170,000 peket minuman berkenaan yang mempunyai dua perisa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Justeru Awang Selamat dalam Bisik-Bisik UM (17.4.12) cukup bimbang dengan kegiatan syarikat-syarikat kosmetik tempatan yang tumbuh bak cendawan. Yang lebih membimbangkan bukan jumlah kemunculannya, tapi produk yang diperkenalkan.
Rata-rata syarikat itu memperagakan produk untuk kelihatan cantik, ramping, serta yang berkaitan dengan tenaga batin seksualiti.

Kesemua produk itu memerlukan pengguna mengambilnya secara oral atau disapu di bahagian muka dan anggota badan.Kemunculan tiba-tiba syarikat-syrikat sebegini, dengan mempromosikan makmal-makmal kimia mereka harus diteliti olah pihak berkuasa.

Awang sering mendengar iklan-iklan yang disampaikan mengenai keajaiban produk mereka.
Mereka mendakwa produk masing-masing berupaya menyembuhkan penyakit-penyakit kronik dan sebagainya.

Persoalannya benarkah syarikat-syarikat ini menghasilkan sendiri produk mereka? Adakah ia membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memakan masa serta kos yang tinggi?
Tapi sebaliknya, benarkah juga dakwaan yang mengatakan mereka hanya mengeluarkan produk yang bahannya diimport dari negara-negara tertentu dan ia hanya dibungkus di sini sahaja. Jika benar, adakah bahan-bahan itu terjamin selamat?

Itulah yang terjadi , apabila Bahagian Penguat Kuasa Farmasi merampas 170,000 peket minuman pelangsing keluaran sebuah syarikat kosmetik terkenal dipercayai mengandungi racun berjadual.
Minuman pelangsing tersebut disahkan mempunyai sibutramine iaitu sejenis racun yang merbahaya dan telah diharamkan penggunaannya di seluruh dunia.(disesuaikan daripada UM,17.4.12)

TB: Sangat berharap agar pihak Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia terus memaklumkan dan mengumumkan nama produk yang dirampaskan dan diharamkan penjualannya serta nama syarakita yang mengeluarkannya kepada umum sebaik rampasan dilakukan. lni mengelakkan agar tidak timbul teka-teki dan spekulatif orang awam yang boleh menimbulkan fitnah,a ndaian,ramalan dan sebagainya. Bahkan teruskan serbuan dan rampasan sekiranya ada produk yang tidak mematuhi piawai. Adakah produk yang tidak berlabel MAL dianggap merbahaya? (TB)

LEMBAGA PENAPIS FILEM MALAYSIA: BERTANGGUNGJAWABLAH !


ALLIED Coordinating Committee of Islamic NGO's (ACCIN) yang dianggotai oleh NGO Islam membantah tindakan TV3 menyiarkan adegan bogel terlampau yang menampakkan kemaluan pelakon Emile Hirsch dalam rancangan Kids Movie Magic (Into The Wild).

Filem Into The Wild itu ditayangkan oleh TV3 pada hari Sabtu, 24 Mac lalu, pada 11.30 pagi hingga 2 petang. ACCIN kesal dengan tayangan adegan bogel tersebut yang jelas tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, agama rasmi negeri-negeri serta agama-agama lain.

ACCIN kesal dengan kegagalan Lembaga Penapisan Filem (LPF) menapis adegan ini dan filem lain dari dalam dan luar negara. LPF sewajarnya sensitif terhadap kandungan filem untuk tontonan kanak-kanak. Kelemahan LPF akan memberi kesan negatif kepada usaha menangani gejala sosial yang merosakkan masyarakat seperti gerakan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) yang ingin menghalalkan zina dan adegan seks terlampau di layar filem dan TV.
Hak orang Islam dalam "Cairo Declaration on Human Rights in Islam" (CDHRI) harus diberi perhatian sewajarnya semua pihak.

CDHRI Perkara 17 (a) menyebut "Setiap orang berhak hidup dalam persekitaran bersih, jauh dari kelakuan buruk dan moral keji, persekitaran yang mendorong pembangunan dirinya dan menjadi tugas negara dan masyarakat pada amnya menyediakan hak itu".

Akhirnya, menyedari adegan itu adalah sebahagian manifestasi keruntuhan moral Barat yang wajar disekat siarannya, ACCIN berharap kerajaan, LPF, TV3 dan semua stesen penyiaran dapat mengambil pengajaran bagi memastikan perkara sama tidak berulang.(sumber: Datuk Zainal Abidin bin Abdul Kadir Pengerusi ACCIN)

17 April 2012

POLITEKNIK KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI: TERBELA ATAU DIBELA?

SEBELUM politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti berpindah 'rumah' ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), institusi pendidikan yang berorientasikan teknikal dan vokasional ini 'duduk sebumbung' di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM)di Bahagian Teknik dan Vokasional KPM.

Sebelum TB menyentuh mengenai nasib,hala tuju dan masa hadapan para pensyarah Politeknik-Politeknik KPT (PKPT), TB sukalah menyingkap senario sejarah tercetusnya mengenai cuti tahunan para Ketua Pejabat  (Guru Besar, Pengetua, Pengarah) yang mengepalai sekolah rendah,sekolah menengah, maktab/politeknik KPM ketika itu.

TB ketika itu turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Kementerian Pelajaran Malaysia yang pada masa itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat.Ahli majlis ini di samping dianggotai oleh pengarah-pengarah pelajaran(pendidikan), ketua-ketua bahagian KPM, ianya turut dianggotai oleh presiden-presiden dan setia-setia usaha persatuan/kesatuan perguruan kebangsaan.

Seingat TB, isu cuti tahunan timbul ketika membahaskan beban kerja ketua-ketua pejabat atau pentabiran di institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah dan tuntutan elaun beban kerja atau kerja lebih masa yang turut dibangkitkan oleh Majlis Guru-Guru Besar dan PKPSM (badan mewakili pengetua-pengetua sekolah menengah; termasuk pengetua maktab, politeknik dan kolej komuniti sebelum dinaik taraf kepada 'pengarah').

Dipendekkan cerita, isu tersebut dipanjangkan dengan menyediakan kertas kerja proposal ke JPA. Alhamdulillah, JPA meluluskan tuntutan elaun kerja masa (TB tidak pasti mungkin termasuk elaun tanggung kerja atau pangku kerja dan seumpamanya) yang mana ketua-ketua pejabat ini (termasuklah semua guru besar, pengetua dan pengarah maktab/politeknik ketika itu) mendapat nikmat faedah dengan syarat cuti persekolahan yang selama ini dinikmati oleh guru-guru/pensyarah di KPM diganti dengan CUTI TAHUNAN sama seperti penjawat awam yang bukan guru/pensyarah KPM. Senario inilah yang banyak tidak diketahui oleh kebanyakan warga KPM dan KPT.

Apabila politeknik/kolej komunti 'berpindah' ke KPT, rata-rata para pensyarahnya menjangkakan prospek mereka juga dinaiktarafkan seperti para pensyarah di IPTA yang bernaung di bawah KPT.TB dimaklumkan pada mulanya para pensyarahnya juga turut menjangkakan  budaya kerja seperti semasa di bawah KPM. Bahkan mereka juga menjangkakan peluang kenaikan pangkat dan elaun-elaun sama seperti di IPTA khususnya para pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan sarjana dan PhD seperti mana rombakan yang dilakukan kepada lPSI/MPSI yang bertukar UPSI dahulu.

Namun ironinya dan amat menyedihkan para pensyarah politeknik (yang kononnya setaraf IPTA) diberitakan mengikut kerja waktu pejabat (punch card 8.00 pagi- 5 petang; ada juga mengikut waktu anjal). Mereka juga bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja akademik (p & p) tetapi dibebankan juga dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran.Bahkan yang menyedihkan ketika teman-teman sejawat mereka yang berada di KPM menikmati peluang prospek kenaikan pangkat yang lebih baik seperti mana yang diumumkan baru-baru ini oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia , nasib para pensyarah politeknik terumbang-ambing dan seakan 'samar dan kelabu' tidak menentu.Bahkan mereka yang memiliki ijazah lanjutan bagaikan tidak dipedulikan; tidak seperti teman-teman sejawat mereka di maktab-maktab perguruan yang kini telah dinaiktarafkan sebagai IPGM yang setaraf IPTA.

Justeru, TB tidak pastikah adakah nasib para pensyarah politeknik ini dibela dan mendapat perhatian daripada kepemimpinan atasan khususnya YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohd Khaled Nordin? Adakah ada para pensyarahnya masih menjadi ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan beberapa persatuan/kesatuan perguruan/pendidikan kebangsaan yang lain?Adakah ahli-ahli yang telah 'berpindah' ke KPT ini masih boleh mendapat pembelaan?

 Jika ada para pembaca budiman khususnya para pensyarah politeknik yang berstatuskan ahli mana-mana persatuan/kesatuan pendidikan sila ajukan atau laporkan kepada persatuan/kesatuan masing-masing.Cadangan TB adalah baik juga para pensyarah politeknik sendiri menubuhkan kesatuan kakitangan akademiknya seperti mana yang telah sedia wujud di IPTA bagi menjamin hak-hak mereka selaku kakitangan akademik. lngatlah 'zaman pecah dan perintah' sudah berlalu. Bersatu itu teguh.

 Keprihatianan pihak KPT meninjau dan mengambil perhatian kebajikan para pensyarah KPT amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi demi mencapai matlamat KPT ke arah pendidikan tekninal di peringkat global. (TB)




15 April 2012

MASJID AL AZIM PANDAN INDAH, SELANGOR DARUL EHSAN

TB ucapkan tahniah dan syabas kepada AJK Masjid Al Azim kerana berjaya menampilkan imej masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi sebagai pusat komuniti masyarakat. Kegiatan riadah, wacana ilmu, hiburan lslam seperti nasyid, sukan rakyat dan aktiviti ekonomi telah dapat dilaksanakan dengan baik. Pokoknya nawaitu yang baik akan menghasilkan matlamat yang baik jua.

Cuma TB tidak pasti adakah para penceramah sedia berceramah andainya tidak ada 'salam sampul'  (bayaran wang) dihulurkan. TB harap tidaklah benar andainya masyarakat kini melabelkan kini ramai lahir 'ustaz sampul' dan ala selebiriti yang agak rajin berceramah kini.

Almaklumlah zaman sekarang banyak lahir 'ustaz segera'. Tukang jual ubat pun menggelar diri 'ustaz', tok bomoh pun 'ustaz', pengajar silat pun dipanggil 'ustaz', penceramah motivasi yang sanggup melabelkan dirinya 'motivator diiktiraf' juga mahu dipanggil 'ustaz' penyanyi nasyid pun panggil 'ustaz' dan macam-macam 'ustaz' lagi.Walhal jikalau di Universiti AlAzhar gelaran 'Ustaz' itu untuk mereka yang berkedudukan 'Profesor' dan yang ada PhD di Universiti AlAzhar akan memakai tarbus (songkok Arab) yang bersalut baldu merah di atasnya!

Namun TB percaya masih ramai lagi 'ustaz' yang sedia menyampaikan ilmu agama secara percuma semata-mata niat kerana fisabilillah. Wallahualam. (TB)

14 April 2012

DONG ZONG JANGAN BIKIN MALU NANTI KENA "TIYAU"....


DONG ZONG nampaknya ingin menjadikan pendidikan Cina di Malaysia sebagai peras ugut politik. Ia cuba mengambil kesempatan Pilihan Raya Umum ke-13 sebagai agenda menekan Kementerian Pelajaran, melakukan provokasi kepada orang-orang Cina supaya memperjuangkan isu-isu melampau.

Ia jelas sekali perkauman dan tidak sensitif dengan perasaan kaum lain dan tidak faham dengan Dasar Pendidikan Negara apalagi semangat Perlembagaan Malaysia. Kalau isunya bersifat administratif penulis percaya boleh diatasi dengan perbincangan.

Kalau ia sengaja dibangkitkan dengan maksud yang seiring dengan dasar politik pembangkang Dong Zong sudah tidak rasional lagi. Menteri Pelajaran telah sekian kali menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat menukar status Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil seperti yang dibimbangkan oleh setengah pihak atau didesak oleh banyak pihak mengenai sekolah satu aliran.(sumber: UM,14/4/12)

TB: Bukan sekali dua masyarakat menuding jelek DONG ZONG yang TB pun tidak pasti apakah pertubuhan ini berdaftar atau tidak. Heboh juga dalam blog-blog yang mendedahkan Presiden Dong Zong yang kononnya 'membeli' ijazah kedoktorannya dan dari mana asal usul persekolahannya, TB pun tidak pasti. Nampak sangat Dong Zong ini setiap kali muncul seolah-olah menangguk di air keruh dan berjuang atas nama chauvinisme atau perkauman yang sempit. Dalam dunia tanpa sempadan ini, Dong Zong patut terima realiti. Jika mengiktiraf SATU MALAYSIA biarlah perjuangan itu atas nama Satu Malaysia; termasuklah satu bahasa 'Bahasa Malaysia', satu dasar pendidikan 'Dasar Pendidikan Malaysia' dan satu bangsa ' bangsa Malaysia'. lni bermakna bukan yang bersifat kecinaan. Jika mahu kecinaan; semuanya ada di negara CHINA. Bahkan di Singapura pun tidak ada lagi yang bersifat kecinaan! (TB)


TV ALHIJRAH

TB (penulis) mengucapkan syabas kepada warga TV ALHIJRAH (JAKIM) kerana saluran alternatif ini  mula mendapat tempat dan hati masyarakat. Bahkan TB dimaklumkan bukan hanya penonton beragama lslam sahaja yang menontonnya tetapi termasuk juga yang bukan lslam. Apa yang penting warga kerja TV ALHIJRAH sewajarnya beristiqamah,beriltizam dan berkeyakinan dengan jati diri dan wajah (imej) serta matlamat saluran ini.

Usahlah terikut-ikut dalam apa juga 'situasi' dengan TV saluran-saluran kotemporari yang lain. Apa yang wajar pengacara sewajarnya banyak membaca dan berilmu. Biarlah dalam setiap tutur kata sewaktu pengacaraan TV, sentiasa menggunakan bahasa yang standard yang mana gunakan bahasa yang betul, gramatis dan indah. Pengacara hendaklah sentiasa menerapkan nilai-nilai murni sejagat dengan menyelitkan petikan-petikan dan maksud ayat al-Quran, hadis, perumpamaan, bidalan dan pepatah Melayu. HARAMKAN frasa kata yang salah seperti; diaorang (mereka), kitaorang (kami), mereka-mereka (mereka) dan banyak lagi.

Perilaku dan cara interaksi serta komunikasi pengacara TV sentiasa diperhatikan penonton.Apatah lagi imej TV ALHIJRAH berkonsepkan dakwah lslamiah. Usahlah pengacara wanita yang kemungkinan keterlaluan lalu terlupa sambil bercakap menepuk bahu pengacara lelaki (ini pernah terjadi). Dalam apa jua pun baik solekan, senyuman dan gelak ketawa biarlah sederhana. Hindari yang bersifat keterlaluan.

Pemilihan bahan dan program yang berbentuk ilmu duniawi dan ukhrawi wajar diperbanyakkan. Buktikanlah Bahasa Melayu yang pernah berperanan sebagai lingua-franca dan bahasa utama di Nusantara dalam penyebaran agama lslam sejak abad ke-13 lalu patut dihidupkan dan disuburkan semula. Kitab-kitab karangan Raja Ali Haji, Sheikh Nuruddin al-Raniri,Hamzah Fansuri dan sebagainya boleh dikupas bagi menggali semula ilmu dan ajaran lslam yang tak lapuk dek panas tak lekang dek hujan.Sekiranya mahu menyiarkan program hiburan import seperti dari lndonesia TB sarankan pilihlah drama/sinetron yang berkonsepkan hidayah agama yang banyak disiarkan di TV 5 (Tipi Lima) lndonesia.

TB ucapkan selamat maju jaya. (TB)

13 April 2012

SALAHUDDIN AYUB PEMIMPIN PAS

SAAT  Aceh dilantun gempa bumi dengan kekuatan 8.6 skala ritcher saya (Mohd Sayuti Omar) sedang minum kopi dengan Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub di sebuah kopitiam di Taman Melati Kuala Lumpur. Agak lama saya tidak bersembang dengan Salahuddin. Sejak beliau 'bertukar paksa' kawasan dari Kubang Kerian (Kelantan) ke Johor (belum tentu kerusi mana), jarang-jarang kami dapat bersembang kerana masing-masing kesibukan.

Saat saya di Kuala Lumpur dia ke Johor Bharu. Nampaknya Salahuddin terpaksa membuka 'huma' baru sekali lagi selepas berjaya membuka tanah hutan di Kubang Kerian. Tentulah berbeza sekali membuka tanah hutan di Johor dengan mendiami kawasan sudah kerja (KSK) di Kelantan. Apa yang diduduki atau diusahakan oleh Salahuddin di Kubang Kerian boleh dianggap sebagai, dia mengusahakan kawasan sudah kerja (KSK).

Berada di KSK lebih mudah dari membuka huma baru yang masih penuh dengan onak dan duri serta gaung yang curam dan dalam. Di KSK kemudahan asas seperti jalan, eletrik dan air sudah tersedia. Tunggu lagi untuk mengindah dan mencantikkan memerlukan daya kreativiti yang tinggi. Alhamdulilah selepas sembilan tahun (dua penggal) di Kubang Kerian Salahuddin berjaya memberi sesuatu kepada rakyat Kubang Kerian dan beliau sendiri berjaya mencatat nama sebagai seorang wakil rakyat berkualiti.

Menyebut jasa besar beliau di Kubang Kerian bagi saya ialah bagaimana usaha beliau membangunkan rumah untuk anak-anak yatim. Mengkagumi peruntukan dicari sendiri dan tidak bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan. Sokongan orang ramai membantu anak yatim dari seruan ikhlas Salahuddin menjelaskan bahawa beliau mempunyai pengaruh dan disayangi oleh orang ramai.

Selain itu beliau berjaya memainkan peranan di parlimen dengan jayanya. Perbahasan atau isu-isu serta kerajinan ditunjukkan meletakkan Salahuddin sebagai ahli Parlimen dikenali dan dikagumi. Ini ditokok pula dengan cara dia berbahas dan berhujah penuh sentimental dan tidak dibuaki emosi. Tentulah kejayaan itu didokongi keberhasilan beliau sebagai wakil rakyat di Kubang Kerian.

Perpindahan beliau ke Johor saya ibaratkan sebagai pulangnya perantau ke negeri sendiri setelah lama berpergian menuntut ilmu. Ketiadaanya selama ini bolehlah dianggap beliau pergi bertapa mempelajari ilmu dan menuntut rukun-rukun dan peradaban politik di Kelantan. Al maklumlah Kelantan adalah universiti politik terbuka di negara ini.

Apabila Salahuddin diminta untuk pulang dan dia sendiri rela, ini menunjukkan ilmu yang dipelajarinya sudah sarat dalam dada. Dia sudah bersedia untuk berbakti di watan sendiri. Apa yang diperolehi dan dialami selama sembilan tahun di Kelantan akan dicurah ataupun dimanfaatkan di negeri kelahirannya pulak.

Membuka tanah baru atau pulang untuk berhadapan dengan petulangan, bukan mudah. Johor adalah kubu kuat Umno yang penuh dengan pahlawan yang tikam tidak lut selam tidak lemas bakar tidak mudah hangus. Ia akan menguji Salahuddin sebagai pejuang dan pemimpin. Di Johor nanti daya kepimpinannya akan dituji. Intelektualiti kepimpinanya juga akan diperiksa. Begitu juga dengan ilmu hakikat siasah yang diperolehi akan dicabar di Johor kelak.

Di sini saya tidak mahu memperkatakan apakah beliau berjaya atau tidak. Berjaya dalam perjuangan adalah subjektif. Kejayaan bukan bermakna menang kerusi yang ditandingi, tetapi berjaya mengharungi perjuangan, pembukaan tanah human baru dan ikhlas meninggalkan tanah lama juga, itulah kejayaan sejati. Dalam perjuangan kalah dalam pertarungan bukan kalah. Istiqamah dalam perjuangan itulah kemenangan mutlak yang dicari.

Mengenang pengembalian Salahuddin ke Johor sesuatu yang menarik buat saya. Perpindahan tanpa bantah zahir itu menunjukkan beliau ada nilai-nilai tawaduk dan taat kepada pucuk pimpinan. Apabila timbul cakap-cakap mengatakan Pas Kelantan tidak mahukan orang luar, atau orang luar setakat dua penggal sahaja, Salahuddin sudah membuat persediaan disegi mental. Dia memahami mesej itu dan bertindak sebelum orang mengunci pagar.

Beliau tidak memberi apa-apa komen dan pasrah dengan kehendak dan keputusan itu. Syarat yang ditetapkan oleh Kelantan yang memberi pinjaman dan gelanggang untuk beliau berlajar mengenali rakyat dengan title wakil rakyat diterima dengan penuh terima kasih. Maka beliau terus membuat persiapan untuk berpindah rumah dan membuka huma baru.

Tidak ada apa-apa protes baginya. Saya pernah menyatakan sesuatu kepadanya untuk mengenali hati budinya dalam politik dengan perpindahan itu. Namun beliau tenang menjawab; "kita sebagai pejuang dan orang parti kena ikut arahan pemimpin, T" begitulah katanya lembut dan penuh sopan. Nada cakapnya yang selalu bebunga sedih menyebabkan hati jadi terkedu.

Tidak nampak yang beliau ralat dengan cadangan itu. Walaupun beliau tahu kehidupan di lokasi baru - tanah huma tidak semudah yang dilalui di tanah KSK, tetapi ia bukan sebab untuk beliau menolak atau berdalih, jauh sekali merajuk sebaliknya itu dijadikan cabaran dalam dia berpolitik.
Baginya dia telah menjadikan dirinya sebagai panglima yang sedia menurut arahan demi perjuangan.

Saya yakin dan percaya juga dengan perwatakan dan sejuring hatinya yang saya kenali beliau bukan seorang yang tahu mendesak dan berhajat menyusahkan parti. Ketulusan Salahuddin dalam perjuangan tercermin pada raut wajahnya yang jernih dan tenang.

Ini terbukti sebagai Naib Presiden beliau berhak untuk memperjuangkan dirinya untuk bertanding di mana-mana sahaja. Namun itu nampak tidak pernah digunakan untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya kedudukan sebagai Naib Presiden banyak digunakan untuk memperjuangkan nasib kawan-kawannya atau menjadi jambatan mengharmonikan keadaan dalam parti.

Apa yang berlaku di Kedah - pergelutan di antara Pahkrorazi Zawawi dengan Azizan Razak adalah bukti macam mana komitmen dan peranan diaminakn oleh Salahuddin. Apabila menyedari pergelutan semakin panas dan tiada usaha menanganinya maka beliau telah mengambil inisiatif menjadi orang tua memperjudikan dirinya demi kebaikan parti menangani isu itu.

Dalam hal ini Salahuddin telah menguji dirinya sendiri. Cuba kalau inisiatif itu tidak menjadi ia boleh dianggap beliau mencari fasal dan akan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang gagal. Namun tanggungjawab itu diambil menunjukkan Salahuddin seorang yang memiliki iltizam yang kuat dan meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan dirinya. Alhamdulilahpergelutan di Kedah itu selesai dengan jaya.

Apa yang berlaku dan dilakukan Salahuddin sewajarnya diteladani oleh individu tertentu terutamanya oleh mereka yang merasakan diri mereka tidak dilayan dengan adil menjelang pilihan raya ini. Mereka yang akan tidak diletakkan bertanding kerana sebab-sebab tertentu ataupun dipindah kawasan kerana sebab-sebab tertentu juga perlu malu dengan Salahuddin.

Akurlah taatilah keputusan parti. Kenapa kita begitu sukar untuk menerima pandangan parti? Kalau Salahuddin boleh dengan senang berangkat ke Johor meninggalkan tanah KSK yang sudah dimajui, pokok sudah berbuah dan rakyat sudah sebati dengannya, kenapa tidak dengan kita? Seorang pejuang tidak boleh penakut dan terlalu hipokrasi.

Berjiwa besarlah seperti Salalhuddin. Kenapa kita merasa susah untuk akur dengan keputusan parti sebab kita merasakan apa yang menjadi milik kita itu adalah hak kita. Sedangkan apa-apa yang kita rasai itu dan nikmati itu hanya pinjaman sahaja. Hakikatnya kuasa, jawatan yang dipikul oleh seseorang wakil rakyat itu bukan hak mereka tetapi hak rakyat. Jadi kenapa harus gentar dan merasa sedih atas pertukaran atau pengunduran kita.

Jika kita benar-benar hebat letaklah di mana-mana pun kita tetap hebat, bak kata pepatah kalau benih yang baik lempar ke laut menjadi pulau lempar ke lembah menjadi gunung.http://www.msomelayu.blogspot.com/