Salam Perjuangan

21 Ogos 2015

puisi: CATATAN YANG BERTERBANGAN

apabila dia membaca
travelog guru karyaku
matanya mula berkaca
hatinya mula bersinar
kenangannya mula berputar
antara arwah suaminya
bersama-samaku awal kerjaya
tempat jatuh lagi dikenang

dia adalah seorang isteri
sahabatku ali yang baik
lulusan maktab bahasa
kami mengusung buku
dan mengatur hiruk-pikuk
di kelas-kelas peralihan
demi suatu perjuangan
yang tidak sesiapapun
mahu mengerti memahami

dia terus bercerita
ali  almarhum suaminya
seringkali menyebut namaku
guru muda yang tabah
mendaki puncak payah
kadangkala membuka album
kenangan dan airmata
silih berganti pilu
rakan-rakan kian menghilang
menjauh ditelan waktu

suatu hari ceritanya lagi
dia dan suaminya,ali
bersiar-siar ke desa gubuk ibu
melewati rumah kelahiranku
hasrat mahu bertandang
tapi sepi tidak berpenghuni
tidak diduga saatnya
beberapa hari kemudian
ali, sahabatku yang baik
meninggalkan nafas terakhirnya



maafkan aku
cikgu ali sugiman
cikgu abu bakar sobor
kami tiga serangkai
bertahun-tahun menyalin ingatan
di kelas-kelas peralihan itu
ada suka duka catatan
dan aku meninggalkan kalian
menimba ilmu lagi
dalam lipatan takdir
kalian pula meninggalkanku
buat selama-lamanya, alfatihah!


DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota, Bangi SDE.
21 Ogos 2015.





Tiada ulasan: