NORUMAZA HASHIM (Puan) bukanlah seleberiti ataupun tokoh ternama di peringkat kebangsaan atau antarabangsa yang mahu TB ketengahkan.Beliau hanyalah seorang insan biasa.Tanpa sebarang prejudis, TB hanya mahu mencatatkan mengenai sebuah kejayaan yang berteraskan, sekiranya ada usaha maka di situ ada jalan kejayaan.
Norumaza dilahirkan di Sekinchan, Selangor Darul Ehsan pada tahun 1974.Beliau baharu menyambut hari kelahirannya pada 15 November lalu. Selamat hari lahir! Dilahirkan daripada sebuah keluarga besar yang berpendapatan sederhana,Bapanya seorang Pekerja Am di sebuah sekolah kerajaan.lbunya suri rumah sepenuh masa. Anak ketujuh daripada sepuluh orang adik beradik. Sejak dari kecil, beliau banyak belajar berdikari dan 1994 terus berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di Akademi Pengajian lslam, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan pembiayaan sendiri. Beliau berjaya meraih Sarjana Muda Pengajian lslam bidang Usuluddin dengan kepujian pada tahun 1998.
Demi mengenangkan keluarganya yang susah; apatah lagi pada tahun akhir di UM bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. beliau menempuh duka pilu yang mendalam akibat tragedi bapanya.Dengan tabah dan kental semangat, anak yatim ini berjaya menamatkan pengajian sarjana muda dengan jayanya (TB: semasa ini di manakah Yapeim, Baitulmal, Pusat Zakat?)
Kerana kelangsungan kehidupan, pada tahun 1999 Norumaza tanpa membuang masa, tanpa memilih kerjaya, tanpa bimbang berjauhan, beliau sanggup menerima tawaran sebagai 'pensyarah' di sebuah kolej swasta di Kota Baharu, Kelantan Darul Naim.Walaupun pekerjaannya ini tidak boleh menjamin masa hadapannya, namun beliau berjaya bertahan sehingga lima tahun (2003) dan menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar di kolej tersebut.
Di kolej tempatnya bekerja di Kota Baharu, beliau terpaksa menghadapi cabaran lantaran persekitaran tempatnya bekerja termasuk rakan-rakan sejawatnya kebanyakannya mendapat pendidikan sekular total.Dan di antara mereka termasuklah rakan-rakan rumah sewanya yang pernah belajar di USA dan Eropah dan telah terdedah dengan pengaruh Barat yang agak bebas. Mujurlah beliau dapat menyesuaikan diri. Sudah ditakdirkan kolej tempatnya bekerja menerima musibah kebakaran teruk hingga terpaksa diberhentikan operasinya.
Tanpa membazir masa dan tanpa memilih pekerjaan, beliau memohon kursus Diploma Pendidikan lkhtisas Ambilan Ke-2 Sekolah Rendah (KPLI- Kursus` Perguruan Lepasan ljazah) pada tahun 2004. Ketika itu Bahagian Pendidikan Guru (BPG) memberi ruang kepada pemegang ijazah untuk mengikuti kursus perguruan sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia.Beliau tanpa konflik diri namun memiliki semangat waja untuk berbakti kepada anak bangsa di peringkat sekolah rendah walaupun pernah bergelar 'pensyarah' .Dengan izin Allah pada bulan Jun 2004 beliau diterima berkursus di Maktab Perguruan lslam (kini IPGM kampus Pendidikan lslam),Bandar Baru Bangi,Selangor Darul Ehsan selama satu tahun. Beliau berjaya menamatkan KPLI pada bulan Jun 2005.Kemudian semasa konvokesyen Diploma Pendidikan KPLI di MPI 2005 beliau memperoleh keputusan' Cemerlang'. Dan tidak lama selepas itu, beliau diarahkan bertugas di Sarawak. Walau bagaimanapun takdir telah menentukan yang mana beliau tidak ke Sarawak tetapi berjaya berkhidmat dalam Negeri Selangor negeri kelahirannya di sebuah sekolah dalam daerah Hulu Langat di sekitar Bangi.
Sepanjang perkhidmatannya sehingga kini (2005- ) beliau telah berjaya naik pangkat gred 44 dan memegang pelbagai perfolio sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Walaupun kesibukan dan telah dikurniakan anak, beliau komited dengan tugas persekolahan tanpa mengabaikan rumah tangga.Justeru demi menyambut baik seruan KPM dengan Budaya llmu beliau telah mendaftarkan pengajian sarjananya (master) di UKM pada tahun 2009 secara separuh masa dengan biaya sendiri.
Banyak dugaan terpaksa dihadapinya. Selain pernah menghadapi kemalangan jalan raya semasa memandu kereta ke UKM, cuti sakit, cuti bersalin, beban kewangan pengajian dan sebagainya beliau masih gigih mahu menamatkan pengajian. Siapakah 'di belakang tabir' yang menjadi pendorong kuat kepada kejayaan Norumaza? ; biarlah, hanya dia yang mengetahui jawapannya. Kepada penyelianya Prof Datin.Dr Amla Salleh (balu Allahyarham Datuk Mahadir Khir bekas timbalan Menteri Pendidikan), jasanya tidak mudah dilupakan.Berbanyak-banyak terima kasih Norumaza tujukan ternasuk rakan-rakan sejawat dan semua ahli keluarga kerana dorongan positif yang telah dicurahkan.
Kini Ustazah Norumaza Hashim telah berjaya meraih gelar Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam bidang Bimbingan Kaunseling Fakulti Pendidikan UKM pada konvokesyen kali ke-43 di UKM, Bangi 2015.
Semoga hari-hari esok dan mendatang akan terus menyinari bersama cahaya mata baharu lagi, insya-Allah dengan selamat,sejahtera ,sihat wal'afiat dan dilindungi Allah jua. Adakah rezeki beliau akan dianugerahkan pada kali ini (kerana tidak pernah memperoleh biasiswa!) Hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran (PhD) secara sepenuh masa, biarlah masa yang akan menentukan! Tahniah.(TB)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan