Salam Perjuangan

05 Ogos 2015

puisi: ANTARA AKU & DIA

aku anak marhaen
dia anak bangsawan
moyangku hanya penghulu
bersetia kepada temenggung
tidak punya apa
hanya sekangkang tanah
di desa hulu muara

dia anak bangsawan
pegawai istana negeri
dengan magis kuasa
akrab dengan istana
segala datuk paduka menteri
dijunjung adat berzaman
segala hutan belantara

dia anak pemimpin negara
aku hanya anak pengusaha karet
bersarapan pagi keledek ubi
berbasikal usang ke sekolah
tidak ada drebar peribadi
hanya subur tanah berbakti
kepada ibu pertiwi

dia menjadi ahli parlimen
kemudian timbalan menteri
ketika usia sebaya
aku hanya guru muda
lepasan maktab bahasa
yang gaji bukan luar biasa
tanpa biaya ke universiti

ketika dia mengira ribuan
aku hanya membilang angka
satu persatu tidak seberapa
mampu dengan vespa
dia telahpun nyaman
dalam mercedes
aku hanya garu kepala

ketika aku masih mengira
ratusan yang kecil
dia telahpun jauh
mengira jutaan bilion
meninggalkan aku
yang masih berkira-kira
honorarium sumbangan
sebuah puisi kecilku.



RAJIEE HADI,
BSP, Bangi,SDE,
6 Ogos 2015.






Tiada ulasan: