TB sudah lama terpanggil untuk menyahut aduan/komen/keluh kesah daripada seorang sahabat dan mungkin juga mewakili sebahagian besar penjawat awam berketurunan Melayu /bumiputera beragama lslam yang agak musykil bersebab mengenai YAPEIM. TB pun tidak pasti adakah YAPEIM didaftarkan atas akta syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ataupun didaftar atas sebuah badan/yayasan kebajikan atas akta ROS. lngatlah, dua tempat ini ada mekanisme yang berbeza tatkala beroperasi.
Dipendekkan cerita, sahabat itu mengadu gaji bulanannya dipotong oleh jabatannya (mungkin melalui Perbendaharaan/Akauntan Negara) sejak lebih 20 tahun lalu. Sama ada ketika itu 'izin dalam paksa' atau 'rela dalam duka' beliau mengizinkan gajinya dipotong secara bulanan (dia hanya mampu RM10/sebulan), dia tidak pasti. Namun segala-galanya atas dasar 'amal jariah'.
Tetapi bukan isu pokok pemotongan dan sedekah itu mahu dipersoalkan. Tetapi mekanisme,perjalanan dan ketelusan YAPEIM selama ini yang dipertikaikan. Katanya, beliau terpanggil bertanya dalam hati, mengapa sana sini sekarang didapati YAPEIM mengusahakan premis perniagaan 'Pajak Gadai lslam'? Apakah rasionalnya? Sedang ar-Rahnu kini banyak dijalankan oleh Bank Rakyat, Bank lslam dan pelbagai ejensi yang berorientasikan lslamik.
Bayangkan jika sekitar 3 juta penjawat awam sejak 25 tahun lalu dipotong gaji bulanan kerana bersedekah jariah sebanyak RM10-RM50 sebulan? Maka berapakah jumlah/amaun yang telah dikutip? Apakah dan ke manakah wang itu dibuat dan dialirkan? Sedangkan Tabung Haji yang menyimpan tabungan orang awam lslam telah melakukan pelbagai perlaburan untuk pulangan baik bagi jangka pendek dan jangka panjang itupun menghadapi pelbagai isu panas.
Jikalau YAPEIM ada objektifnya maka apalah gunanya kita ada Pusat Pungutan Zakat, Baitul Mal dan pelbagai jenis tabung sedangkan di sana sini kita dapati ramai golongan asnaf, OKU, warga emas tidak berpencen , anak-anak yatim, janda miskin ramai anak, penganggur,pelajar miskin, mahasiswa IPT dan sebagainya yang hidup merempat dan meminta-minta belas ikhsan daripada orang ramai atau organisasi yang berkaitan? Tanyalah KKM dan LHDN yang mengendalikan BRIM berapakah jumlahnya individu lslam yang kategorinya miskin layak dapat bantuan BRIM? Tidakkah ini memalukan kita sebagai penderma yang bertahun-tahun tetapi kita tidak tahu ke manakah hala tuju wang itu?
Hari berganti hari, bulan dan tahun juga bersilih ganti, YAPEIM terus mendapat dana daripada pemotongan gaji penjawat awam dan lain-lain sumber. Sehinggalah TB diberitahu sahabat itu telah pun pencen/bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan pemotongan itupun terhenti setakat itu. Apa yang beliau tidak puas hati, tidak ada pun sepatah kata surat ucapan terakhir daripada YAPEIM kepadanya. Dan berpuluh-puluh tahun dia tidak pun menerima apa jua laporan/penyataan atau notis ataupun pembentangan bajet dan sebagainya wang hasil derma orang ramai kepada YAPEIM.lngatlah, tabung surau/masjid pun dilaporkan kepada orang awam di papan-papan notis masjid/surau.lni adalah langkah telus bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, penipuan, tidak amanah, culas dan macam-macam sifat buruk.
Yang TB sedar jawatan esekutif YAPEIM dahulu daripada seorang pegawai biasa kini sudah bergelar Ketua Pengarah. Andainya perjawatan mengikut gred JPA maka pegawai utamanya itu tentulah sekurang-kurang gred JUSA A. Wah, besar dan lumayan gaji dan elaunnya. Tetapi apakah besar juga tugas dan tanggungjawab yang dibuatnya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan