Salam Perjuangan

28 November 2011

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO BERITA TERKINI


SEKALIPUN bangga dengan kematangan UMNO sekarang, beberapa ahli veteran  bimbang dengan masa depan parti itu apabila melihat semangat perjuangan asal semakin luntur pada kalangan anggota.

Menyamakan perjuangan itu sebagai semangat “nasi merdeka”, mereka melihat anggota sekarang sudah leka dengan kejayaan yang dicapai parti sehingga mengetepikan kepentingan pengorbanan diri demi keutuhan UMNO.
Bekas Setiausaha Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Selamat Saad berkata ”orang dulu” menjual nasi lemak dan hasilnya disalur kepada tabung perjalanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London bagi merundingkan kemerdekaan negara.
"Kami bekerja dengan semangat yang satu iaitu berkorban untuk parti demi negara,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Namun, kata veteran berusia 76 tahun itu suasana UMNO sekarang sudah jauh berubah kerana selain wujud puak-puak, parti tersebut juga dianggotai mereka yang meletakkan kepentingan diri melebihi perjuangan parti.
Justeru, beliau mengharapkan perhimpunan agung yang bakal berlangsung minggu ini dapat mengembalikan kekuatan semangat “nasi merdeka” demi masa depan UMNO sendiri.
Pendapatnya dikongsi seorang lagi anggota veteran Datuk Mohd Zain Hamzah, 76, yang mahu pemimpin parti menangani isu puak dalam UMNO.

"Dulu ahli UMNO memikirkan perjuangan untuk memerdekakan negara tapi sekarang negara dah merdeka. Ada yang hanya memburu peluang melalui parti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Bekas Naib Ketua UMNO Arau itu berkata, pada zaman dahulu anggota parti menerima seikhlas hati siapa sahaja yang dipilih sebagai calon pilihan raya dan memberi sokongan padu.

"Namun perkara itu sudah tidak berlaku sekarang kerana wujudnya unsur puak yang menyebabkan ada calon ditolak kerana bukan dari puaknya. Perkara ini harus diubah segera,” katanya.

Beliau juga berkata, ahli UMNO pada peringkat awal kemerdekaan tidak mementingkan wang ringgit dan peluang menjadi pemimpin digunakan untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara. 

Sementara itu enam hingga lapan menu masakan tradisional Melayu akan disediakan bagi 15,000 orang yang terlibat dalam Perhimpunan Agung Umno 2011 bermula esok, menurut pihak pengurusan Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), venue perhimpunan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Putrade Property Management Sdn Bhd, Maxson Abdullah Jaafar berkata, pemilihan menu tersebut berdasarkan permintaan daripada kalangan yang bakal menghadiri perhimpunan di samping menonjolkan identiti masakan Melayu.

"Antara jenis hidangan yang akan disediakan sepanjang empat hari persidangan ialah gulai tempoyak ikan patin, tauge masak lemak putih bersama tauhu, goreng ikan bawal kecil dan ayam kampung.

"Kebanyakan yang hadir menggemari masakan Melayu jadi saya yakin menu tersebut dapat memenuhi selera mereka...secara tidak langsung ia membantu mempromosikan masakan tradisi negara,” katanya kepada pemberita semasa melawat ruang dapur utama PWTC di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan hidangan untuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
Antara bahan yang akan digunakan ialah daging lembu, daging kambing, ayam, ikan, sotong serta sayur-sayuran, katanya.
Seramai 320 orang pekerja dibantu 1,200 orang petugas sementara ditugaskan bagi membantu meningkatkan mutu perkhidmatan penyediaan makanan pada persidangan kali ini


Selain itu aspek perpaduan dan disiplin dalam parti akan menjadi fokus utama dalam perhimpunan agung Pergerakan Wanita UMNO yang akan bermula esok, kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, kedua-dua aspek ini yang berelemenkan konsep setiakawan dan kesatuan mustahak dibincangkan sebagai persiapan parti untuk ke ”medan perang”, dan secara tidak langsung menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Wanita akan usulkan ke arah itu (perpaduan dan disiplin). Bila jentera pilihan raya kuat, disiplin dan fokus, saya percaya kita akan hadapi pilihan raya umum dengan tabah dan bawa kepada kemenangan,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, hari ini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bahawa Wanita Umno bukan sahaja merupakan tulang belakang parti malah menjadi aset penting yang mampu memberi kestabilan kepada parti.
Wanita UMNO yang kini mempunyai keanggotaan mencecah 1.3 juta orang akan terus fokus dan ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negara, katanya.

"Dalam politik mana yang tiada masalah? Tambahan pula pembangkang, dia takut kerana Wanita UMNO kukuh, bersatu padu dan ada cubaan untuk goyahkan kita. Tapi kita tetap kental. Kita tiada agenda lain sebab agenda kita adalah membina dan bukan memusnahkan,” katanya.(sumber: UM,28/11/11)


Tiada ulasan: