BEBERAPA pihak sudah membangkit baru-baru ini mengenai betapa pentingnya kita memartabatkan semula bahasa Melayu.
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu kelapan yang diadakan beberapa hari lalu mahu bahasa Melayu dimartabatkan dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.
Mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta masih berada pada tahap rendah.
Usaha perlu dilaksanakan dan membabitkan semua stesen penyiaran bagi menonton kesilapan penggunaan bahasa Melayu dalam siaran berita dan rancangan supaya boleh diperkasa dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Satu perkara yang memerlukan tindakan ialah mengenai pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti dalam dialog filem dan dalam perbualan seharian sama ada dalam program televisyen atau percakapan harian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak.
Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang cerminkan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu dan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul.
Bukan saya menentang penggunaan bahasa Inggeris tetapi apa yang saya bangkitkan ialah mengapa kita tidak bertutur bahasa Melayu sepenuhnya jika ingin menggunakan bahasa itu.
Begitu juga jika ingin menggunakan bahasa Inggeris, gunakan sepenuhnya tanpa perlu dicampurkan dengan bahasa Melayu.
Sungguhpun saya bukan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu saya berpendapat masa sudah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan jadikannya budaya atau cara hidup di negara kita.
Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampur-adukkan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau kita tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampur-adukkan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. (sumber: Lee Lam Thye, BH, 3/11/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan