LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menasihati mereka yang layak mendapat insentif RM500 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012, tidak terpedaya dengan sindiket pendaftaran permohonan palsu.
Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim berkata, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab sudah mengedar dan menjual borang permohonan palsu untuk mendapatkan insentif tersebut sedangkan ia hanya dijangka diedarkan mulai Januari depan.
"Borang permohonan sebenar belum dikeluarkan lagi dan pendaftaran adalah percuma.
"Ia masih dalam proses penyediaan terakhir dan akan diedarkan ke pejabat LHDN seluruh negara, serta akan dimuat naik ke laman web rasmi LHDN sebaik sahaja mendapat kelulusan Kementerian Kewangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, LHDN tidak melantik mana-mana pihak untuk menguruskan pendaftaran permohonan bantuan RM500 itu.
Dalam pembentangan Bajet 2012 pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian insentif tunai berjumlah RM500 untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membantu menangani kesulitan golongan berpendapatan rendah.
Sehubungan itu, Masrun mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu oleh mana-mana sindiket mengenai bantuan wang insentif tersebut.(sumber:UM,17/11/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan