KEMUNCULAN media sosial serta blog malah televisyen menerusi terbitan drama memberi kesan kepada masyarakat terutama dari segi etika pertuturan.
Isu penggunaan bahasa rojak pernah dibangkitkan sebelum ini akan tetapi perbahasan hanya tinggal perbahasan saja. Di manakah Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu?
Saya lihat senario ini berlaku antaranya kerana pengaruh drama televisyen atau filem yang cenderung memperlihatkan suasana korporat yang kononnya dunia glamor yang menetapkan pengamalnya mengamalkan bahasa rojak.
Saya melihat fenomena ini kian menjadi-jadi di kalangan selebriti di Malaysia. Apabila menonton rancangan berbentuk gosip hiburan di mana selebriti memberi pendapat atau komen dan loghat tidak ubah seperti ‘Mat Salih’ yang mahu berbahasa Melayu namun tidak pula tahu menggunakan frasa ayat atau tatabahasa Inggeris yang betul.
Dari pemahaman saya, jika kita ingin menggunakan bahasa komunikasi yang betul dengan menggunakan kedua-dua bahasa perlulah mempunyai cara yang betul agar mesej disampaikan jelas.
Sebagai contoh, “Nama saya Abdullah and I tinggal di Selangor. Saya masih single”, dikira sebagai bahasa rojak tidak beretika. Berbeza pula jika konteks ayatnya adalah, “Nama saya Abdullah. I’m staying in Selangor. Saya masih bujang”, lebih difahami dan melengkapi.
Satu ayat selepas ‘titik’ atau noktah boleh menggunakan bahasa lain tetapi tidak boleh dicampur dalam satu ayat sebelum dan selepas ‘titik’ noktah. Teknik ini saya yakin bukan saja sesuai untuk memberi pemahaman yang jelas dalam komunikasi malah sesuai bagi mereka yang ingin mempelajari bahasa Inggeris.
Pendekatan menyeluruh perlulah diambil. Semua pihak termasuk agensi kerajaan seperti Lembaga Penapisan Filem, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelajaran dalam mendidik generasi kini, penggiat seni tanah air perlulah peka akan hal ini.
Tidak salah jika ingin belajar berbahasa Inggeris, tetapi biarlah menggunakan teknik yang betul dan rujuklah kepada pakar. (sumber : BH, 30/11/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan