Salam Perjuangan

30 November 2011

SURAT TERBUKA UNTUK PEMUDA UMNO


SALAM  buat Pergerakan Pemuda Umno Malaysia agar kita semua dirahmati Allah SWT,

Baru-baru ini beberapa ahli Pergerakan Pemuda Umno turut juga mengadakan demontrasi jalanan dengan 'memakai baju merah berjenama 'Patriot' yang khabarnya mahu turut juga berarak berhimpun dari Jalan Bukit Bintang,Kuala Lumpur menuju ke Stadium Merdeka. Khabarnya juga perhimpunan kumpulan 'Patriot' dikepalai Khairy Jamaluddin dan rakan-rakan dalam pemuda.

Apapun niat atau motif kumpulan ini bukan tujuan saya mahu memperkatakannya. Pada saya; baik kumpulan 'Bersih', 'Patriot' atau pertubuhan berdaftar 'Perkasa' mahu menyertai rally rakyat di jalanan bagi menyuarakan suara hati secara aman dengan berhemah dan bijaksana tidak menjadi masalah; selagi tidak melanggari perlembagaan dan undang-undang negara.

Biarlah masa dan waktu yang akan menghakimi kebenarannya dan apapun yang berlaku tetap menjadi lakaran sejarah tanah air.

Sebagai seorang warganegara, anak kelahiran Persekutuan Tanah Melayu yang membesar bersama suka duka kehidupan era sebelum merdeka, zaman darurat dan pelbagai bentuk cabaran kehidupan insani maka saya dan seluruh anak-anak Malaysia seangkatan zaman saya hanya sering memikirkan dan melaksanakan kewajipan menuntut ilmu dan berjaya dalam pelajaran bagi merubah nasib diri,keluarga dan bangsa.

Rata-ratanya kami kebanyakannya anak-anak kaum buruh, petani, penoreh getah, penarik beca, pesawah, nelayan,anggota keselamatan awam dan sebagainya. Kami bukan anak Perdana Menteri. Kami bukan anak menteri atau ahli parlimen. Kami bukan anak golongan bangsawan atau hartawan. Kami bukan anak birokrat atau teknorat ataupun daripada golongan kelas menengah Melayu.

Kami tidak seperti kudrat anak-anak muda sekarang; yang mana sekurang-kurangnya mereka anak kepada ahli perniagaan, anak kepada pesara guru siswazah atau anak kepada anak pesara pegawai daerah.

Saudara-saudara sekalian,

Sebagai pemerhati dan penganalisis persekitaran yang kreatif dan kritis; tidak dapat dinafikan rasa sensitiviti hadir dalam diri dengan penuh keinsafan. Apatah lagi generasi zaman saya; membaca pelbagai bahan yang positif banyak menyuburkan minda.

Sementelahan pula kecenderungan membaca hanyalah antara satu pengisian berguna di samping hiburan bermakna. Membaca melahirkan diri kita terbuka minda dan anti kejumudan.

Persoalannya; adakah saudara-saudara sedar tahap minat membaca para 'pemuda' Melayu/lslam/Bumiputera ketika ini?

Adakah Pergerakan Pemuda Umno ada menubuhkan pasukan penyelidik bagi mengkaji dan mengenal pasti aras membaca dan faktor-faktor yang berhubung kait dengan faktor menarik dan faktor menolak sikap membaca anak-anak muda kini?

Dan alangkah moleknya hasil penyelidikan ini dapat dibahaskan dalam perhimpunan agung parti saudara secara cendekia dan profesional.

Walaupun saya tidak dapat mengimpikan pemimpin pergerakan ini seperti zaman Syed Jaafar Albar yang digelar Singa Umno atau Harun ldris (Datuk) namun cukuplah sekadar masih ada lagi para pemimpin pergerakan ini yang meletakkan daya keintelektualan dalam kepemimpinannya.

Sebenarnya orang-orang Melayu masih berdiri di atas tanah airnya sendiri di atas permukaan tanah yang mendap.lngatlah, orang-orang Melayu baru berdiri di atas kejayaan minimum generasi pertama pasca merdeka.

Adalah amat malang kini generasi kedua atau ketiga yang sepatutnya lebih berjaya dan kukuh dirinya tetapi ramai yang terlibat dalam penagihan dan pengedaran dadah, pelacuran, vandalisme, mania hiburan, juvana, pengangguran dan pelbagai gejala negatif. Apakah ini bukan isu utama untuk dibahaskan dalam pergerakan atau mesyuarat agung tahunan?

Saya juga mendambakan agar pergerakan ini menubuhkan team penyelidik untuk membongkar kembali statistik tanah-tanah, hartanah, tanah-tanah simpanan Melayu/Bumiputera yang tinggal berbaki kini.

Tidak salah jika membentangkan perangkaan perbandingan dengan milik bukan Melayu. Begitu juga kajian statistik terkini golongan profesional Melayu (kerana yang terdahulu telah meninggal dunia dan bersara) dalam bidang perubatan, kejuteraan, perakaunan, guamam, teknologi dan seumpamanya.

Buatlah perbandingan dengan statistik pencapaian bukan Melayu agar orang Melayu tidak leka, celik mata dan buka minda; hasilnya kelak mudah-mudahan ada kesedaran dan daya saing.

Kajian yang menyentuh hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu berlandaskan faktor peratusan penduduk wajar dibuat dan ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia. Begitu juga perangkaan berhubung dengan pemilikan premis-premis kedai dan wisma/bangunan di kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Muar dan sebagainya.

Sebenarnya banyak tugas dan tanggungjawab yang mendepani pergerakan ini. Tidak salah, jika pergerakan saudara-saudara bekerjasama dengan tenaga pemikir dan penyelidik di IPTA/IPTS tanah air kita yang kini rata-ratanya kini ramai yang memiliki PhD dan telah bergelar Profesor, Profesor Madya dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, komitmen beginilah yang masyarakat mahukan. Bahkan bukan setakat Pergerakan Pemuda Umno yang masyarakat dambakan tetapi termasuk parti-parti lain seperti PAS, Pesaka Bumiputera dan NGO seperti Perkasa dan lain-lainnya.

Justeru dalam ayat lain, buat apalah saudara-saudara mahu terikut-ikut politiking jalanan tanpa hala tuju seandainya tugas dan tanggungjawab hakiki terabai dan terlepas pandang.

Pandangan saya bersandarkan Pergerakan Pemuda Umno ada sejarah panjangnya yang tersendiri dan turut memainkan peranan lampau dalam pengisian kemerdekaan negara. Usahlah umpama tin kosong; tetapi biarlah diam-diam umpama diam ubi tetapi berisi,berhasil dan bernilai pada zaman ini.(pernah disiarkan dalam tiubbocor.blogspot.com pada 15/7/11)

Tiada ulasan: