Salam Perjuangan

31 Ogos 2010

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-53





Sudah beberapa hari TIUB BOCOR tidak dapat bersama para pembaca budiman kerana kerana kurang sihat. Alhamdulillah menjelang malam menyambut hari kemerdekaan negara Malaysia tercinta yang ke-53, TB dapat meluangkan masa meneruskan catatan tanda ingatan yang tidak pernah kunjung padam.

Masa terus datang dan pergi hingga kini kali ke-53 kita menyambut setiap tanggal 31 0gos. Tanggal yang nostalgik ini mengingatkan TB pada zaman kanak-kanak pada tahun-tahun 1960-an, setiap kali datang tarikh keramat ini, TB seronok dan gembira kerana dapat menonton filem pacak di tengah-tengah padang secara percuma bermula jam 9malam hinggalah hampir ke subuh hari.

Ada filem Melayu lakonan P.Ramlee, hindustan lakonan Shammi Kapoor, filem tamil lakonan M.G.Ramachandran (MGR), filem mandarin, filem jepun dan filem keluaran Filem Negara Malaysia Jabatan Penerangan yang dikenali filem propaganda...yang disebut rakyat marhaen 'filem peranda'.Masa itu masyarakat yang tinggal di estet yang masih diurus oleh 'tuan-tuan orang putih' terdiri daripada orang Melayu,cina dan lndia tanpa prasangka kaum dapat bersatu dan gembira menghayati semangat 'satu nasib' pada malam menyambut kemerdekaan.

Bagi mereka golongan buruh walaupun hidup dihimpit kesusahan dan kemiskinan namun pada malam kemerdekaan itulah anugerah kegembiraan yang mereka dapat nikmati bagi melepaskan penat lelah bekerja di ladang saban hari membanting tulang mencari sesuap rezeki untuk ahli keluarga.Menjelang malam kemerdekaan bagaikan ada pesta meriah; gembira bukan kepalang.Ada berjualan apam balik, mee bandung,sotong titik,jagung rebus,kerang rebus,cendol dan macam-macam lagi.

Ketika itu ladang-ladang getah masih dimiliki saudagar-saudagar lnggeris.Malam itulah para pekerja dan ahli keluarga mereka akan menumpang percuma lori-lori yang mengangkut mereka dari rumah-rumah kuarters atau kongsi untuk ke padang lapang yang biasanya terletak di pusat pentadbiran ladang yang dipanggil 'central'.Seronok beramai-ramai menaiki lori bagai ikan sardin terutama kanak-kanak seperti TB.Hembusan angin malam dan cahaya purnama penuh yang sentiasa mengekori lori yang kami naiki terasa bagai semalam berlalu.

Yang TB masih ingat...semangat satu Malaysia telah lama wujud di kalangan mereka...bak kata pujangga' dalam kemiskinan itu ada kebesarannya'..Ah, lebih 45 tahun yang silam! Dan hampir 35 tahun kini TB masih terbayang...bagaimana anak kecil seperti TB yang semasa kecil nun jauh suatu waktu di sebuah estet pada hari kemerdekaan tanah air, tiba-tiba telah ditakdirkan Allah SWT pada tahun 1976 dan 1977 berada di Kuala Lumpur ibu kota Malaysia yang mula menguntum namanya berbaris berarak memegang erat bendera negara dan panji berwarna-warni sebagai belia tunas bangsa dengan bangga memberi tabik hormat kepada para pemimpin negara di astaka hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad ketika lintas hormat di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) dengan penuh kebanggaan tidak terkata.

Sejarah berulang...dua tahun berturut-turut ketika itu TB turut serta sebagai peserta perbarisan lintas hormat yang jatuhnya pada bulan ramadan,bulan umat lslam berpuasa.Panas terik tidak melunturkan kami anak generasi ketika itu.Kini 2010 sambutan Hari Kemerdekaan berulang kembali jatuh pada bulan ramadan...yang diadakan dalam stadium atau dewan tertutup atas alasan bulan puasa!Walaupun tema Hari Kemerdekaan tahun ini 'Menjana Transformasi' atau dalam pemahaman bahasa yang mudah bersedia menempuh perubahan tetapi apakah para belia hari ini bersedia menempuh perubahan,sanggup keluar dari zon selesa?Fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan: