Salam Perjuangan

25 Ogos 2010

DYMM SULTAN JOHOR MURKA

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, murka berikutan penyebaran kain rentang yang memaparkan gambar Baginda Tuanku bersama Pengerusi Parti Keadilan (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Ming, individu yang dicadangkan sebagai Menteri Besar. Tindakan oleh individu yang tidak dapat dikenal pasti itu dilihat seolah-olah mencabar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, Menteri Besar mestilah Melayu dan beragama Islam. Menurut Baginda Tuanku, tindakan itu boleh memecah belahkan perpaduan dikalangan rakyat disebabkan kepentingan peribadi.

“Contohnya, baru-baru ini di Batu Pahat, ada pihak cuba untuk mengheret saya dalam kancah politik dengan memaparkan gambar saya sebagai suatu kempen politik. Perbuatan ini adalah biadab dan kurang ajar’” titah Baginda Tuanku semasa Majlis Penutup Kembara Mahkota Johor (KM) 2010 Fasa II di Padang Majlis Daerah Kota Tinggi.(dipetik daripada ILUVISLAM, 13-19 Ogos 2010)

TB: Walaupun TB belum pernah dikurniakan sebarang pingat kebesaran daripada DYMM Sultan Johor tetapi kasih sayang dan takzim TB sebagai putera jati kelahiran Negeri Johor Darul Takzim tetap utuh dan tidak pernah berubah kendatipun TB terpaksa merantau dan berkelana jauh mencari rezeki di luar tanah Johor. Namun bak perumpamaan, ‘tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dilahirkan’. Justeru TB berasa dukacita dan kian gusar jika kedapatan segelintir rakyat/individu yang sengaja tidak memahami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bahawa fungsi Sultan atau Raja di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia ialah sebagai Ketua Agama lslam dan Adat lstiadat Melayu yang mana baginda berperanan sebagai payung bagi setiap rakyat yang bernaung untuk memupuk perpaduan . Sungguhpun baginda tidak boleh terlibat dalam apa jua politik berparti namun baginda berperanan sebagai penasihat demi kesejahteraan rakyat jelata. Alangkah daif sekali jika ada rakyat yang masih tidak memahami laras siasah/politik bahasa Melayu antara frasa nama Menteri Besar dan Ketua Menteri . Menteri Besar ialah Ketua Esekutif Ahli Jemaah Mesyuarat Negeri bagi Negeri-Negeri Bersekutu yang mempunyai Sultan atau Raja bagi negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia seperti N.Johor Darul Takzim, N.Pahang Darul Makmur, N.Selangor Darul Ehsan dan lain-lain lagi. Kata Nama Khas Menteri Besar tetap Menteri Besar walau dalam apa jua bahasa di dunia. Maksudnya Menteri Besar tidak boleh diterjemahkan kepada Chief Minister atau sebagainya. Sebab itu dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri bahawa Menteri Besar mestilah Melayu (mengikut takrif Perlembagaan Persekutuan) dan beragama lslam. Hal ini berbeza dengan frasa nama Ketua Menteri atau Chief Minister yang boleh diterjemahkan dalam apa jua bahasa .Apatah lagi Ketua Menteri boleh diterajui oleh sesiapa jua rakyat Malaysia berdasarkan prestasi mana-mana parti politik yang mendominasi dan diwakilinya, asalkan ada persetujuan majoriti dan kesepakatan bersama demi kesejahteraan rakyat sesebuah negeri itu dengan sokongan Gabenor/TYT/YDPN . lnilah indahnya Malaysia tercinta

Tiada ulasan: