DIKHABARKAN satu mesyuarat meja bulat telah berlangsung di Kementerian Pelajaran Malaysia baru-baru ini bagi membincangkan pro dan kontra peperiksaan UPSR dihentikan atau diteruskan. Bagi TB apa jua keputusan ada baik dan buruk. Yang penting, apakah alternatif untuk membuat pengujian dan penilaian pencapaian murid-murid sekolah rendah? Adakah penilaian yang dilakukan oleh guru dan sekolah mereka sendiri dapat mengelakkan sikap pilih? Apakah tidak ada elemen atau unsur-unsur yang menyalahi etika keguruan??. Zaman TB di bangku sekolah rendah dahulu era 1960-an tidak ada UPSR atau Penilaian Darjah 5 atau 6. Jika ada peperiksaan pemilihan untuk masuk Special Malay Class atau nak masuk ke MCKK/KMKK, RMC/MTD, KIM maka terpulanglah kepada Guru Kelas atau pihak sekolah untuk memilih mana-mana murid yang disukainya untuk memasuki peperiksaan pemilihan yang diadakan di sebuah sekolah dalam sesebuah daerah. Justeru, kedapatan ada guru yang memilih anak sendiri, anak buah sendiri atau sesiapa yang disukai. Alangkah malangnya jikalau hal sebegini terjadi. Hal ini pernah TB alami semasa di bangku sekolah rendah. TB hanya menggigit jari sahaja. Tapi rezeki dan takdir Allah jua Yang Maha Berkuasa. Dengan adanya UPSR pula sindrom berlumba-lumba ke pusat tiusyen sudah menjadi suatu barah yang membahayakan sistem pendidikan kita.Seolah-olah guru dan sekolah sebagai sumber memberi ilmu dan pendidikan bagaikan menemui KEGAGALAN.Manakala andainya UPSR dimansuhkan maka kita bimbang mana-mana pihak baik dari SK ataupun SJK atau mana-mana sekolah persendirian akan membuat pengujian dan penilaian sendiri yang melangkaui batas-batas standard dan kurikulum pendidikan kebangsaan. Apapun TB berharap KPM dan semua pihak; termasuk kesatuan-kesatuan/persatuan keguruan/MPNPIBG berfikir semasak-masaknya jangan sampai; Nasi Sudah Menjadi Bubur; Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan