Salam Perjuangan

19 Ogos 2010

JANGAN TIUP API PERKAUMAN

Dipetik daripada HarakahDaily 18 Ogos 2010

…….Sementara itu, ketua penerangan PAS, Idris Ahmad berkata mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria perlu mendedahkan kandungan ‘perlembagaan baru’ yang didakwanya itu dan melaporkannya kepada polis untuk disiasat.
Mufti harus buat laporan polis

Beliau yang dipetik HarakahDaily berkata PAS terkejut dengan kenyataan Harussani bahawa ada pihak tertentu cuba menggantikan perlembagaan persekutuan bagi menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam perlembagaan sekarang.
“PAS mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis,” katanya.

Menurut Idris, PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan.

Malahan, jelasnya konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam telah bersepakat untuk mempertahankan perlembagaan persekutuan, Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera sejajar dengan perkara 153.

Selain itu, Pakatan juga berikrar mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau.

“Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama,” katanya.


TB: Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. TB akur Perlembagaan negara tidak ada cacat cela walaupun tidak sehebat perlembagaan Madinah semasa zaman Rasulullah S.A.W atau sekurang-kurangnya setanding dengan Kanun Melayu dalam kitab Sejarah Melayu. Walau apapun parti mana yang memerintah Malaysia, yang penting dan paling utama pelaksanaan apa yang terkandung dalam perlembagaan itu lebih penting bukan sekadar retorika, bukan hanya gula-gula politik. Perlembagaan yang sedia ada tidak usahlah diusik atau dicemari oleh apa jua anasir tetapi yang wajib ditentang ialah pengabaian pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Jikalau perkara 152 menyebut aspek mendaulatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara maka apa yang patut kita tentang ialah isu-isu pelaksanaan yang memperlekehkan kedudukan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sendiri. Begitu juga perkara-perkara yang menyentuh kedudukan dan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan agama lslam sebagai agama rasmi negara. Dari aspek pelaksanaannya apalah maknanya jika perkara yang menyentuh kedudukan dan hak istimewa Melayu hanya indah khabar dari rupa jika orang Melayu dan bumiputera kian jauh terpinggir dan diabaikan dari aspek pendidikan, kerjaya, ekonomi dan kesihatan. Kedudukan agama lslam wajib terpelihara daripada anasir-anasir liberalisme yang kian menular lantaran suara-suara demokratik yang tidak kena pada tempatnya.Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar…….

Tiada ulasan: