Salam Perjuangan

01 Jun 2011

TAKRIF BARU ELEKTRIK : JAMIN TIDAK BEBANKAN RAKYAT?

DATUK  Seri Najib Razak menegaskan kerajaan akan memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik pada masa depan tidak akan menjejaskan rakyat di samping menggalakkan penggunaan serta penerokaan tenaga alternatif di negara ini.

Perdana Menteri berkata, tarik elektrik ada kaitan dengan keadaan semasa dan realiti semakin banyak keperluan tenaga, termasuk gas yang perlu diimport mengikut harga pasaran.
“Kita akan kaji dari semasa ke semasa supaya apa yang kita lakukan itu setimpal dari segi beban kepada rakyat. Kali ini kita sudah tentukan 75 peratus daripada isi rumah tidak menghadapi kenaikan bil elektrik sama sekali di samping melaksanakan langkah menjimatkan tenaga,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Tindakan Belia 2011, di sini semalam.
Najib berkata, kerajaan memberi jaminan subsidi tenaga elektrik dirangka khusus untuk memberi manfaat kepada rakyat negara ini dan tidak sekali-kali bertujuan untuk memberi manfaat kepada Stesen Tenaga Bebas (IPP).

Katanya, pemberian subsidi itu akan disalurkan terus kepada rakyat menerusi tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan adalah salah untuk membuat andaian ia bertujuan meningkatkan keuntungan IPP.

“Ia adalah subsidi terus kepada pengguna menerusi tarif TNB. Adalah salah untuk menyatakan IPP mendapat manfaat daripada sejumlah tertentu subsidi ini,” katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan tarif elektrik bagi sektor domestik, komersial dan industri dinaikkan pada kadar purata sebanyak 2.23 sen per kilowatt sejam (kwj) daripada 31.31 sen/kwj kepada 33.54 sen/kwj berkuat kuasa, hari ini.
Ia dilakukan selaras keputusan kerajaan menyemak semula harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjung daripada RM10.70/MMBtu (unit termal British) kepada RM13.70MMBtu.

Bagaimanapun, kenaikan tidak membabitkan kira-kira 75 peratus atau 4.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kwj sebulan atau kurang.

Perdana Menteri berkata, semakan tarif elektrik itu dirangka bagi mengurangkan tarif elektrik kepada rakyat, kesan daripada pemberian subsidi ditanggung kerajaan.

“Jadi tidak timbul sebarang dakwaan menyatakan subsidi itu memberi manfaat kepada IPP,” katanya.

Beliau berkata, dalam menimbangkan aspek tarif elektrik kerajaan turut mengambil kira usaha menggalakkan pelaburan dalam bentuk cari gali gas dan minyak.

“Jika harga tempatan terlalu rendah, syarikat minyak termasuk PETRONAS tidak akan mendapat insentif untuk mencari punca gas dan minyak yang baru untuk keperluan tenaga negara,” katanya.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Najib menggariskan tiga kriteria yang perlu dipenuhi untuk mengupaya serta mengarusperdanakan inovasi dalam sektor awam

Berucap pada pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2010 di sini, malam tadi, beliau berkata, tiga kriteria inovasi itu ia perlu memberi impak besar; pengurangan kos atau nilai pada wang serta memendekkan tempoh pelaksanaan penyampaian kepada rakyat.

Kerjasama strategik dalam memperkasakan keselamatan dan pertahanan negara antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diumumkan sebagai pemenang AIPM 2010. (sumber : Bharian, 1/6/11)

Tiada ulasan: