Salam Perjuangan

24 Jun 2011

SIMPANG BEKOH DALAM NOSTALGIA


KAMI peniaga kecil Pekan Simpang Bekoh, Asahan, Melaka merayu pihak berkuasa sebelum merobohkan bangunan kedai kayu uzur di pekan itu untuk dinaik taraf, diharap sediakanlah lokasi sementara di tempat lain.
Jangan menutup periuk nasi peniaga kecil di pekan ini, tanpa menyediakan tempat ganti sementara untuk mereka.
Kami merayu pihak berkuasa yang membangunkan semula Pekan Simpang Bekoh dapat menyediakan bangunan kedai satu tingkat yang mampu dibeli oleh kami.(sumber: Anak Jati,
UM, 24/6/11)

TB akui Simpang Bekoh( pekan sempadan Melaka- Johor) yang terletak dalam daerah Jasin Melaka yang menghubungkan ke pekan Asahan dan Selandar serta bandar Tangkak,Johor begitu sinonim dengan tradisi dan kedamaian yang asli. Walaupun pekan ini satu-satu pekan yang masih dianggap pekan koboi tetapi kehidupan penduduk di sini agak harmonis. Walaupun terdiri daripada pelbagai keturunan baik majoritinya bangsa Melayu diikuti kaum-kaum lain seperti Orang Asli, Cina dan lndia namun kehidupan mereka saling hormati menghormati. Keturunan Cina ada kedapatan juga asal usulnya daripada keturunan Baba Cina Peranakan. TB masih ingat ketika anak-anak TB masih kecil (Hatta dan Haziq) selalu apabila pulang ke kampung sebelah ibunya sering mengambil peluang bergunting rambut di kedai gunting rambut Ah Pek (kini Ah Pek yang berasal dari China telah meninggal dunia;hampir 80  tahun umurnya) yang terletak betul-betul di persimpangan pekan Simpang Bekoh arah ke bandar Tangkak,Johor. Hatta dan Haziq begitu serasi bergunting kerana kerenah Ah Pek yang bijak melayani kanak-kanak dan agak bersabar ketika menggunting rambut kanak-kanak yang beraneka tingkah ragamnya. Tambahan pula harganya agak murah dua kali ganda jika dibandingkan kadar di Kuala Lumpur. Begitulah kenangan dan  nostalgia TB di Simpang Bekoh. Apapun jika ada perubahan kelak, biarlah tradisi pekan ini dikekalkan walaupun dalam arus pembangunan Melaka maju.

Tiada ulasan: