PERHIMPUNAN haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini jika diteruskan dikhuatiri menjadi medan perpecahan sesama orang Melayu yang terbesar dalam sejarah negara.
Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan berkata, lebih malang bagi orang Melayu ialah gelombang perpecahan itu berpunca daripada usaha memenuhi cita-cita politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum kesampaian.
Katanya, paling dibimbangi beliau ialah fakta sejarah yang telah membuktikan bahawa di mana-mana negara sekalipun, apabila kaum majoritinya bergaduh antara satu sama lain, ia akan menjadi titik permulaan kepada kehancuran sesebuah negara.
"Ahli Pas, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pergerakan Pemuda UMNO majoritinya orang Melayu, ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga ramai Melayu.
"Apabila mereka bertembung di jalanan, saya cukup risau kerana saya percaya bahawa perpaduan orang Melayu adalah kunci kepada perpaduan nasional," katanya yang menghubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Selain penyokong Bersih, turut dijadualkan berhimpun di ibu negara pada hari berkenaan ialah ahli Perkasa bagi menunjukkan protes kepada perhimpunan itu, selain ahli Pemuda UMNO yang mahu menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan apabila perpecahan orang Melayu semakin kritikal, ia akan mendorong kepada perpecahan antara kaum lain.
Katanya, selama ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh sebuah negara yang unik kerana rakyat berbilang kaum boleh menjalani kehidupan secara harmoni.
"Saya harap orang Melayu tidak salah anggap teguran ini kerana ia dibuat atas kapasiti warganegara yang prihatin.
"Cukup-cukuplah orang Melayu bersengketa atas faktor Anwar kerana hasilnya ialah kebinasaan malah saya sendiri pernah dipenjara kerana memperjuangkan individu ini," tegasnya.
Sewaktu ditanya bukankah perpecahan orang Melayu di atas faktor politik bukan perkara yang baru, Nallakaruppan mengakui ia pernah berlaku sebelum ini namun tidak kritikal.
"Dulu pun memang ada, UMNO lawan Pas dan Semangat 46 tetapi tatacaranya lain, mereka bertarung sebagai lelaki budiman dalam pilihan raya.
"Tetapi bermula 1998, senarionya berubah dengan permainan Anwar yang membawa rakyat ke jalanan, ini bukan kaedah yang bertamadun dan yang paling saya musykil ialah Pas sebagai parti Islam juga sudah terikut cara kotor ini," katanya.(sumber: UM,28/6/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan