TINDAKAN CUEPACS mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi kakitangan awam boleh disifatkan sebagai ugutan, walaupun ada pihak menganggapnya sebagai wajar. Kita percaya, ada di kalangan penjawat awam sendiri yang tidak bersetuju cara Presidennya, Datuk Omar Osman, yang seolah-olah mengambil kesempatan mengemukakan tuntutan pada ketika kerajaan berusaha menjayakan satu kaedah terbaik menggantikan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kakitangan awam, yang dimansuhkan Januari lalu. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pastinya sudah membuat penelitian rapi bagi memastikan PROSPEK dilaksanakan dengan telus, cekap dan berkesan agar tidak ada lagi penjawat awam yang berasa teraniaya dengan penilaian yang dibuat. Menerusi PROSPEK, kaedah penilaian kakitangan awam tidak lagi berasaskan peperiksaan, sebaliknya ditentukan panel penilaian berwibawa dianggotai ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat. Panel penilai akan bertukar setiap tahun bagi mengelak elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih. Sebagai tanda persetujuan, CUEPACS yang mewakili 1.2 juta penjawat awam di negara ini dan JPA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 19 Mei lalu untuk melaksanakan sistem penilaian baru itu. Kita percaya kedua-dua pihak dapat melihat kebaikan yang diperoleh berbanding sistem penilaian sebelum ini. Agak mengejutkan, apabila CUEPACS meletakkan lima tuntutan baru, antaranya menuntut supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan insentif bagi setiap kali kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK, sebagai prasyarat melaksanakan PROSPEK.
Justeru, kita tidak mahu melihat tuntutan CUEPACS itu sebagai satu ugutan terhadap kerajaan kerana perlunya hubungan baik antara penjawat awam dengan kerajaan. Apa yang kita mahu CUEPACS berbincang dengan JPA bagi memastikan tuntutan yang dikemukakan mereka sememangnya wajar dan dapat memberi manfaat kepada perkhidmatan awam. Kita percaya pada masa sama, JPA tentunya bersedia bertemu mereka untuk berbincang dan meneliti setiap perkara yang dituntut, seperti dinyatakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Kedua-dua pihak perlu melihat tuntutan ini sebagai usaha meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan kebajikan penjawat awam. Meskipun CUEPACS gagal dalam tuntutannya, mereka tidak sepatutnya kecewa atau terus mendesak sehingga mengeruhkan hubungan antara penjawat awam dan kerajaan sebagai majikan. Kita percaya JPA pastinya sedia membuat pertimbangan sewajarnya terhadap semua tuntutan itu berdasarkan peraturan sedia ada dan kemampuan kewangan kerajaan. Apa yang kita harapkan akan wujud situasi ‘menang-menang’ bagi kedua-dua pihak. Penjawat awam adalah nadi dalam urus tadbir dan pengurusan kerajaan. Oleh itu harus ada keikhlasan dan kesefahaman yang tinggi antara kakitangan awam dan kerajaan kerana mereka saling memerlukan. Jangan jadikan tuntutan baru Presiden CUEPACS itu sebagai halangan untuk melaksanakan PROSPEK, seperti yang direncanakan mulai 1 Julai ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan