Salam Perjuangan

07 Jun 2011

MELAKA OH MELAKA: BATAL BINA RUMAH 4 MUSIM

 

KERAJAAN  negeri terpaksa membatalkan hasrat untuk membina rumah empat musim di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini kerana penyelenggaraan bulanannya melibatkan kos yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latif Tamby Chik berkata, bagi menggantikan rumah empat musim itu, kerajaan negeri akan membina Taman Burung terbesar di negeri ini.

Menurutnya, selain Taman Burung, turut dibina calet, pesiar jalan kaki dan pembinaan landskap yang melibatkan kos sebanyak RM30 juta.

''Peruntukan ini telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan dan tender telah ditutup bulan lalu. Kita sedang meneliti kontraktor yang berkelayakan untuk membangunkan semula Taman Botanikal ," katanya selepas membuat lawatan ke Taman Buaya, Taman Tema Wonderland dan Dataran Sejarah Ayer Keroh .

Latif berkata, projek melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30 juta itu bertujuan menjadikan Taman Botanikal menjadi salah satu produk pelancongan terkenal di negeri ini.

Pada masa ini katanya, taman itu tidak dibangunkan secara menyeluruh menyebabkan ia kurang menjadi perhatian daripada pelancong dalam dan luar negara.

''Kita menjangkakan projek ini akan mula dibina secepat mungkin memandangkan peruntukan daripada kementerian telah diluluskan," ujarnya.

Mengenai lawatan yang diadakan hari ini, beliau berkata, beberapa kerja menaik taraf kemudahan awam, pesiar jalan kaki dan pentas Dataran Sejarah Ayer Keroh perlu dilaksanakan segera.

Ujarnya, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah memohon kepada kerajaan Pusat melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

Beliau menambah, RM1 juta diperlukan untuk membaikpulih pentas dan kawasan sekitar Dataran Sejarah Ayer Keroh, pembinaan tandas awam di luar Taman Buaya manakala RM500,000 lagi bagi pembinaan landskap.(sumber :UM, 7/6/11)

Tiada ulasan: