Salam Perjuangan

07 Jun 2011

BRUNEI DARUSSALAM: KARNIVAL SEJARAH 2011





Menteri Kebudayaan Belia Dan Sukan melancarkan Kanival Sejarah 2011.
DEMI  untuk mengukuhkan semangat berbangsa dan bernegara, peristiwa masa lalu negara bangsa perlu disebarluaskan kerana generasi muda perlu mengetahui dan mempunyai penghayatan sejarah kegemilangan bangsa serta liku-liku, jatuh bangun dan maju mundur yang dilalui oleh bangsa dan negara di dalam arus pembangunan sehingga kita mencapai kemerdekaan dan kedaulatan yang dinikmati masa kini.

Selain meneroka, mencari, menyelidik dan mendokumentasi usaha menyebarluaskan dan menyerapkan perolehan penyelidikan sejarah Brunei itu perlu berterusan tanpa henti kerana sejarah itu sendiri sentiasa berkembang berdasarkan penemuan-penemuan dalam penyelidikan.

Demikian tegas Menteri Kebudayaan Belia Dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair Haji Abdullah ketika berucap selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan Majlis Karnival Sejarah 2011 yang berlangsung di Pusat Penemuan Minyak Dan Gas (OGDC) dekat sini hari ini.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyeru supaya Pusat Sejarah akan terus berusaha mencari kaedah-kaedah baru sebagai pendekatan yang sesuai dengan kehendak dan keperluan masyarakat. Selain itu beliau juga berharap supaya karnival sejarah seumpamanya akan dilakukan secara berterusan dan dilaratkan ke sekolah-sekolah serta ke kampung-kampung di seluruh negara.

"Pendekatan yang digunakan untuk mengisi karnival juga perlu dicari supaya bersifat lebih kreatif, inovatif dan proaktif bagi memudahkannya 'menyerapi minda' setiap lapisan masyarakat di negara ini. Kita ingin melihat warga Brunei Darussalam celik sejarah bangsa dan negara, dan matlamat untuk merakyatkan sejarah itu dapat dicapai," katanya.
Sehubungan itu, tambahnya lagi KBS dengan kerjasama Pusat Sejarah akan menganjurkan 'Pertandingan Penuturan-Analisa Sejarah' bagi belia dan penuntut sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Dalam peraduan itu nanti para peserta bukan sahaja mengungkap peristiwa sejarah tetapi juga menghuraikan signifikannya kepada pembangunan dan pengukuhan bangsa yang berpegang kepada konsep Melayu Islam Beraja.

Karnival Sejarah 2011 yang bertema "Sayang Brunei" diadakan untuk memberigakan sejarah Brunei melalui pameran dan aktiviti antara lain bertujuan untuk menanamkan semangat cintakan Raja, negara, bangsa dan agama (MIB) melalui pameran dan aktiviti sosiobudaya, ianya juga adalah bagi menanamkan minat orang ramai terhadap sejarah tanah air dalam menempuh arus globalisasi.

Ia merupakan projek Pusat Sejarah yang julung-julung kalinya diadakan sebagai langkah membawa sejarah Brunei kepada masyarakat supaya mereka dapat bermesra dengannya.
Enam aktiviti disusun sepanjang karnival ber-langsung, antaranya pameran oleh Pusat Sejarah Brunei, Syarikat Minyak Shell Brunei, dan penduduk-penduduk kampung Daerah Belait, seterusnya panggung sejarah, diskusi sejarah, kuiz, permainan tradisi Puak Belait, persembahan budaya Puak Belait, kaedah penyelidikan sejarah, pesta makanan tradisi Puak Belait dan gerai jualan buku-buku dan produk kampung.

Ianya dibuka untuk kunjungan orang ramai selama tiga hari bermula hari ini, bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam. Sesuai dengan musim cuti sekolah penggal kedua orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung sambil membawa anak-anak mereka menyaksikan pelbagai pameran termasuklah panggung sejarah yang menayangkan filem-filem sejarah Brunei, legenda dan juga persembahan-persembahan kebudayaan.(sumber: Media Permata:7/6/11)

Tiada ulasan: