Salam Perjuangan

30 Jun 2011

MADINAH AL-MUNAWARAH: SALAM UNTUK RASULULLAH DI MASJID NABAWI








POLIS MENAHAN ANDA: KETAHUILAH HAK ANDA



1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS
1.1 Tidak Berpakaian Seragam,
Minta Pengenalan Diri Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; "Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda."
1.2 Kad Kuasa Polis
Merah: Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.
Lain-lain Warna:
• Biru: Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning: Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih: Polis Simpanan
Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.
1.3 Berpakaian seragam Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.
1.4 Kenderaan Peronda Polis Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.
2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN
2.1 PengenaIan DiriHanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.
2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"
2.3 Bilakah anda ditahan
Anda ditahan apabila anggota polis itu:
• menjawab "ya";
• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke Balai Polis; atau
• menggari anda.
Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.
2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap
Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).
3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN
3.1 Penyataan saksi/112 Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).
3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.
3.3 Membuat Pernyataan 112
Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.
• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan didalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.
3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda
 Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.
• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.
4. POLIS MENANGKAP ANDA
4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?" Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.
4.2 Jangan melawan semasa ditangkap Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.
4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?" Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.
4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.
Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).
Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
• masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.
4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap
 Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.
5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN
5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam
 Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.
5.2 Pakaian Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.
5.3 Barangan peribadi Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.
5.4 Kebajikan Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.
5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).
6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM
6.1 Siapakah Majistret Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada24 jam.
6.2 Tujuan Perintah Reman Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda.
6.3 Berapa lamakah Perintah Reman Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.
Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:
• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau
• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.
Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.
6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapans eorang Majistret untuk proses reman
Maklumkan kepada Majistret:
• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam, pusat bantuan guaman dan keluarga anda;
• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;
• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;
• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;
• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;
• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam tahanan.
6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat
 Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).
7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN
7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan
 Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.
7.2 Apa yang perlu dilakukan
• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.
• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.
• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/ saku/beg anda.
7.3 Hak-hak anda
• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:
 1. Bantah;
2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan
3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.
8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU
8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian
• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.
• Anda ditangkap.
• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.
8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan
Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-
1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah- pemeriksaan pakaian luaran.
2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.
3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.
4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan. 
8.3 Hak anda
• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.
• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa pemeriksaan dilakukan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP
9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda
 Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.
9.2 Hak anda untuk berdiam diri
Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."
9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan
 Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.
9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti
 Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda bolehmenggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan. (sumber:RED BOOK (BAHASA MALAYSIA))
PUSAT BANTUAN GUAMAN / LEGAL AID CENTRES (LAC)
• Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072
• Selangor : 03-5510 7007 / 03-3281 2428
• Negeri Sembilan : 06-6013 844
• Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514
• Johor : 07-2235 698
• Perak : 05-2550 523
• Kedah & Perlis : 04-7333 467
• Kelantan : 04-7448 660
• Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410
• Pulau Pinang : 04-2617 451/ 0 

29 Jun 2011

A.SAMAD SAID: SALAM PERJUANGAN BUAT SASTERAWAN NEGARA


SASTERAWAN  negara Datuk A Samad Said berkata, siasatan polis yang dijalankan ke atasnya hari ini menunjukkan puisi telahpun menjadi "satu senjata" dan bukan lagi satu hiburan semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa sedih ke atas tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan, sedangkan puisinya itu mengandung niat "murni."

"Apa yang saya lakukan ialah merakamkan satu peristiwa di mana saya fikir, untuk memperbaiki suasana, bukan untuk memperburukkan suasana.
NONE"Dalam puisi saya itu memang saya katakan kita sebenarnya perlu mempersuci demokrasi bukan memperkeruhkan atau mencemarinya.

"Dalam puisi itu adalah saranan-saranan yang saya fikir amat suci yang sepatutnya dihargai bukan dicurigai," katanya lagi ketika mengulas siasatan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan itu.

Beliau turut disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Tanpa menunjukkan rasa gentar, A Samad turut menepis pandangan bahawa tindakan pihak polis itu akan terus menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa.
"Barangkali (polis) memberi amaran, tapi itu kalau seorang sasterawan, ini sememangnya lebih mendorongnya, menaikkan semangatnya oleh kerana mereka mulai tahu kesusasteraan mempunyai kuasa juga.

"Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa," katanya lagi ketika ditemui selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Siasatan hari ini merupakan tindakan kedua ke atas A Samad selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Terdahulu ketika dihubungi Malaysiakini, A Samad berkata ucapan berkenaan turut dimuatkan di laman blog peribadinya – samadsaid.wordpress.com.
Ucapan berkenaan antara lainnya menyentuh mengenai gambaran media arus perdana ke atas kumpulan BERSIH 2.0.

"Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal.

"Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan 'siasah' yang sangat bercita-cita buruk.

"Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat," ucapan itu dipetik.(sumber:MK, 28/6/11)



UNGGUN-BERSIH


Semakin lara kita didera bara -
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita - demokrasi luka;
lama duka kita - demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

A Samad Said


KISAH ISTERI YANG HILANG


Begini ceteranya:
Aku kehilangan sebahagian waktuku
Yang kupindahkan sebahagian hidupku
Ketika manusia menemui yang palsu
Betapa aku bagai awan terapung
Kerana pelangi petang yang kau kejari

Fikirmu fikirku berputar kelabu
Antara kita mencakar dinding kelabu
Kutahu budimu sepesisir laut biru
Dan kubaca surat-suratmu pada mentari
Namun lampu-lampu di jalanan malam
Seakan pudar sepi membisu

Di kamar yang kini sendu
Kucari dirimu saban waktu
Kucari dirimu jua di celah lipatan jendela
Seakan bayangmu mewarnai kelmarin
Aku mengejar berlari mencari
Hilang kejauhan malam yang dingin

Di antara bulan dan mentari itu
Kubaca lagi surat-surat birumu
Kutahu antara kita selaut budi bersemi
Telah kita jejaki impian dan realiti
Mengutip kerikil dan kristal meniti

Tiba-tiba perjalanan indah kita berbalam
Air mata perkasa lelakiku kering luluh
Terbenam dalam silauan kelam
Dalam kamar seribu getar dingin suram
Kudengar suaramu berulang menghantui mata hatiku

Namun nafasku kini masih mengejar kalimah ya Rabbi
Segar bicara tasbih kasih mesra sejati abadi
Dan menjadi aku kejap melangkah kembali
Biarpun kau tidak di samping doaku kini
Kutidak pasti di manakah pusaramu bersemadi.

RAJIEE HADI,
Bandar Baru Bangi,SDE.
2004-2005.

*Puisi di atas tidak ada kena mengena dengan sesiapapun; baik yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.Jika ada persamaan atau sebaliknya hanya merupakan suatu kebetulan sahaja.(TB).Telah disiarkan dalam TBD pada 21 Jun 2011 lalu.

28 Jun 2011

MELAYU OH MELAYU: USAH BERGADUH SESAMA SENDIRI!


PERHIMPUNAN  haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini jika diteruskan dikhuatiri menjadi medan perpecahan sesama orang Melayu yang terbesar dalam sejarah negara.

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan  berkata, lebih malang bagi orang Melayu ialah gelombang perpecahan itu berpunca daripada usaha memenuhi cita-cita politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum kesampaian.

Katanya, paling dibimbangi beliau ialah fakta sejarah yang telah membuktikan bahawa di mana-mana negara sekalipun, apabila kaum majoritinya bergaduh antara satu sama lain, ia akan menjadi titik permulaan kepada kehancuran sesebuah negara.

"Ahli Pas, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pergerakan Pemuda UMNO majoritinya orang Melayu, ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga ramai Melayu.

"Apabila mereka bertembung di jalanan, saya cukup risau kerana saya percaya bahawa perpaduan orang Melayu adalah kunci kepada perpaduan nasional," katanya yang menghubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Selain penyokong Bersih, turut dijadualkan berhimpun di ibu negara pada hari berkenaan ialah ahli Perkasa bagi menunjukkan protes kepada perhimpunan itu, selain ahli Pemuda UMNO yang mahu menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan apabila perpecahan orang Melayu semakin kritikal, ia akan mendorong kepada perpecahan antara kaum lain.
Katanya, selama ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh sebuah negara yang unik kerana rakyat berbilang kaum boleh menjalani kehidupan secara harmoni.

"Saya harap orang Melayu tidak salah anggap teguran ini kerana ia dibuat atas kapasiti warganegara yang prihatin.
"Cukup-cukuplah orang Melayu bersengketa atas faktor Anwar kerana hasilnya ialah kebinasaan malah saya sendiri pernah dipenjara kerana memperjuangkan individu ini," tegasnya.
Sewaktu ditanya bukankah perpecahan orang Melayu di atas faktor politik bukan perkara yang baru, Nallakaruppan mengakui ia pernah berlaku sebelum ini namun tidak kritikal.

"Dulu pun memang ada, UMNO lawan Pas dan Semangat 46 tetapi tatacaranya lain, mereka bertarung sebagai lelaki budiman dalam pilihan raya.

"Tetapi bermula 1998, senarionya berubah dengan permainan Anwar yang membawa rakyat ke jalanan, ini bukan kaedah yang bertamadun dan yang paling saya musykil ialah Pas sebagai parti Islam juga sudah terikut cara kotor ini," katanya.(sumber: UM,28/6/11)

27 Jun 2011

PARTI KOMUNIS MALAYA: ADAKAH KITA PEKA ELEMEN YANG MENULAR?

DI PAPARAN dada akhbar-akhbar hari ini (27 jun 2011) dilaporkan pihak PDRM telah menahan beberapa pemimpin utama dan para pengikutnya daripada sebuah parti pembangkang (Parti Sosialis Malaysia) yang dikatakan sedang berkonvoi dari Sungai Siput,Perak menuju ke Pulau Pinang bagi mempromosikan Perhimpunan Bersih (perhimpunan haram?) yang kononnya bakal diadakan di Kuala Lumpur pada  9 Julai ini.

Atas kecekapan PDRM, berberapa bahan bukti yang dikatakan mengandungi elemen mengagung-agungkan komunisme ialah termasuk beberapa t-shirt berwarna merah yang dikatakan dicetak tertera wajah Chin Peng, Abdullah CD, Suriani Abdullah dan Rashid Mydin di samping pemimpin-pemimpin sosialis dunia yang lain.

Apakah isu sampingan daripada insiden ini? lngat, pencegahan adalah lebih baik daripada pengubatan.Pada asalnya tujuan Himpunan Bersih yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang khususnya PAS adalah untuk menuntut SPR dan kerajaan melaksanakan suatu sistem pilihan raya yang telus,berintregiti dan diyakini semua pihak.Jika perhimpunan untuk menyuarakan keluh- kesah rakyat yang kian tertindas dan terhimpit dek kenaikan tarif elektrik, bahan api, harga barangan keperluan, harga rumah yang tidak terkawal, projek kerajaan yang berorientasikan kapitalisme dan perkara-perkara lain yang membabitkan kebajikan rakyat tentu semua pihak akan menyokong seratus peratus.

Namun apa yang mendukacitakan, Himpunan Bersih yang dicadangkan ini telah dimanipulasikan seluas-luasnya oleh semua pihak yang berkepentingan untuk tembolok selera politik masing-masing. Bahkan mula timbul unsur-unsur perkauman,keagamaan dan sebagainya. Apa sudah jadi? Ada pihak yang mahu menangguk di air keruh. Ada juga gunting dalam lipatan. Natijahnya jadilah seperti api dalam serkam kini.

Sehubungan penahanan ahli-ahli PSM; mari kita renung-renungkan dan sama-sama refleksi senario elemen komunisme dan sosialisme dalam negara kita akhir-akhir ini.Jika pada era sebelum 1980-an tentu kita ingat ada saudara-saudara kita baik yang berkhidmat dalam PDRM (Polis Hutan) atau  ATM terpaksa meninggalkan anak-anak isteri bahkan ada yang terus 'ghaib' dalam hutan-hutan rimba di perbatasan Malaysia-Thailand, Malaysia-Kalimantan kerana memburu dan memerangi saki baki pengganas-pengganas komunis pertubuhan haram PKM dan Paraku sehinggalah perletakan senjata peperangan gerila ditamatkan dengan termetrai perjanjian damai perletakan senjatan pada tahun 1980-an.Namun isunya; dengan dasar keterbukaan kerajaan sekarang semuanya boleh memungkinkan segala:

1.Bahan-bahan bercetak seperti buku-buku biografi tentang apa yang dikatakan tokoh-tokoh PKM dan pejuang-pejuang kiri seperti Chin Peng, Rashid Mydin, Suryani Abdullah dan ramai lagi yang dijual cetak secara bebas di toko-toko buku tempatan; baik dalam Bahasa Melayu, bahasa lnggeris mahupun dalam bahasa Mandarin.Bagi mereka yang berpengetahuan membaca dengan daya intelektual mungkin tidak menjadi kesalahan. Tetapi bayangkan bagi mereka khususnya generasi muda yang membaca dengan fikiran yang selapis; bahaya dan memudaratkan minda mereka.
2. Dasar terbuka kerajaan yang mengizinkan berbondong-bondong rakyat dari negara-negara komunis khususnya dari Republik Rakyat China Komunis yang datang masuk ke Malaysia dengan pelbagai tujuan tanpa sekatan. Tidak mustahil fahaman-fahaman komunisme boleh diseludup secara halus melalui unsur-unsur chauvinisme sempit.
3. Kunjungan bebas rakyat Malaysia ke negara RR China  juga bukan mustahil boleh membawa balik elemen dan simpatis kepada perjuangan komunisme. Penulis/TB pernah berpengalaman berkunjung ke Negara China beberapa tahun dahulu. Semasa di Beijing, penulis temui beberapa orang yang cuba menyogokkan sama ada menjual atau secara percuma buku-buku ideologi komunis dan maoisme kepada TB.Namun TB menolak dengan baik.

Baiklah, mari kita sama-sama refleksi. (TB)

26 Jun 2011

AMBIGA OH AMBIGA !


Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu diminta meneliti siapa sebenarnya Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum mengikut telunjuknya yang meminta rakyat mengadakan perhimpunan haram 9 Julai ini.
Penganalisis politik berpendapat orang Melayu harus melihat kembali sejarah tindak tanduk Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam terutamanya orang Melayu di negara ini sebelum secara membuta tuli mengikut kehendak dan telunjuknya.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001. Majlis Peguam telah menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga telah mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.

Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincangkan dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan daripada orang Islam, namun Majlis Peguam yang diterajui oleh Ambiga tetap meneruskan forum tersebut.

Justeru penganalisis politik berpendapat tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuai oleh Ambiga.

Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datin Paduka Prof. Dr. Ramlah Adam berkata sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan perlembagaan negara.
"Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit daripada pihak polis maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak," katanya kepada Bernama.

Tegasnya, keperluan menganjurkan perhimpunan haram itu juga tidak jelas kerana jika penganjur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menggunakan saluran yang betul seperti membuat kenyataan di surat khabar dan media elektronik dan bukannya mengadakan demonstrasi haram.
Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr. Zainal Kling pula menyifatkan golongan yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin termasuk Ambiga.

Katanya, mereka terlampau mengikut parti tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing.
"Lebih baik buat tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan NGO. Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik) terutama orang awam tentang kacau bilau dalam parti seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka," katanya.

Zainal menyifatkan tujuan perhimpunan haram itu adalah semata-mata untuk melindungi "kekotoran" dalam parti pembangkang.

"Mereka sedang cuba melahirkan keadaan kacau bilau, huru hara dan anarki yang semua ini berniat memberi isyarat buruk di mata dunia dan meniru taktik yang sedang dilakukan oleh negara yang menghadapi huru-hara," katanya. — BERNAMA.( petikan MM,26/6/11)

TB pun sudah lama mendapat maklumat ini.Namun TB percaya setiap individu ada alasan tersendiri. Namun apa jua yang berkaitan dengan lslam, TB amat berharap PAS wajib menyatakan pendirian yang tegas berkaitan hubungannya dengan Ambiga. Ambiga juga wajar menyatakan pendiriannya berhubung penglibatannya masa lalu dan masa terkini. Biarlah jelas agar kita dapat menikmati demokrasi yang telus dan tulus.

PERUT BUNCTI: BUANGLAH LEMAK ANDA


MASALAH perut buncit dan sembelit adalah kesan daripada cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Ia merupakan satu kesilapan sekiranya anda membiarkan perkara ini terjadi. Ini kerana perut buncit tidak akan hilang dengan sendirinya malah saiznya akan bertambah sekiranya tidak diberikan rawatan. Perut buncit dan sembelit juga boleh mencacatkan penampilan malah boleh memudaratkan kesihatan.

Oleh itu, pelbagai cara dicuba bagi menyisihkan lemak didalam badan. Masalah lemak banyak terkumpul pada seseorang kerana faktor pemakanan. Ramai yang mengalami masalah perut buncit bukan saja bagi wanita yang telah melahirkan anak malah remaja juga. Ini kerana sistem penghadaman yang tidak betul, sukar membuang air besar dan banyak mengambil makanan yang berlemak.

Dalam pada itu, wanita yang pernah melahirkan anak sering berhadapan masalah perut buncit kerana lemak yang terkumpul semasa proses kehamilan bertambah setelah bersalin. Jika tidak dijaga, perut yang membuncit akan bertambah besar dari hari ke hari. Lebih memalukan jika ada yang tidak secara sengaja bertanya adakah anda hamil. Ada juga yang cuba menutupi perut yang buncit dengan memakai baju yang besar saiz ukurannya. Bagaimanapun, setiap orang pasti akan selesa serta penuh keyakinan dan gembira jika perut yang buncit dapat dikempiskan.
Bagi menyingkirkan lemak berlebihan di bahagian perut, anda boleh mencuba minuman fiber untuk menyahkan toksin dan meningkatkan kadar metabolisma badan. Hasilnya lemak badan dapat dibakar dengan lebih berkesan agar anda tampil langsing sihat dalam masa yang diinginkan.

Antaranya, sejenis minuman IZ Fiber yerbentuk minuman campuran Organic Apple Fiber. IZ Fiber adalah sejenis minuman yang bertindak membuang lemak berlebihan dan melawaskan pembuangan serta membantu merawat sembelit tanpa cirit-birit.

Pengambilan produk IZ Fiber boleh membantu anda mendapatkan badan yang langsing dan masalah perut buncit tiada lagi kelihatan. Iabegitu efektif didalam mengatasi masalah lemak yang berlebihan.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai rawatan dan produk ini boleh hubungi kami di 012-2215942 / 019-3135942 / 03-40225942 atau layari laman web diwww.izfiber.com. (sumber:MM, 26/6/11)

25 Jun 2011

TERIMA KASIH HOSPITAL SERDANG





MELAYU: BERAPAKAH BAKI TANAH MILIK MELAYU?


MINGGU lalu ketika melintasi kawasan bendang atau sawah padi di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, kelihatan anak-anak padi yang subur menghijau.

Syukurlah masih ada yang sanggup mengerjakan sawah ketika lebih ramai anak muda hanya berminat berada di bilik berhawa dingin walaupun sekadar operator pengeluaran.
Tidak pasti berapa lama tanah itu mampu bertahan sebagai sawah kerana di satu kawasan berhampiran jalan besar dan tali air, sawah itu sudah ditambak. Sebuah banglo juga sedang dalam pembinaan. Masih ada ruang kosong di situ yang khabarnya dijadikan tanah lot untuk dijual bagi membina rumah.

Di sebelah sawah yang sudah ditambak itu, masih kelihatan anak-anak padi yang sedang membesar. Adakah tanah itu mampu bertahan sebagai sawah? Lambat laun ia pasti mengikut ‘jirannya’ yang sudah ditambak dan bertukar status - tanah pertanian kepada perumahan - malahan mungkin akan bertukar pemilik. Sebenarnya pemandangan sebegini sudah menjadi lumrah. Dulu sawah terbiar disebabkan tidak ada yang sanggup mengerjakannya. Ketika itu tanah terbiar akan bertukar menjadi kolam ikan, udang atau ditanam kelapa sawit. Kini tanah yang masih boleh dikerjakan itu juga sudah menjadi ‘buruan’ untuk ditukar statusnya.

Di kawasan Parlimen Permatang Pauh misalnya sudah lama sawah terbiar dan sesetengahnya masih subur telah dibangunkan dengan projek perumahan, kedai, pejabat, pusat membeli-belah dan institusi pendidikan. Ada juga sawah bertukar menjadi jalan raya atau lebuh raya. Akhirnya saiz tanah sawah atau dikategorikan sebagai tanah pertanian yang kebanyakannya dimiliki orang Melayu semakin mengecil. Ini bermakna hak milik tanah orang Melayu terus berkurangan. Pada masa sama, tanah yang mampu menghasilkan makanan semakin berkurangan sementara jumlah penduduk termasuk yang tinggal di bekas tanah pertanian itu kian bertambah. Mereka juga memerlukan makanan.

Mungkin secara sinis kita boleh berkata, berapa sangat hasil tanah pertanian itu? Lebih baik kita mengimport makanan dari luar. Tetapi apabila harga makanan naik kerana diimport, maka siapakah yang akan mengeluh? Ketika negara pengeluar menghadapi bencana yang menyebabkan bekalan mereka juga berkurangan, kita juga gelisah. Ketika itu negara pengeluar makanan ini boleh ‘meletak harga’. Kita boleh membina kilang membuat makanan di atas tanah sawah tetapi tidak ada kilang mengeluarkan padi tiruan untuk dijadikan beras.

Hakikatnya, tanah terus berkurangan. Semakin ‘tua’ bumi ini, maka semakin berkurangan tanah - dihakis oleh pembangunan dan dihakis oleh pelbagai faktor alam. Mungkin inilah sebabnya kawasan pantai terpaksa ditambak untuk menambah keluasan tanah bagi tujuan pembangunan tetapi sekali lagi, kerja-kerja menambak itu juga memerlukan tanah. Akhirnya bukit bukau ditarah untuk menambak kawasan laut. Begitulah pusingan yang berlaku terhadap tanah di muka bumi ini.

Kembali ke Pulau Pinang, pegangan tanah Melayu di negeri itu juga semakin mengecil. Menurut satu laporan, ‘hakisan’ berlaku akibat tanah digadai termasuk kepada bukan Melayu atas pelbagai sebab. Tidak terkecuali kerana masalah hutang. Jika tidak tergadai kerana hutang pun, tanah Melayu hilang atas nama pembangunan. Baru-baru ini di daerah Timur Laut (sekitar kawasan Georgetown), dilaporkan tanah kubur pun turut diteroka untuk pembangunan. Akhirnya tanah perkuburan orang Islam juga semakin mengecil.

Justeru Melayu jangan cepat lupa diri lebih-lebih lagi apabila mereka mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Ada sesetengah waris menjadi ‘gelap mata’ setelah mereka mendapat tanah pusaka sehingga akhirnya tanah itu terlepas ke tangan orang lain. Sikap tamak juga membelenggu golongan ini. Jika dulu tanah yang diteroka oleh nenek moyang dikongsi bersama untuk mereka sekurang-kurangnya membina rumah atau bercucuk tanam, kini tanah itu mahu dipecah dan dibahagikan mengikut waris. Akhirnya tanah itu menjadi kecil dan kemungkinan terlepas ke tangan orang lain. Kerana merebut tanah pusaka, ada juga saudara mara yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

Orang sebegini sepatutnya malu kepada diri sendiri kerana hanya bergantung kepada tanah nenek moyang. Di tanah yang diwarisi itulah mereka membina rumah walaupun dalam keadaan sesak dan memusnahkan alam. Mereka tidak mampu membeli walau sebuah rumah apatah lagi sebidang tanah di kawasan lain yang dapat menambah pemilikan tanah atau harta keluarga yang diwarisi. Berapa ramai daripada kita mampu membeli tanah untuk menambah stok tanah yang diterokai keluarga terdahulu?

Ketika tanah yang diwarisi dibahagikan dalam jumlah yang kecil dan pada masa yang sama tidak ada penambahan stok tanah dilakukan, apakah yang bakal diwarisi generasi seterusnya? Lebih malang lagi apabila tanah itu terjual kepada orang lain. Ketika itu ke mana anak-anak cucu kita akan tinggal? Nak lari ke dalam hutan? Itu pun jika masih ada hutan dan hutan itu pula tidak menjadi milik sesiapa. Hari ini, boleh dikatakan setiap inci tanah sudah ada pemiliknya. Cuma apa yang akan berlaku ialah pertukaran hak milik daripada tangan A kepada B. Lebih malang lagi atas nama pembangunan, tanah itu akan terlepas juga. Pada era ini, kebanyakan tanah yang diambil tidak diganti dengan tanah sebaliknya ditukar kepada wang tunai atau mendapat sebuah rumah. Pertukaran hak milik juga berlaku apabila ada projek terbiar di tanah Melayu jatuh ke tangan orang lain. Begitulah hakisan pemilikan tanah yang melibatkan Melayu.
Di atas kertas, kita sudah hilang Tanah Melayu dan jangan sampai tanah yang menjadi milik Melayu akan turut lenyap dalam peredaran masa yang semakin mencabar ini. Mungkin jika tidak diawasi, suatu hari nanti tanah wakaf juga hanya tinggal nama. Jika dosa pahala, syurga neraka boleh diberi pelbagai tafsiran, inikan pula tanah wakaf. Ketika itu benarlah ‘bumi dipijak milik orang’. Semoga orang Melayu Islam tidak menerima nasib seperti Osama Bin Laden yang ‘dikuburkan’ di dalam laut.
(sumber: Hassan Mohd.Nor,UM,25/6/11)

TB sudah lama mengharapkan UMNO dan PEMUDA UMNO (apakah tidak boleh diharapkan lagi?)apabila tiba mesyuarat agung ada para perwakilan membentangkan statistik tentang hak milik tanah orang-orang Melayu yang berbaki kini khususnya tanah-tanah pusaka dari hujung Perlis hingga ke Pengerang, Johor serta Sabah dan Sarawak. Kajian juga harus menyeluruh tentang tanah-tanah rezab Melayu yang kian berkurangan dek kononnya atas slogan pembangunan. Selidiklah wahai UMNO jika benar-benar UMNO ini memperjuangan dan menjaga kepentingan orang-orang Melayu dan bumiputera. Hal ini termasuk juga mendedahkan data terkini peratusan orang-orang Melayu yang berjaya dalam profesional baik dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan guamam. Melayu tidak boleh leka dan khayal dengan dogma dan retorika 'Satu Malaysia', bisnes dan perindustrian serta pelbagai frasa yang muluk-muluk. Jika UMNO sudah tidak boleh diharap maka PAS, TB harap dapat menyahut cabaran ini; selidik,kaji dan dedahlah sebelum menjelang PRU ke-13 ini. hubaya..hubaya..hubaya..salam perjuangan!.



24 Jun 2011

SIMPANG BEKOH DALAM NOSTALGIA


KAMI peniaga kecil Pekan Simpang Bekoh, Asahan, Melaka merayu pihak berkuasa sebelum merobohkan bangunan kedai kayu uzur di pekan itu untuk dinaik taraf, diharap sediakanlah lokasi sementara di tempat lain.
Jangan menutup periuk nasi peniaga kecil di pekan ini, tanpa menyediakan tempat ganti sementara untuk mereka.
Kami merayu pihak berkuasa yang membangunkan semula Pekan Simpang Bekoh dapat menyediakan bangunan kedai satu tingkat yang mampu dibeli oleh kami.(sumber: Anak Jati,
UM, 24/6/11)

TB akui Simpang Bekoh( pekan sempadan Melaka- Johor) yang terletak dalam daerah Jasin Melaka yang menghubungkan ke pekan Asahan dan Selandar serta bandar Tangkak,Johor begitu sinonim dengan tradisi dan kedamaian yang asli. Walaupun pekan ini satu-satu pekan yang masih dianggap pekan koboi tetapi kehidupan penduduk di sini agak harmonis. Walaupun terdiri daripada pelbagai keturunan baik majoritinya bangsa Melayu diikuti kaum-kaum lain seperti Orang Asli, Cina dan lndia namun kehidupan mereka saling hormati menghormati. Keturunan Cina ada kedapatan juga asal usulnya daripada keturunan Baba Cina Peranakan. TB masih ingat ketika anak-anak TB masih kecil (Hatta dan Haziq) selalu apabila pulang ke kampung sebelah ibunya sering mengambil peluang bergunting rambut di kedai gunting rambut Ah Pek (kini Ah Pek yang berasal dari China telah meninggal dunia;hampir 80  tahun umurnya) yang terletak betul-betul di persimpangan pekan Simpang Bekoh arah ke bandar Tangkak,Johor. Hatta dan Haziq begitu serasi bergunting kerana kerenah Ah Pek yang bijak melayani kanak-kanak dan agak bersabar ketika menggunting rambut kanak-kanak yang beraneka tingkah ragamnya. Tambahan pula harganya agak murah dua kali ganda jika dibandingkan kadar di Kuala Lumpur. Begitulah kenangan dan  nostalgia TB di Simpang Bekoh. Apapun jika ada perubahan kelak, biarlah tradisi pekan ini dikekalkan walaupun dalam arus pembangunan Melaka maju.

HOSPITAL SERDANG: DOKTOR DAN STAF MASIH ADA ETIKA DAN PROFESIONALISME?


BULAN lepas sewaktu saya ( pengadu) sedang menjalani rawatan angiogram (rawatan memeriksa saluran jantung) di Hospital Serdang, doktor yang bertugas menyatakan salah satu saluran jantung saya tersumbat.
Walaupun ia boleh menggunakan belon, namun atas nasihat pakar, beliau mengesyorkan penggunaan alat stent buatan Perancis lebih praktikal, dengan kos RM5,500.

Persoalannya, kenapa sewaktu dalam operasi begini, ketika seorang pesakit sedang memperjuangkan nyawa, soal jawab yang membabitkan wang diajukan oleh doktor tersebut kepada saya, sedangkan sebarang kemungkinan akan berlaku pada saya yang menyebabkan komplikasi.

Hampir satu jam di bilik pembedahan, dalam situasi cemas dan gelisah, akhirnya operasi memasukkan tiub di saluran jantung selamat dijalankan melalui paha kanan tanpa pembedahan, kemudian katil saya diasingkan di satu sudut.
Tidak sampai lima minit, tiba-tiba saja datang seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ejen pembekal stent (tiub), lantas menyuruh saya menandatangani satu borang.
Sedangkan bilik pembedahan kardiologi ini tidak membenarkan sesiapa pun masuk, walau keluarga terdekat sekalipun.

Tertanya di fikiran saya, kenapa beliau bebas memasuki bilik pembedahan ini? Dan kenapa cepat sekali ejen tersebut boleh sampai kepada saya?
Dalam keadaan separuh kewarasan, keletihan akibat kekurangan darah dan berpuasa hampir 24 jam, sebagai warga tua (53 tahun) saya masih sempat membaca dokumen tersebut. Sistem pembayarannya adalah berperingkat sehingga akhir tahun ini, tanpa syarat-syarat lain. Akhirnya, saya menyetujui prasyarat tersebut.
Tetapi, selepas tiga hari saya keluar dengan kesihatan jantung semakin pulih, rupanya tidak berpanjangan, kini jantung saya 'kembali sesak', ejen tersebut sudah mula memanggil saya bertanyakan pembayaran. Walaupun alasan saya untuk membayarnya dalam masa sebulan lagi (selepas saya benar-benar sihat) namun ugutan diberikan amat memeranjatkan.

Menurutnya, beliau akan mengenakan 10 peratus cas tambahan bagi setiap bulan atas kelewatan (semua kenyataan ugutan SMSnya dalam simpanan saya).
Seminggu kemudian, ejen tersebut menghubungi saya lagi, kali ini jika saya tidak membuat sebarang bayaran dalam seminggu, nama saya akan disenaraihitamkan oleh Hospital Serdang. Kini fikiran saya benar-benar terganggu akibat kejadian ini.
Untuk pengetahuan pihak Kementerian Kesihatan, sahabat yang satu wad dengan saya ketika di hospital, terpaksa menjual kereta Kancil dengan harga RM16,500, untuk membeli tiga stent, demi tiga saluran jantungnya yang tersumbat.
Walaupun kereta itu terlalu penting untuk beliau berniaga. Ini disebabkan pihak ejen bertali arus memanggil beliau untuk membuat bayaran.

Sebagai warga tua yang telah berjasa kepada pembangunan Malaysia, melalui penulisan dan produksi dokumentari, saya rasa kejadian ini amat mendukacitakan.Sebahagian dari umur ini masih lagi berkhidmat dalam dunia kewartawanan demi menyokong cita-cita kerajaan, tapi terasa satu penghinaan oleh pihak hospital kerajaan juga.
Walaupun isteri saya seorang kakitangan kerajaan (guru), namun saya tidak memerlukan surat sokongan untuk mengurangkan ataupun melupuskan bayaran ini.

Sebagai seorang individu yang boleh bekerja lagi, bayaran ini akan saya lunaskan daripada titik peluh saya, masih banyak pesakit lain yang memerlukan peruntukan kewangan sebanyak itu (RM5,500).
Di sini saya ingin penjelasan dari pihak pengurusan Hospital Serdang, khasnya Menteri Kesihatan, di manakah slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan?

Di manakah hak hospital sehinggakan pihak ejen tersebut berhak 'menyenarai hitam' pesakit? Apakah pihak Kementerian Kesihatan peka tentang kejadian ini, sehingga ada pihak luar mendominasikan situasi ini?
Harapan saya, kelemahan ini dapat diperbaiki demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi saat-saat mautnya di mana-mana hospital kerajaan. (sumber:  Warga Emas, Puchong, Selangor DE, UM,24/6/11)