Salam Perjuangan

14 Januari 2011

UMNO+Pas= Melayu+Islam
Kata orang, UMNO itu pertubuhan politik Melayu, berlandaskan perjuangan kebangsaan Malaysia bukan kepentingan Melayu semata-mata. UMNO bukan parti perkauman, Pas juga dikatakan orang, pertubuhan politik Melayu, berjuang menegakkan syariat Islam merentasi citra kebangsaan (entahkan kebangsaan Melayu atau kebangsaan Malaysia). UMNO dan Pas diterajui tokoh-tokoh pemimpin politik Melayu beragama Islam. Keahlian UMNO kini terbuka kepada bangsa serumpun Melayu lain, yakni suku bangsa di Sabah. UMNO ikut dianggotai keturunan India Muslim dan lain yang jadi Melayu menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Di dalam Pas juga ada ahli-ahlinya daripada kaum lain beragama Islam, seperti orang keturunan Cina dan India-Pakistan. Jadi landasan Melayu dan Islam atau Islam dan Melayu adalah asas kekuatan UMNO dan Pas.

Di Malaysia, Melayu itu Islam dan Islam itu sinonim dengan Melayu. Kalau diperhitungkan, maka UMNO+Pas = Melayu + Islam atau Pas + UMNO = Islam + Melayu. Islam menuntut pengukuhan ukhuwah atau persaudaraan Islam. Kenapa jadinya sampai berbalah dan kesan dahsyatnya kepada orang kampung, sampai tidak bertegur sapa, solat dua imam, dan macam-macam? Melayu, oh Melayu, sedangkan orang lain tidak henti-henti mengaut kemakmuran di bumi asal Melayu. Mereka itu pula sesekali bangkit bercita-cita merombak teras dan tonggak-tonggak kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di negara-negara Islam lain seperti Arab Saudi, Mesir, Qatar atau Bahrain, mereka adalah Islam tetapi bukan Melayu. Keadaan itu samalah dengan India, Pakistan, Iran yang mungkin ada cara mereka sendiri dalam perjuangan politik kebangsaan. Pakistan ditegakkan sebagai sebuah negara kebangsaan berideologikan Islam. Almarhum Muhammad Ali Jinnah berjasa besar kerana berjaya membentuk sebuah negara bangsa, bertunjangkan bangsa dan Islam. Pakistan wujud terpisah dari India, walaupun mereka itu sama keturunan nenek-moyang, sama bangsa dan sama ras. Pas semasa Allahyarham Profesor Zulkifli Muhamad, Dr Burhanuddin Helmy dan tokoh-tokoh lain tidak pula meninggalkan perjuangan kebangsaan Malaysia. Mereka cuma mahukan kepastian yang mana dahulu, antara kebangsaan dengan Islam itu.

Melayu oh Melayu, tidak sedarkah kita akan kedaifan bangsa dan ketinggalan diri dalam pendidikan, ekonomi, dagang, milik harta dan sebagainya. Melayu di kampung, mungkin gembira kerana ada tanah berekar-ekar, sawah dan kebun. Harga seekar mungkin RM20,000, melainkan ditukar taraf menjadi tapak rumah atau industri. Nilai bagi lot 6,000 kaki persegi boleh mencecah RM60,000 (RM10 sekaki persegi) sekitar 1 kilometer di Pasir Puteh atau tidak jauh dari Kota Bharu. Itu tidak besar. Di Kuala Lumpur, sekitar Bukit Damansara, harganya antara RM300 hingga RM500 per kaki persegi. Maknanya satu lot tapak rumah bernilai RM1.8 juta hingga RM3 juta dengan keluasan sama. Pola sama mungkin kedapatan di kota-kota seperti Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu. Kota-kota bukan didominasi orang Melayu dan bumiputera. “Kasihan”. Apa? “Kasihaaan”, ungkap Mohd Rafi, dalam filem Madu Tiga Allahyarham Tan Sri P Ramlee. “Kasihan”… Melayu bercakaran, luka luar dalam, terluka hati dan perasaan.

Pada awal Januari lalu ada berita gembira. Beritanya dibawa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau mengesahkan ada pertemuan pada 24 Disember 2010, di Istana Terengganu, Kuala Lumpur. Maknanya terang sekali, pada majlis itu ada keberangkatan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Baginda ialah Ketua Negara bagi Persekutuan Malaysia, kerusi tertinggi tonggak kenegaraan. Pertemuan itu diadakan secara tertutup dan tidak dibenarkan siaran media. Mujur kita tahu daripada beliau. PM dan TPM belum kata apa-apa. Kerahsiaan. Kehadiran bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Insya-Allah akan ikut membawa manfaat. Kehadiran Tuan Guru, kerana menjunjung dan menghormati titah keinginan Pemerintah Tertinggi Negara. Aturan perjumpaan mesti dijaga dan sebarang butiran rahsia perbincangan tidak semestinya dijadikan andaian umum.
Menurut Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mereka langsung tidak membincangkan isu politik apatah lagi soal kerajaan perpaduan yang digembar-gemburkan media (Sinar Harian, 5 Januari 2011). Benar juga, sebab di hadapan Tuanku, mana ada banyak masa perbincangan khusus dengan PM dan TPM. Rakyat jangan memandai-mandai buat spekulasi, jangan adakan benda yang tidak ada. Tuanku pun mungkin tidak perkenan sekiranya hal-hal politik dikaitkan dengan baginda. Tuanku ada kebijakan dan kebijaksanaan sendiri. Apa pun, majlis pertemuan itu sudah cukup bererti dan membawa makna yang besar, apabila ‘mata bertemu mata’.


Apakah tidak terfikir oleh mereka kita ini sebangsa dan seagama, tetapi tidak henti-henti bertelingkah. Dahulunya Pas dan UMNO pernah berada dalam satu barisan kepemimpinan kerajaan, bersama-sama memerintah negara, bertukar pandangan dan fikiran. Itu kisah zaman Almarhum Tun Abdul Razak. Pas bersama UMNO dan parti-parti kaum Cina yang agak moderat seperti Gerakan ikut berada di dalam kerajaan bersama MCA, MIC dan parti-parti lain dari Sarawak dan Sabah. Di Malaysia, akan bangkitkah umat dan gemilangkah Islam kalau Melayu tidak berkuasa dan tidak sama-sama berjuang memajukan ekonomi dan mensejahterakan masyarakat. Tetapi sayangnya, politik sudah mengatasi segala-galanya!. Kini ketaksuban kepada ketua atau pemimpin sedang mengatasi kecintaan terhadap Negara!.
Senario politik 1970-an mungkin berbeza. Keperluan situasi dan konteksnya tidak sama, tetapi bukan bermakna ia kosong iktibar. Kenapakah ada kemampuan berkongsi matlamat untuk memulihkan imej negara yang tercemar akibat Peristiwa 13 Mei 1969 dan membangunkan ekonomi rakyat dengan serampang dua mata di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990? DEB telah menggariskan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum serta penyusunan semula masyarakat. Semangat itulah yang patut kekal dikongsi semua dalam perjuangan politik Malaysia, terutama kepimpinan Melayu-Islam, Pas dan UMNO. Politik Malaysia tidak akan stabil tanpa kestabilan Melayu terlebih dahulu. Kalau diperhitungkan, maka UMNO+Pas = Melayu + Islam dan UMNO + Pas = Melayu. Islam itu ada pada akidah dan tauhid mereka.

Pada malam Sabtu, 8 Januari 2010, Lebai Mad @ Pak Mat Omar, sewaktu menyampaikan kuliah Maghribnya, di Surau Nurul Ikhklas Bandar Putra Permai, ada mengutip Ayat 144 Surah An Nisaa’ yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman akrab, pelindung, penolong, ketua) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan nyata bagi Allah?”. Tazkirah beliau tidak berbau politik sama sekali, kecuali tentang bolak-balik hati jika tidak sentiasa dididik, tentang orang munafik, orang yang bertaubat dan mengadakan perbaikan serta berpegang teguh pada agama.

Penulis terfikir bagaimana ‘orang-orang kafir’ boleh jadi ketua, sedangkan muzakarah antara Pas dengan UMNO sesama Islam tidak menjadi. Kenapa tidak ada keinginan untuk bekerjasama membangunkan umat, menegakkan Islam dan memakmurkan tanah air sesuai dengan matlamat perjuangan asal? Bagaimana kedudukan akidah seseorang mahu mempertahankan pemimpin kafir yang jelas menolak Islam, si kafir bersenamrobik di halaman masjid tanpa menutup aurat dan bercampur gaul bebas lelaki perempuan, orang kafir menterjemah dan mempermainkan ayat-ayat suci al-Quran? Kini carut mencarut pun menjadi-jadi. Oh Melayu!, kalau anda benar-benar Melayu dan Islam, janganlah sekali-kali mencemari agama wahyu yang ditanzilkan buat seluruh umat manusia itu. Nau’zubillah.
(Sumber:A.Aziz Deraman, Sinar Harian, 13.01.2011)

Tiada ulasan: