NAMPAKNYA tidak habis-habis kesabaran umat Islam-Melayu di negara ini diuji, sama ada oleh mereka berkepentingan politik, golongan buta sejarah negara atau individu yang sengaja mengambil kesempatan daripada dasar keterbukaan sekarang.
Tindakan seorang bukan Islam membantah laungan azan dari Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, kerana mengganggu tidurnya dan pembakaran novel “Interlok” kerana kandungannya dikatakan menghina masyarakat India, adalah antara kes terbaru menunjukkan betapa semangat toleransi yang pernah menjadi amalan dan kebanggaan rakyat pelbagai kaum di negara ini, semakin terhakis.
Yang menjadi persoalan, kenapa hanya sejak kebelakangan ini timbul suara-suara sedemikian. Soal laungan azan misalnya bukan perkara baru, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup orang Islam-Melayu sejak berabad, sebelum Islam termaktub sebagai agama rasmi di negara ini.
Dalam kes di Kampung Kerinchi, masjid berkenaan mengkumandangkan azan sejak dibina 30 tahun lalu sedangkan si pengadu difahamkan baru berpindah lima tahun. Jika tidak mahu tidur diganggu suara azan, kenapa membeli rumah di kawasan mempunyai masjid?
Kita percaya ramai yang bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa provokasi yang tinggi akan menimbulkan sentimen dan kemarahan orang Islam untuk bangkit mempertahankan agama mereka. Demonstrasi aman oleh jemaah Masjid Al-Ikhlasiah petang Jumaat lalu adalah manifestasi rasa kurang senang umat Islam di negara ini dengan provokasi kalangan tertentu terhadap agama mereka sejak akhir-akhir ini.
Selepas lebih setengah abad merdeka, sepatutnya tidak ada lagi pihak yang mempersoalkan azan, bunyi loceng gereja dan kuil atau pembakaran mercun dan colok pada musim Tahun Baru Cina. Walaupun ia mungkin menimbulkan sedikit kebisingan atau pencemaran asap, semua ini sebahagian cara hidup kita dan perlu dihormati semua pihak yang menjadikan Malaysia tempat tinggal mereka.
Dalam kes novel “Interlok” karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, bantahan dibuat selepas 40 tahun diterbitkan apabila buku itu dipilih untuk dijadikan teks sastera untuk pelajar Tingkatan Lima tahun ini. Kenapa baru sekarang kumpulan ini seolah-olah baru menyedari ada istilah yang mereka anggap sensitif pada dua halaman novel setebal 426 muka surat itu.
Reaksi dan amaran pelbagai pihak termasuk kalangan bukan Melayu sendiri, yang mempertahankan karya sastera itu ternyata menjadikan golongan itu lebih lantang meneruskan tuntutan mereka. Hakikat bahawa tema “Interlok” yang dihasilkan selepas peristiwa 13 Mei 1969, berdasarkan integrasi orang Melayu, Cina dan India sejak awal tahun 1900 sehingga merdeka, langsung tidak diendahkan oleh kumpulan ini.
Kita boleh memahami jika isu-isu sensitif seumpama ini ditimbulkan pemimpin politik pembangkang. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini pemimpin politik yang berada dalam kerajaan sendiri nampaknya lebih lantang membicarakan isu sensitif secara terbuka.
Tidak salah untuk menjuarai atau menimbulkan rasa tidak puas hati kaum masing-masing, tetapi ia seharusnya dibuat secara tertutup seperti diamalkan selama ini. Sebagai anggota kerajaan atau ahli parti komponen Barisan Nasional (BN), mereka mempunyai pelbagai saluran untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak berkenaan tanpa perlu menghebahkan kepada media.
Dalam era maklumat bergerak pantas sekarang, sebarang kenyataan daripada pemimpin politik mengundang pelbagai tafsiran dan menyebabkan perkara yang mulanya dilihat kecil, bertukar menjadi bara perkauman.
Kita cuma boleh berharap kedua-dua isu ini ditangani secara rasional dan bijaksana oleh semua pihak terbabit. Isu yang membabitkan sensitiviti kaum dan agama hanya dapat diselesaikan jika pemimpin politik benar-benar ikhlas mahu melihat rakyat pelbagai kaum di negara ini hidup dengan harmoni seperti yang pernah dinikmati satu ketika dulu.
Bagaimanapun, selagi perpaduan hanya menjadi mainan di bibir sedangkan tindakan dan kenyataan mereka tidak berlandaskan semangat toleransi yang tinggi, selagi itulah jurang perkauman akan terus rapuh.
Toleransi adalah proses dua hala. Sementara bukan Islam-Melayu mengharapkan agama, adat dan budaya mereka dihormati, mereka juga harus mengambil kira sensitiviti orang Islam-Melayu, yang sekian lama bertolak ansur. Membantah azan berkumandang setiap masuk waktu solat dan mempersoalkan kandungan novel selepas 40 tahun ia diterbitkan, tentunya tidak mencerminkan semangat toleransi dalam erti kata sebenar. (sumber oleh Manja lsmail,BH,17 Januari 2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan