KEPADA para pelajar (bakal guru terlatih)tahun akhir di Universiti Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan, Bandar Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam yang kini mula menjalani latihan praktikum akhir dan seterusnya akan diserapkan sebagai guru terlatih di sekolah-sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh Negara Brunei Darussalam, TB ucapkan selamat bertugas dan awda kalian akan menghadapi dan menempuh alam pengajaran dan pembelajaran yang sebenar; baik di bilik-bilik darjah mahupun di persekitaran sekolah.Sentiasalah rajin,amanah.jujur,ikhlas,elok dan efisyen sewaktu bertugas dan menggalas amanah yang diberikan. Dan sentiasalah menggalakkan dan menyuntik motivasi murid-murid awda cemerlang dalam akademik,kokurikulum dan sahsiah.
Dan kepada para pelajar TB suatu waktu dahulu ialah pelajar-pelajar program Sarjana Muda Perguruan Usuluddin, Sarjana Muda Perguruan Syariah dan Diploma Perguruan Tinggi dalam bidang-bidang berkaitan ingatlah bahawa komunikasi dua hala yang berkesan antara guru - pelajar ialah adanya kejelasan, ketulusan, keikhlasan dan belas ehsan.Justeru ingatlah bahawa sehebat mana pun seorang pendidik jika aspek komunikasi; baik komunikasi lisan,komunikasi bertulis mahupun komunikasi isyarat tidak difahami dengan mendalam dan praktik maka apa yang mahu disampaikan akan menjadi kabur dan gagal. Apatah lagi andainya mekanisme bahasa yang menjadi wadah komunikasi itu agak cacamarba dan haru-biru maka apa yang mahu disampaikan oleh guru kepada pelajar umpama pantulan bola ke muka dinding yang akan melantun tidak mendatangkan keberhasilan.
Kepada awda yang menempuh alam keguruan yang sebenarnya sentiasalah mengemaskinikan dengan ilmu pengetahuan dan ilmu bantu dari semasa ke semasa. Mempertingkatkan nilai tambah dalam bidang pedagogi, psikologi,sosiologi dan seumpamanya adalah wajar bagi setiap guru.Hindarilah seperti katak di bawah tempurung.Jadikanlah diri awda seorang guru yang sentiasa inovatif,kreatif dan dinamik, selagi hayat dikandung badan. Selamat bertugas!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan