Salam Perjuangan

05 Januari 2011

TERKENANG-KENANG (3)


SYABAS kepada saudara Awang Selamat yang dalam ruangan Bisik-Bisik, Utusan Malaysia (20 Ogos 2007) mengkritik terhadap tuntutan dan rasa tidak puas hati HINDRAF iaitu pertubuhan tidak berdaftar keturunan India di Malaysia.

Saya tidak berhasrat menulis panjang. Saya dilahirkan dan dibesarkan pada zaman pramerdeka di sebuah ladang di Johor. Kami anak keturunan Melayu yang mana ibu bapa kami pekerja ladang milik lnggeris (Dunlop Estate Bhd.) hidup dalam serba kemiskinan dan daif.Saya juga senasib dengan teman-teman daripada kaum lndia dan Cina.

Dalam kemiskinan, kami semasa kanak-kanak sama-sama bermain walau berlainan sekolah. Setiap pagi apabila kereta ‘tuan-tuan Inggeris’ melintasi di hadapan berek kami, kami berdiri hormat tabik. Timbul azam di hati sejak kecil, pada suatu hari saya akan lebih berjaya daripada bangsa Inggeris. Ringkasnya, selepas 50 tahun, saya pernah menjejaki estet yang pernah membesarkan saya tetapi hanya tinggal sisa-sisa kenangan.
Ramai daripada kawan saya keturunan India telah berjaya merubah nasib mereka, ada di antaranya telah menyandang jawatan profesor, ahli korporat, peguam, guru dan sebagainya.

Sejak bersekolah di darjah satu, saya telah biasa melihat perayaan pijak api Thaipusam (velvel) di kuil estet berhampiran sekolah kebangsaan saya awal 1960-an.Bayangkan betapa toleransi kehidupan agama di negara kita. Yang nyata, susurilah bandar raya Kuala Lumpur, Jalan Masjid India, Jalan Gereja, Jalan Tuanku Abdul Rahman; adakah tiada premis/gedung perniagaan milik kaum India jika dibandingkan milik bumiputera?
Begitu juga sebuah kuil yang gah  di tengah-tengah Kuala Lumpur antaranya di Jalan Petaling/Jalan Bandar/Jalan T.S Lee.Begitu juga kisah Batu Cave, yang semasa kecil dahulu atau generasi sebelum saya mengetahuinya sebagai legenda rakyat asal-usul Nakhoda Si Tanggang dan kapalnya yang disumpah menjadi batu kerana derhaka kepada ibu (berdasarkan versi Si Tanggang tulisan A. Samad Ahmad).

Sekarang lihatlah kenyataan mengenai Batu Cave . Apa yang difokuskan dalam peta pelancongan negara kini?
Milik siapakah Batu Cave sekarang? Tidakkah bertuahnya kaum lndia di Malaysia kini? Siapakah Ananda Krishnan, Tony Fernandez dan ramai lagi ahli bisnes keturunan India yang kaya dan berjaya?
Fikirkan, agar kita semua rakyat Malaysia tahu bersyukur dan berterima kasih atas nikmat yang telah diperoleh agar tidak menyinggung perasaan kaum lain serta bersama-sama menjunjung Perlembagaan negara dan memahami kontrak sosial yang telah dimeterai bersama. Terlalu banyak mahu diperkatakan tetapi memadailah.(Hindraf perlu syukur nikmat di Malaysia ) sumber Utusan Malaysia (21/8/07)


DR. RAJIEE HADI,

Presiden,
Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia,
Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: