ISU pemilihan novel lnterlok karya SN Abdullah Hussain,91, tiba-tiba menjadi isu yang dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin perkauman yang tidak matang dan berfikiran dangkal.lnterlok salah sebuah novel yang memenangi hadiah Peraduan Menulis Novel sempena 10 tahun kemerdekaan Malaysia (1967) lalu dipilih menjadi teks SPM bagi subjek KOMSAS Bahasa Melayu iaitu komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) Bahasa Melayu SPM.
Desakan yang keterlaluan daripada beberapa pemimpin politik berteraskan kaum itu agar Kementerian Pelajaran Malaysia menarik balik cadangan novel tersebut dijadikan teks kerana ada perkataan yang kononya menyinggung sensitiviti kaum bagaikan membuka pekung di dada, meludah di langit terpercik muka sendiri masyarakat lndia juga.Alasannya perkataan tersebut memberi impak kepada masyarakat lndia Malaysia tidak kukuh.
Soalnya adakah mereka yang mencemuh itu sudah membaca keseluruhan novel tersebut?
Latar lnterlok berkisar ketika zaman sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang British sebut 'Malaya' iaitu sekitar awal abad ke-19.Kedatangan orang-orang lndia dari lndia dan Cina dari China kerana keperluan ekonomi British sama ada di ladang-ladang getah dan di lombong-lombong bijih timah telah membuatkan mereka yang datang ke Malaya lantaran tuntutan kemiskinan hidup telah berusaha mencari rezeki.
Di sebuah ladang getah orang Melayu,Cina,lndia hidup bersatu padu atas nama sebuah kehidupan dan mencari rezeki.Sebenarnya, Abdullah Hussain telah mengibarkan bendera satu Malaysia terlebih dahulu atas semangat kekitaan dan perpaduan.Penduduk yang berbilang kaum ketika itu berpegang kepada di mana bumi dipijak,di situ langit dijunjung.
Dalam pergaulan masyarakat ketika itu masing-masing tidak lepas membawa cara pemikiran masyarakat leluhur tanah air asal mereka.Justeru sudah tentu adat istiadat, bahasa, cara berkomunikasi terpancar dalam pergaulan mereka.lnilah realistiknya latar yang dipaparkan oleh Abdullah Hussain sebagai perakam waktu dan zaman menerusi karya fiksyennya. Atas nama seni dan nilai-nilai estetika mengapakah mahu dipolitikkan? Yang nyata, dalam agama hindu sendiri ada menyebut kasta masyarakat mereka.
Sementelahan pula apa yang digambarkan oleh novelis tersebut adalah masyarakat lndia di lndia yang mana rata-ratanya ketika itu masih berwarganegarakan negara lndia.Bahkan bukan menggambarkan tatcara kehidupan masyarakat lndia warganegara Malaysia seperti zaman sekarang.Bahkan pengarang juga menggambarkan situasi jelek masyarakat Melayu dan Cina juga.Namun tidak ada sebarang bantahan daripada orang Melayu dan Cina.Sebabnya,kerana mereka faham bahawa taraf dan maju mundur sesuatu bangsa atau keturunan bukan kerana taraf bangsa itu tetapi kerana ilmunya, akhlaknya dan daya usahanya.
Kepada semua yang mengaku warganegara Malaysia ,usahlah melenting sebaliknya letakkan posisi emosi kalian berada di aras kecerdasan yang tinggi.Tidak sewajarnya mana-mana pihak memperlekehkan hasil karya unggul SN Abdullah Hussain yang melalui sejarah penulisan yang panjang.
Seperkara yang menghairankan mengapakah ada pembabitan parti politik dalam isu novel lnterlok ini? Apakah pandangan wakil MIC akan melihat interlok dari perspektif dan kepentingan politik? Jika isu lntertok dibabitkan MIC mengapakah UMNO atau NGO bukan lndia tidak diundang menghantarkan wakilnya ke Kementerian Pelajaran? Apakahini tidak mungkin boleh menyebabkan KPM berada akan berada dalam situasi senget sebelah? Kita sedia maklum sebagai pegawai yang mewakili KPM kelak tentulah suara dan hujah yang diperkatakan tidak bebas dan berdasarkan skrip dan kehendak pihak atasan.
Justeru bukan mustahil kelak pegawai-pegawai KPM akan berasa serba salah jika tidak mempunyai pendirian dan daya keintelektualan yang kukuh.Apatah lagi andainya yang mewakili MIC tidak pun atau membaca sekerat jalan novel tersebut.Kesannya lebih ke arah silap faham ,berada dalam situasi emosional dan prejudis yang lebih menjurus menuju ke arah kebuntuan.
Kesimpulannya adalah ditegaskan bahawa jika masyarakat lndia di Malaysia yang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan perundangan sah telah diterima sebagai warganegara maka apakah perlu masyarakat lndia Malaysia pobia dengan perkataan ‘pariah’? Apakah ada sistem kasta di Malaysia kini?
Ketahuilah dalam novel lnterlok digambarkan elemen kasta wujud pada masa itu kerana orang lndia yang berhijrah ke Malaysia ketika itu (1910-1957) belum berstatuskan warganegara atau bukan lagi rakyat Malaysia . Novel itu tidak menceritakan tentang rakyat Malaysia keturunan lndia sekarang. Karya fiksyen itu cumalah rakaman sejarah,latar dan zaman ketika itu.Justeru, tidak ada unsur menghina sesiapapun.Hakikat inilah yang patut difahami semua pihak dan menerimanya selaras dengan semangat satu Malaysia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan