KALI ini TB mahu menyentuh tentang pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kakitangan kerajaan yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan (Master, PhD,diploma lanjutan dan seumpamanya)sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara.Sayugia dimaklumi, biasanya penjawat awam yang berjaya memperoleh CUTI BELAJAR BERGAJI PENUH DAN HADIAH BIASISWA ialah mereka yang memperoleh prestasi cemerlang dalam sistem pemarkahan prestasi PTK dan SKT dengan mamperoleh mata agreget yang tinggi dan sokongan daripada pelbagai pihak.
Dalam erti kata yang lain mereka adalah dikatakan penjawat yang cemerlang.Namun isu mereka yang sambung belajar sepenuh masa cuti bergaji penuh dan hadiah biasiswa di peringkat ijazah lanjutan yang tidak berjaya meraih ijazah atau gelar Sarjana atau Kedoktoran bukan isu baru,Bahkan isu ini telah berlaku 10-20 tahun lalu!
Soalnya, sama ada mereka gagal atau berjaya itu adalah persoalan mereka. Tetapi yang menjadi isu pokok pada zaman ini adalah WANG RAKYAT.Kita sedia ketahui berapa ramai di luar kepompong mereka ada ratusan,ribuan penjawat-penjawat awam yang serius dan komited mahu menimba ilmu di peringkat sarjana dan PhD terpaksa belajar separuh masa, menggunakan wang saku sendiri bahkan terpaksa menjual aset dan bergolok gadai, berderai air mata.Kita tidak mahu ada pegawai-pegawai kerajaan yang sambung belajar di UK atau USA atau di mana-mana luar negara disindir dengan kata-kata ‘study on leave ke holiday on leave?’
Sebenarnya penjawat kumpulan professional kerajaan hanya memerlukan minimum kelayakan akademik asas yang diambil kira ialah setakat ijazah pertama dengan kepujian.Justeru yang memiliki iazah lanjutan cuma dianggap satu bonus atau kelebihan; apatah lagi biasiswa tersebut disebut ‘Hadiah Biasiswa Persekutuan’ atau dengan nama dan jenama lain mungkin dianggap 'tidak wajib berjaya'.Kebiasaannya ditawarkan oleh JPA atau disalurkan di bawah mana-mana kementerian terutama Kementerian Pelajaran,Kemeneterian Pengajian Tinggi, IPTA, Kementerian Pertanian dan lain-lain lagi.
Bayangkan, alangkah rugi dan membazirnya wang rakyat dan peluang anak-anak kita yang baru menjejak kaki ke menara gading di peringkat ijazah pertama yang terpaksa berhutang sana sini jika wang rakyat yang digunakan itu dipersia-siakan.Kegagalan penjawat awam yang cuti belajar sepenuh masa dengan hadiah biasiswa meraih ijazah lanjutan bukanlah suatu rahsia. Tetapi sehingga kini tidak ada sesiapa mempersoalkannya.Apakah dengan mengenakan tindakan denda ganti rugi atau caj biasiswa bertukar menjadi pinjaman atau dikenakan tindakan tatatertib maka penjawat-penjawat ini boleh dijamin berjaya? Kepada mereka, janganlah dikhianati amanah dan wang rakyat. Baik yang belajar di luar negara atau dalam negeri, rebutlah peluang menimba ilmu dengan jayanya. Jangan kita sering dengar mereka berjaya membawa Mercedes Benz dengan APnya tetapi senyap-senyap membisu apabila ditanya apakah ijazah Master atau PhD yang dirangkulnya…. lngat, ini wang rakyat, hasil cukai daripada rakyat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan