SEPERTI yang dilaporkan rumah setinggan di mana-mana khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan, para penghuninya tidak wajar diberikan pampasan walau satu sen pun atas alasan mereka mendiami tanah hak milik kerajaan. Bahkan ada laporan mendedahkan terdapat penghuni rumah setinggan yang berkemampuan dengan terbukti mereka berkereta dan memiliki pelbagai harta sampingan. Namun dikatakan kerajaan tidak bersikap kejam atau zalim apabila kerajaan bertindak merobohkan rumah mereka.
TB bersetuju atas isu tersebut. TETAPI apa yang amat menyedihkan ialah proses perlaksanaan, kaedah penguatkuasaan dan sejauh mana objektif setinggan sifar mencapai matlamat murninya tanpa menganiaya golongan miskin yang menjadi peneroka bandar ini.
Kita masih ingat, Kampung Konggo sebuah kawasan perumahan setinggan terkenal di Kuala Lumpur pada awal tahun 1970-an. Pihak DBKL dengan pelan sistematiknya telah menukarkan wajah Kampung Konggo kini menjadi Bandar Tun Razak sebuah kawasan perumahan yang menjadi kebanggaan kita iaitu sebuah kawasan bandar yang didiami majoriti orang-orang Melayu. Penduduk Melayu Kampung Kongo ketika itu tidak menghadapi masalah besar kerana rumah-rumah yang dibangunkan di kawasan tersebut mampu dibeli dan dimiliki oleh mereka dengan harga yang amat kompetitif dan fleksibel.
Namun demikian malang dan ironisnya, ada kes-kes kaedah melaksanakan penguatkuasaan seperti di Kampung Berembang,Ampang,Selangor agak kasar dan keterlaluan. Bayangkan betapa pilu dan terharu anak-anak yang masih di bangku sekolah
tiba-tiba rumah setinggan ibu bapa mereka dirobek oleh jentolak pada ketika anak-anak tersebut mahu bersekolah pada keesokkan harinya. Bayangkan bagaimana nasib anak-anak tuan
/puan yang mengalami insiden tersebut? Bayangkan apakah yang boleh difahami oleh anak-anak yang masih di bangku sekolah rendah?Bayangkan apakah kesan psikologi dan trauma di jiwa mereka?lni adalah sekadar contoh satu episod.
Seperkara lagi, pihak kerajaan juga wajar memikirkan aspek psikologi sosial,budaya dan ekonomi para peneroka bandar atau para penghuni rumah setinggan ini. Mereka sudah bertahun-tahun tinggal di rumah setingkat tetapi mahu dipindahkan di kawasan rumah pangsa kos rendah yang berpuluh-puluh tingkat. Apatah lagi harga rumah pangsa kos rendah tidaklah dianggap murah. Justeru, tidak hairanlah mengapa para penghuni rumah setinggan di kampung Konggo dahulu, tidaklah begitu rasa tertekan kerana hasrat DBKL merubah kawasan setinggan tersebut kepada Bandar Tun Razak difahami falsafahnya oleh para penduduk ketika itu.Sebenarnya, banyak faktor boleh dikesani, jika kajian terperinci dapat dilakukan berhubung kaedah dan pendekatan dalam melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan efisyen tetapi berhemah.
Selain itu, perlaksanaannya hendaklah adil tanpa mengira ras, mengambil kira sensitiviti agama, lokasi dan persekitaran serta situasi setiap keluarga rumah setinggan.Bayangkan perasaan mereka yang sudah tinggal bertahun-tahun, tiba-tiba surau tempat mereka beribadah diranapkan dalam sekelip mata. Dan bagaimana pula tindakan ke atas mereka yang bukan sahaja mendirikan rumah-rumah setinggan di atas tanah milik kerajaan atau bukan hak milik mereka,tetapi mendirikan secara haram kilang setinggan, kedai/premis setinggan, rumah-rumah ibadat setinggan, bengkel setinggan, stor setingan dan bermacam-macam setinggan lagi? Di sinilah tindakan yang adil, saksama,tepat dan betul wajar dilakukan oleh pihak yang berkuasa demi melangsungkan niat murni kerajaan dalam tradisi membela rakyat agar tidak tercemar oleh tangan-tangan yang onar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan